Air Panas La, Besut, Terengganu


Air Panas La dikatakan boleh mengubati beberapa penyakit menyebabkan kolamnya menjadi tumpuan pengunjung pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Tidak ramai di kalangan kita yang menyedari kewujudan Pusat Rekreasi Kolam Air Panas La di Hulu Besut, Terengganu memandangkan daerah itu lebih dikenali dengan produk kraftangan terutama industri ukiran kayu.

Terletak di kawasan kelapa sawit Felda Tenang, pusat rekreasi tersebut lebih popular di kalangan penduduk setempat selain pengunjung yang datang dari daerah-daerah berhampiran termasuk dari Kelantan.

Kedudukannya yang agak terpencil dan dikelilingi pokok-pokok kelapa sawit menyukarkan pengunjung atau orang luar yang melalui Felda Tenang mengetahui tentang kewujudan kolam air panas tersebut.

Menurut Pengurus Kolam Air Panas La, Abdul Rani Ibrahim, kawasan itu telah dibangunkan sebagai taman rekreasi pada tahun 1990. Empat tahun kemudian ia dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sejak itu, beberapa pemimpin tertinggi negara turut mengunjungi kawasan itu termasuk Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

"Kolam air panas ini telah dijumpai pada zaman pemerintahan Jepun iaitu sekitar tahun 1946.

"Ketika itu, arwah ayah saya, Ibrahim Mat Ali, membawa sepasukan anggota tentera Britain untuk bersembunyi di kawasan tersebut," kata Abdul Rani yang ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Abdul Rani, sejak dulu lagi kolam air panas itu sangat terkenal kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri seperti mengubati beberapa penyakit.

Sehubungan itu, tidak hairanlah apabila kolam air panas tersebut menjadi tumpuan pengunjung pada setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Abdul Rani berkata, selain kolam air panas, pusat rekreasi itu juga mempunyai beberapa keunikan lain.

"Pengunjung boleh menyaksikan keunikan tiga bongkah batu besar yang bertindih sesama sendiri menyerupai kepala seekor gajah.

"Bagaimanapun, mereka perlu mendaki kira-kira 100 anak tangga untuk sampai ke tempat tersebut," katanya.

Katanya, bagi pengunjung yang sukakan cabaran, mereka boleh mengikuti aktiviti meredah hutan untuk melihat sendiri keajaiban air terjun Lata Berangin.

Air terjun yang mencapai ketinggian 350 meter itu hilang di celah-celah batu sebelum muncul kembali sebagai air sungai kira-kira 1.5 kilometer dari tempat tersebut.

"Seiring dengan harapan kami untuk menjadikan kawasan ini sebagai tarikan utama pengunjung, kami telah menyediakan beberapa kemudahan asas yang lain termasuk tempat penginapan, surau dan gerai-gerai menjual makanan.

"Kami juga mengekalkan kehijauan kawasan tersebut selain membina landskap yang lebih menarik," tambahnya.

Malah, katanya, kerja membaik pulih kolam ala jakuzi yang rosak dan tersumbat sedang giat dilakukan. Ia dijangka boleh digunakan semula dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Fathi Adha
    Fathi Adha Sabtu, 25 April 2009 pada 10:17:00 PTG SGT

    dulu2 tempat 2 takde ape, kolam air panas je...

    tp skrg dah bnyk menda len kt situ...makin menarik.. tak caya...melawatlah "cuti2 malaysia...sambil melancong ke Besut"

Add Comment
comment url