Manusia Aneh?

Bukan dua atau tiga insan yang kita pernah jumpa atau tahu mereka memiliki keistimewaan dikurniakan enam jari. Apakah penjelasan dari segi sains?
Matahari mencuri masuk melimpahkan cahayanya di celah-celah pohon besar yang ditanam di keliling rumah milik pegawai polis, Abdul Rahim Mohd. Ali, 51.
Kelihatan seorang lelaki bertubuh besar sedang memberi makan beberapa ekor kucing di dalam kandang di rumahnya. Penulis dan jurufoto, Nooradzrene Mohd. Noor merapati lelaki tersebut.
Kesemua kucing yang berada di dalam kandang tersebut mempunyai enam jari. Namun, apa yang lebih mengagumkan kami apabila melihat lelaki tersebut ialah dia juga mempunyai enam jari. Adakah semua itu berlaku secara kebetulan?
Untuk mendapatkan penjelasan, penulis bertanyakan lelaki yang juga pemilik kucing-kucing berkaki enam tersebut iaitu Abdul Rahim.
"Semuanya berlaku secara kebetulan. Seekor kucing datang ke rumah saya dalam keadaan sakit. Pada mulanya, saya tidak menghiraukan kucing tersebut memandangkan saya sendiri tidak menggemari kucing. Namun, apabila saya melihat kucing tersebut berjari enam sama seperti saya, timbul perasaan belas kasihan," serita Abdul Rahim ketika ditemui di rumahnya di Taman Batu 30, Ulu Yam, Selangor.
Yang anehnya, ceritanya lagi, selepas kucing tersebut melahirkan anak, semua anak-anaknya berjari enam.
Adakah kejadian jari enam itu ada kena mengena dengan genetik? Menurut anak sulung daripada tujuh beradik itu, adik-beradiknya tidak dikurniakan enam jari seperti dirinya.
Namun katanya, ibu saudara sebelah bapanya mempunyai kelebihan tersebut. Begitu juga pak cik dan cucu di sebelah bapa saudaranya. Sebelum ini, di Alor Setar, Kedah akhbar Kosmo! pernah melaporkan dua kanak-kanak dikurniakan enam jari.
Kedua-dua kanak-kanak itu ialah Nurul Noor Shahwani Badri Shah, 11, dan adiknya Muhammad Syahanif Amin, 3, yang dilahirkan dengan enam jari di kedua-dua belah tangan.
Muhammad Syahanif juga mempunyai enam jari di kedua-dua belah kakinya.
Menurut Che Noorlini, ibu kepada Nurul Noor Shahwani dan Muhammad Syahanif, tiada keturunan di sebelahnya atau suami yang ada sejarah memiliki enam jari tangan atau kaki.
"Doktor mengesahkan semua jari di tangan anaknya mempunyai sel-sel seperti jari yang normal dan tidak mendatangkan kesan sampingan," katanya.
Menurutnya, ada beberapa cadangan daripada orang ramai agar jari keenam anak-anaknya itu dibuang tetapi Che Noorlini menolaknya.
Dalam pada itu, menceritakan kehidupan Abdul Rahim semasa kecil, dia selalu diejek rakan-rakan disebabkan dia mempunyai enam jari.
"Saya selalu bergaduh sebab tidak tahan diejek. Sejak itu, saya buktikan bahawa saya ialah manusia normal," katanya.
Abdul Rahim yang berasal dari Teluk Intan, Perak mula menceburkan diri dalam dunia kepolisan pada tahun 1977.
Katanya, semasa dalam latihan rekrut, dia hampir-hampir dibuang kerana mempunyai enam jari. Namun, dia membuktikan bahawa kewujudan jari keenam itu tidak sedikitpun mengganggu walaupun ketika memegang senjata.
"Saya hampa apabila mereka memberitahu kemungkinan saya tidak dapat menjadi polis. Ini kerana jari keenam saya, boleh mengganggu sewaktu memegang senapang mahupun pistol. Namun, sebenarnya ia tidak mendatangkan masalah," tegas lelaki yang mempunyai dua ibu jari itu.
Oleh kerana khuatir tidak berjaya menjadi polis, dia pernah bercadang untuk membuang jari keenamnya. Bagaimanapun doktor memberitahu, jari tersebut tidak boleh dibuang.
Ini kerana, jari keenam tersebut melekat pada ibu jarinya ibarat bayi kembar. Jika membuangnya, ia bakal memberi kesan pada jari yang satu lagi.
Namun, selepas 32 tahun berkhidmat dalam anggota polis dan berjaya menyelesaikan banyak tugasan, barulah Abdul Rahim sedar bahawa jari keenam yang dikurniakan Tuhan itu memberi kekuatan dan keistimewaan kepada dirinya.
Sementara itu, pakar Ortopedik Hospital Pakar Al-Islam, Kuala Lumpur, Dr. Izan Ibrahim menjelaskannya dari sudut saintifik.
"Manusia yang mempunyai enam jari boleh disebabkan keturunan atau tanpa sebab yang khusus. Ia juga disebabkan genetik seseorang. Genetik mengawal dan mengubah fungsi asal seseorang. Mungkin disebabkan genetiknya berubah, kejadian seumpama ini (enam jari) berlaku," jelasnya.
Dr. Izan memberitahu, kekerapan insiden itu berlaku kepada individu berkulit gelap manakala bagi mereka yang berkulit cerah, mereka jarang mewarisinya. Dalam 500 kelahiran, satu kelahiran pasti mewarisi genetik tersebut.
"Penyakit ini diberi nama polidaktili, sindaktili dan polisindaktili. Ia bergantung kepada jenis-jenis ketumbuhan jari sama ada ia melekat, tidak melekat, berada di sebelah ibu jari, di tengah ataupun berada di sebelah jari kelingking," katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Dr. Izan, polidaktili adalah keadaan di mana seseorang itu memiliki enam jari tetapi tidak bercantum. Polidaktili juga boleh dibahagikan kepada tiga iaitu pra-aksial, tumbuh bersebelahan ibu jari atau tengah jari manakala postaksial tumbuh di sebelah jari kelingking.
"Dalam setiap penambahan jari itu, kita akan nampak perbezaannya walaupun ia tumbuh di tengah jari. Sama ada jari yang tumbuh itu pendek atau ia tidak berfungsi seperti jari normal," jelasnya.
Manakala bagi sindaktili pula, ia disebabkan seseorang itu mempunyai lima jari tetapi dua daripada lima jari itu bercantum.

"Bagi kes Abdul Rahim pula, keadaan beliau disebut polisindaktili iaitu memiliki enam jari dan dua daripadanya melekat.
"Ia tidak mendatangkan bahaya kepada pesakit. Cuma, ia mungkin mengganggu aktiviti harian mereka sahaja," katanya.
Jelas Dr. Izan, lelaki lebih mudah mewarisi genetik itu berbanding perempuan.
Adakah ia boleh dibuang? Dr. Izan memberitahu, jari keenam itu boleh dibuang dengan melakukan pembedahan mikro iaitu saraf dan tulang jari keenam itu dibuang.
Ia bergantung sama ada jari keenam itu hanya cebisan kulit dan isi ataupun mempunyai tulang dan saraf.
"Jika ada sesiapa ingin membuangnya, saya menyarankan mereka berjumpa dengan pakar ortopedik yang mengkhusus dalam bidang pembedahan tangan," katanya yang telah melakukan tiga pembedahan berkaitan penyakit itu setakat ini.
Selain itu, Dr. Trisha Macnair yang dipetik daripada laman sesawang BBC Health berkata, sesetengah individu mungkin mengalami masalah untuk memakai kasut.
"Jika lebihan jari pada kaki boleh menimbulkan masalah untuk memakai kasut, mungkin dengan membuangnya, ia satu keperluan," jelasnya.
Jelas Trisha, polidaktili boleh terjadi dalam lima bagi setiap 10,000 kelahiran. Ia boleh diwarisi jika kedua-dua ibu bapa mempunyainya dan ada kemungkinan satu atau dua anak akan mewarisi genetik tersebut. Namun, ia juga boleh berlaku secara rambang.
" Sekiranya anak anda tidak mempunyai masalah dengan lebihan jari, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana hakikatnya perkembangan fizikal mahupun mental mereka adalah normal," jelas Trisha dalam laman sesawang tersebut.
Pada awal Januari lalu, seorang bayi lelaki yang dinamakan Kamani Hubbard dilahirkan dengan lebihan jari di tangan dan kakinya. Bayi yang dilahirkan di Hospital St. Luke itu dikategorikan sebagai polidaktili.
Dalam kes Kamani, kesemua jarinya terbentuk sempurna dan berfungsi secara normal. Menurut ibu bapa bayi tersebut, tiada siapa yang sedar dengan lebihan jari di tangan dan kakinya sehinggalah selepas beberapa minit dia dilahirkan.
"Saya sangat teruja apabila melihat bayi saya mempunyai jari tambahan di tangan dan kakinya. Apapun, saya menganggap ia sesuatu yang unik," ujar bapa bayi tersebut Kris Hubbard yang mengakui keluarganya mempunyai enam jari.
Oleh kerana semua jari tangan dan kaki anaknya berfungsi dengan baik, Hubbard tidak bercadang untuk melakukan sebarang pembedahan membuang lebihan jari-jari tersebut.
- KOSMO!

