'Tak boleh halang sidang Umno' - Tg Adnan

Mahkamah tidak mempunyai kuasa mengeluarkan perintah menghalang pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno daripada diadakan bulan ini, walaupun dua ahli parti itu mengancam memohon perintah untuk berbuat demikian, kelmarin.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Seksyen 18C Akta Pertubuhan, 1966 secara jelas melarang mahkamah daripada mendengar apa juga keputusan parti (termasuk tarikh Perhimpunan Agung).

Selain itu katanya, jika pemilihan parti tidak dijalankan selepas 25 Mac, ia melanggar peruntukan Akta Pertubuhan, 1966 dan Perlembagaan Umno yang menyatakan bahawa proses itu mesti diadakan tiga tahun sekali (atau 18 bulan selepas tiga tahun).

"Saya juga ingin ingatkan kepada mereka mengenai Fasal 20.7 Perlembagaan Umno yang menyatakan 'mana-mana ahli yang membawa perkara parti ke mahkamah, hilang keahliannya secara sendirinya," katanya dalam laman web parti, semalam.

Tengku Adnan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Umno Cawangan Bandar Muar, Datuk Kadar Ninam Shah dan ahli Umno Bahagian Subang, Datuk Mazlan Harun yang bercadang memohon perintah mahkamah menghalang Perhimpunan Agung Umno diadakan bulan ini jika isu politik wang dan salah laku dalam parti itu gagal diselesaikan segera.

Mereka turut mengaku bersedia menghadapi sebarang tindakan daripada Umno termasuk digugurkan keahlian seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Umno kerana membawa perkara berkaitan parti ke mahkamah.

Mazlan dilaporkan berkata, mereka membuat gesaan itu supaya tindakan dapat diambil untuk menyelesaikan kes politik wang dan salah laku yang sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Lembaga Disiplin Umno.

"Tindakan drastik ini bukan bertujuan merosak, menghina atau memperlekeh Umno tetapi bagi mengelak parti dipertikai, hilang kredibiliti dan tidak dihormati ahli, orang Melayu, rakyat serta pembangkang," katanya.

Tengku Adnan berkata, Kadar dan Mazlan juga boleh dilucutkan keahlian dalam parti berkuat kuasa serta-merta jika terus bercadang memohon perintah mahkamah itu.

Katanya, dua ahli Umno itu tidak berhak mendesak perhimpunan agung ditangguhkan sehingga kes politik wang diselesaikan dan tiada peruntukan dalam Akta Pertubuhan dan Perlembagaan Umno mengatakan ia tidak boleh diadakan melainkan masalah politik wang selesai.

"Sebagai Setiausaha Agung, saya sudah sebut jika ada laporan yang dihantar menunjukkan penyelewengan berlaku, tindakan mesti diambil sebelum Perhimpunan Agung Umno. Jika ada penyelewengan, tidak semestinya perhimpunan dibatalkan," katanya.

Mengulas dakwaan tiada tindakan yang diambil oleh SPRM dan Lembaga Disiplin Umno berhubung laporan terhadap Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, Tengku Adnan berkata, tuduhan terhadap kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu tiada kaitan dengan politik wang.

"Jika ada unsur politik wang di mana peringkat sekalipun, sudah pasti Lembaga Disiplin dan SPRM akan mengambil tindakan," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url