Santuari Gajah di Hulu Terengganu himpun 150 gajah liar

Santuari Gajah di Sungai Ketiar adalah antara produk pelancongan yang akan 'dijual' sebagai tarikan utama di Terengganu dalam misi kerajaan negeri memajukan sektor berkenaan sebagai tulang belakang ekonomi negeri pada masa hadapan.
Santuari yang dibuka pada 29 Januari 2008 kini sedang dibangunkan dengan pelbagai kemudahan sebagai nilai tambah kepada pengunjung.
Nilai tambah berkenaan ialah pembukaan kawasan perlindungan gajah liar dalam habibat semulajadinya melibatkan kawasan seluas 15,000 hektar.
Ketika ini, santuari berkenaan yang terletak kira-kira 95 kilometer dari bandar Kuala Berang yang boleh dikunjungi melalui jalan baru Kuala Berang-Tasik Kenyir-Aring itu mempunyai dua ekor gajah jinak sebagai tarikan pengunjung.
Apabila siap sepenuhnya nanti, ia mampu menampung lebih 150 ekor gajah liar.
Projek kerajaan negeri ini bukan sahaja menawarkan produk pelancongan baru di negeri Terengganu, malah ia juga sebagai penyelesaian kepada masalah serangan gajah liar yang dihadapi oleh penduduk kampung-kampung di sekitar kawasan berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, lebih 150 ekor gajah liar yang kini berkeliaran di seluruh negeri ini akan ditempatkan di santuari berkenaan kelak.
''Usaha ini akan membendung gajah-gajah liar dari mengganggu dan memusnahkan tanaman serta penempatan penduduk,'' katanya ketika melawat santuari itu baru-baru ini.
Menurutnya, santuari berkenaan akan dibahagikan kepada tiga plot dengan setiap plot seluas 5,000 hektar yang setiap satunya akan dikawal menggunakan pagar elektrik.
Jelasnya, ketiga-tiga plot itu akan dibuka kepada pengunjung secara pusingan dalam tempoh dua bulan akan datang.
Uniknya, gajah yang dilepaskan dalam santuari itu akan dibiarkan bebas dalam kawasan berpagar serta masih mengamalkan kehidupan secara liar.
''Kita sedang mengenal pasti laluan gajah liar ini supaya dapat merancang untuk membuka plot mengikut pusingan tanpa mengganggu kitaran makanan untuk haiwan berkenaan.
''Laluan-laluan selamat untuk pelancong juga sedang dikenal pasti agar lawatan ke santuari gajah ini akan memberi kepuasan kepada pengunjung," kata Menteri Besar.
Menurutnya, kajian juga sedang dijalankan untuk kos pemasangan pagar elektrik dan pelbagai keperluan lain bagi membolehkan kira-kira 150 ekor gajah liar dari seluruh Terengganu ditempatkan di santuari itu.
Jelasnya, gajah-gajah liar berkenaan akan ditempatkan di satu plot pada satu-satu masa dan kemudiannya haiwan itu akan digilirkan mengikut plot bagi memastikan sumber makanannya terjamin.
Ahmad memberitahu, santuari tersebut juga akan menjadi tempat latihan gajah dalam melakukan pelbagai aksi yang dapat menarik perhatian pelancong.
''Anak-anak gajah liar berkenaan akan dilatih mengangkat balak, melakukan aksi menarik dan dijadikan tunggangan manusia seperti yang dilakukan di negara jiran seperti Thailand," ujarnya.

Bukan mudah untuk mengendali haiwan besar seperti gajah, namun renjer di Santuari Gajah, Sungai Ketiar mempunyai cara tersendiri menangani kerenah haiwan itu.
Lima kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang bertugas di santuari itu menggunakan dua kaedah iaitu usap dan tampar supaya dua ekor gajah dikenali sebagai Suria dan Chali 'mendengar' arahan mereka.
Seorang renjer, Mohd. Shafain Abd. Kadir, 26, berkata, kaedah usap iaitu dengan cara membelai gajah berkenaan digunakan bagi menunjukkan kasih sayang terhadap kedua-dua haiwan tersebut.
''Kaedah kedua iaitu tampar pula digunakan supaya haiwan itu mengikut cakap dan arahan yang diberikan.
''Kita tidak memukul dengan kuat tetapi sekadar memberi amaran supaya haiwan tersebut takut dengan kita," katanya.
Beliau memberitahu, kedua-dua kaedah itu digunakan secara serentak bagi menunjukkan Suria dan Chali disayangi.
Katanya, gajah-gajah itu perlu mengikut kata penjaganya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini terhadap pengunjung.
Beliau berkata, bahasa yang digunakan untuk memberi arahan kepada gajah-gajah tersebut adalah dalam bahasa Thailand dan Myanmar kerana kedua-dua haiwan itu dijinakkan oleh jurulatih dari negara itu.
- UTUSAN
www.utusan.com.my