Destinasi maut gunung Everest


Sepanjang Mac hingga Jun pada setiap tahun, para pendaki tegar akan menjadikan Gunung Everest sebagai lokasi 'percutian' mereka.

Gunung berketinggian 8,850 meter dari paras laut itu terletak di banjaran Himalaya dan menjadi pilihan terbaik pendaki untuk menghabiskan cuti dengan melengkapkan misi mendaki mereka.

Menjadi persoalan hari ini, kenapa masih ramai yang cuba menjadikan Gunung Everest sebagai destinasi pendakian terunggul walaupun menyedari kedatangan mereka ke sana seolah-olah mahu menghantar nyawa. Ini kerana setiap tahun, pasti ada pendaki menemui ajal dalam ekspedisi mendaki gunung tertinggi di dunia itu.

Pasukan penyelidik antarabangsa yang diketuai oleh Paul Firth dari Hospital Massachusetts, Amerika Syarikat, melaporkan bahawa sebanyak 212 kes kematian berlaku dari tahun 1921 hingga 2006 di gunung berkenaan.

Pendaki biasanya berhadapan dengan bahaya seperti suhu yang terlalu sejuk, angin kencang, perubahan cuaca yang terlalu mendadak dan runtuhan salji.

Ia adalah sebahagian daripada risiko dan bahaya yang menanti setiap pendaki yang memilih lokasi pendakian di kawasan beku itu sebagai tempat bercuti. Mereka boleh menemui ajal serta-merta apabila terdedah pada persekitaran suhu di bawah paras beku.

Begitu juga, paras oksigen yang begitu rendah iaitu sekitar 36 peratus di sekitar puncak Everest membuatkan sesiapa sahaja yang memilih untuk mendaki gunung itu seperti menempah maut untuk diri sendiri.

"Tiada seorangpun mangsa mati diserang Yeti atau makhluk lain," kata Firth merujuk kepada mitos 'orang salji' yang dikatakan wujud di pergunungan Himalaya itu.

Katanya, masih terdapat kes kematian yang belum dipastikan puncanya, namun sebahagiannya berpunca daripada Serebrum Edema.

Dalam situasi ini, kandungan oksigen pada paras yang rendah menyebabkan saluran darah selebral bocor di sekeliling tisu otak dan menyebabkan pembengkakan.

Kebanyakan kematian berlaku di ketinggian lebih 8,000 meter di Zon Maut dan kerap kali melibatkan mereka yang sudah sampai di puncak serta mahu turun semula.

Zon Maut yang terletak pada paras 7,500 meter atau 25,000 kaki ke atas itu menawarkan kubur kepada pendaki untuk bersemadi di celah-celah rekahan ais dan salji.

"Pendaki yang mati di ketinggian 8,000 meter adalah kerana mereka mengalami gejala-gejala neurologi atau hilang keupayaan diri," jelas Firth.

Kajian turut menunjukkan 1.3 peratus pendaki yang memanjat gunung tersebut telah berkubur di Everest.

Bagaimanapun, dalam kalangan pendaki tegar yang memilih gunung-gunung beraltitud tinggi, kejadian seperti itu tidaklah memeranjatkan.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url