ICT dalam Formula (F1)
Tapi lain pula kisahnya di sebalik tabir perlumbaan di tengah trek apabila setiap pasukan mempunyai puluhan jurutera bagi mengkaji setiap data membabitkan pelbagai isu termasuk cuaca tidak menentu di litar Sepang.
Hari ini, sukan F1 menuntut sokongan teknologi maklumat (IT) yang mantap bagi meningkatkan prestasi dan melancarkan operasi sama ada pasukan Vodafone McLaren Mercedes, Ferrari, BMW Sauber dan Renault.
Setiap pasukan memiliki kemudahan IT tersendiri yang memberi impak besar dalam sukan permotoran itu sehingga menentukan kejayaan selain kecekapan pemandu.
Sebelum perlumbaan F1 berlangsung minggu lalu, it@Metro menemu bual syarikat IT yang meletakkan jenama mereka pada satu pasukan bertanding bertujuan memperluaskan jenama organisasi perkomputeran terbabit di mata dunia.
Lenovo, bukan nama asing sebaik namanya bertukar daripada IBM, namun kedatangannya dalam sukan F1 membolehkannya menyalurkan teknologi yang mampu membantu dalam meningkatkan kecekapan pasukan Vodafone McLaren Mercedes diterajui Lewis Hamilton dan Heiki Kovalainen.
Pengurus Besar Negara Lenovo Technology Sdn Bhd, Khoo Hung Chuan, berkata penajaan syarikat itu untuk pasukan Vodafone McLaren Mercedes membantu meningkatkan jenama Lenovo di samping memperluaskan pemahaman mengenai produk kepada umum.
"Sukan F1 diketahui kepopularannya dan Lenovo percaya ia sesuai untuk meningkatkan imej Lenovo," katanya.
Menurut Khoo, pembabitan Lenovo dalam F1 membolehkan tenaga kerja syarikat itu berbangga dengan usaha organisasi yang menjurus ke arah pembangunan mutu kerja terbaik.
"Apabila pekerja berdepan dengan masyarakat, ia boleh berbangga kerana bekerja dengan syarikat yang menaja sukan F1," katanya.
Katanya, selain menaja pasukan F1, Lenovo meletakkan jenama mereka di bahagian litar untuk mengetengahkan jenamanya dan ThinkPad di enam perlumbaan iaitu Malaysia, Turki, Great Britain, Hungary, Singapura dan Brazil.
Mengulas mengenai pertukaran teknologi antara Lenovo dan Vodafone McLaren Mercedes, katanya syarikat itu mahu meneruskan tradisi kejuruteraan padu yang mampu membantu pasukan melangkah ke depan.
"Jenama kami perlu ditonjolkan pada keadaan terbaik kerana ia mencerminkan kualiti dan Vodafone McLaren Mercedes menggunakan kepakaran Lenovo dengan baik sebagai persiapan pasukan dari aspek kejuruteraan dan IT," katanya.
Khoo berkata, persiapan pasukan F1 memerlukan jentera termasuk kecanggihan teknologi yang memudahkan pemindahan serta menyimpan maklumat dengan baik serta bermutu tinggi.
"Lenovo menawarkan teknologi dari laptop sehinggakan ke sistem stesen yang memproses maklumat secara bersepadu dari sudut perkakasan kerana F1 memerlukan mesin tahan lasak," katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa model laptop yang digunakan pasukan Vodafone McLaren Mercedes termasuk jenama ThinkPad melalui T00, X200, X301 dan W500 bertujuan memudahkan jurutera mengkaji kekuatan serta kelemahan pasukan.
"Selain itu, model yang dilengkapi dengan sistem komunikasi Vodafone 3G mempunyai fungsi berlainan contohnya W500 yang lebih kepada perkomputeran mudah alih menampilkan 'render' grafik berprestasi tinggi.
"Seterusnya model T400 digunapakai sebagai pemprosesan prestasi dan pengumpulan analisis dan rangkaian bersepadu manakal X200 serta X301 yang ringan disesuaikan mengikut kehendak jurutera pasukan," kata Khoo.
Bukan itu saja, stesen kerja melalui jenama ThinkStation model S10 dan D10 juga diperkenalkan bagi melakukan tugas berat yang membabitkan data besar, rekaan kereta dan aerodinamik.
"Keupayaan ThinkStation sangat diperlukan apatah lagi ia mempunyai sistem grafik nVidia membantu pasukan mencipta rekaan paling baik," katanya.
Vodafone McLaren Mercedes turut mempunyai sistem paparan monitor terbaik ketika mengawasi perlumbaan apabila meletakkan lima model ThinkVision, L2440x, L2440p, L1700p, L174 dan L1900p sebagai kekuatan visual.
Khoo berkata, model L2440x digunakan di luar trek merangkumi skrin yang memaparkan data terus dari kereta pelumba, tempoh masa sirkit dan data kritikal lain.
Sementara itu, jurucakap pasukan Vodafone McLaren Mercedes, James Bower, berkata teknologi komponen akan ditukar pada setiap perlumbaan untuk memastikan mutu jentera lebih mantap.
"Kira-kira 75 peratus komponen ditukar pada setiap perlumbaan bagi mengelak sebarang masalah," katanya.
Bower memaklumkan, terdapat dua kawasan yang menggunakan kepakaran teknologi Lenovo iaitu 'Battle Station' dan 'Complain Counter'.
"Battle Station merangkumi sistem kawalan yang menempatkan beberapa jurutera mengkaji pergerakan pelumba dan jentera berdasarkan sistem kedudukan global (GPS). Ia mengkaji pelbagai aspek termasuk pasukan lawan," jelasnya.
Katanya, Battle Station juga menempatkan maklumat perlumbaan yang menyaksikan beberapa graf kelajuan dan memeriksa data berkaitan perlumbaan.
"Teknologi ini memberi peluang kami melihat jarak masa dan cuaca bagi menghasilkan data perlumbaan lebih terkini kepada pasukan dan pelumba," ujarnya.
Manakala bahagian utama berhampiran 'Pit Stop' menempatkan jurutera dan pembantunya yang mengkaji keseluruhan jentera termasuk kotak gear, enjin dan sebagainya.
- HARIAN METRO