Karpal Singh terjatuh di mahkamah


Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh terjatuh daripada kerusi rodanya semasa menghadiri sebutan kes permohonan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menangguhkan keputusan bayaran saman berjumlah RM63 juta kepada sebuah syarikat pembalakan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Beliau mewakili syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn. Bhd., (Seruan Gemilang) hadir di Mahkamah Tinggi Kuantan dan diangkat oleh beberapa pembantunya bersama kerusi roda untuk naik ke tingkat satu mahkamah tersebut.

Karpal dipercayai terjatuh ketika para pembantunya mahu meletakkan kerusi rodanya kembali di atas lantai di kaki lima mahkamah sebaik sahaja diangkat ke tingkat satu bangunan itu.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan memohon untuk meneruskan kes tersebut di tingkat bawah mahkamah tersebut bagi memudahkannya bergerak semasa menghadiri perbicaraan.

Berhubung perjalanan kes tersebut, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 April ini sebagai tarikh mendengar permohonan penangguhan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd. Halim Aman.

Abd. Halim pada Selasa lalu memutuskan Menteri Besar Pahang perlu menjelaskan bayaran penghakiman itu dalam tempoh 14 hari yang berakhir 4 Mei ini selepas membenarkan permohonan perintah 'mandamus' terhadap syarikat pembalakan tersebut.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url