Komentar - Masa untuk bekerja di bawah kepimpinan UMNO negeri baru

Pengumuman barisan kepimpinan UMNO negeri dan ahli lantikan Majlis Tertinggi (MT) UMNO, kelmarin mengundang pelbagai reaksi apatah lagi ia melibatkan perubahan yang cukup ketara. Pelantikan beberapa muka baru seperti Bendahari, Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Penerangan, Ahmad Maslan mendapat respons positif. Begitu juga dengan peranan yang diberikan kepada ketiga-tiga Naib Presiden menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO iaitu Ahmad Zahid Hamidi (Pulau Pinang), Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu) dan Shafie Apdal (Kedah).

Ia bertujuan memperkukuhkan jentera UMNO di Kedah dan Pulau Pinang, yang diperintah oleh pembangkang. Sememangnya UMNO di kedua-dua negeri itu memerlukan suntikan baru dan perhatian lebih besar selepas tewas pilihan raya kecil di negeri masing-masing selain ditimpa kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Sementara Hishammuddin pula diharap dapat meredakan kemelut politik Terengganu berikutan rasa tidak puas hati sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri terhadap Menteri Besar, Ahmad Said. Beliau menjadi satu-satunya Menteri Besar yang tidak menyandang jawatan itu tetapi ia tidak harus dilihat sebagai tamparan. Sebaliknya inilah ruang terbaik untuk semua pihak bersama-sama menangani kemelut itu demi menjamin kekuatan UMNO Terengganu.

Keputusan untuk melantik Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Timbalannya, Muhyiddin Yassin di Wilayah Persekutuan membuktikan penekanan UMNO untuk memulihkan kekuatan parti itu di Lembah Klang. Ia juga bagi mengurangkan suhu politik berikutan isu kepimpinan lebih-lebih lagi selepas keputusan pemilihan parti dan pembentukan Kabinet baru.

Penampilan beberapa muka baru seperti Mustapa Mohamed (Kelantan) sudah dijangka manakala pelantikan Dr. Zambry Abdul Kadir (Perak) jelas mencerminkan sokongan dan keyakinan kepada beliau untuk mendepani cabaran di negeri itu. Pelantikan semula Mohd. Ali Rustam tidak mengejutkan atas faktor kestabilan dan beliau masih diperlukan memimpin UMNO negeri di sebalik berlegar isu kesalahan politik wang semasa pemilihan parti.

Bagi Perlis, pelantikan Mohd. Isa Sabu menerajui UMNO negeri itu dan Shahidan Kassim sebagai ahli MT, dilihat jalan keluar setelah kedua-dua pemimpin itu sebelum ini bertikam lidah isu perebutan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan.

Cabaran selepas ini, Mohd Isa dan Shahidan perlu lebih serasi dalam membawa keharmonian kepada UMNO negeri yang paling kecil itu dan bukan dengan imej bercakaran.

Dalam pada itu, timbul tanda tanya para pemerhati mengapa tiada perubahan bagi jawatan Setiausaha Agung, yang dikekalkan kepada penyandangnya, Tengku Adnan Tengku Mansor kerana merasakan Ibu pejabat UMNO perlukan kesegaran baru sesuai dengan pembaharuan yang mula dilaksanakan. Najib tentu ada alasan tersendiri melantik Tengku Adnan, mungkin untuk memanfaatkan pengalaman beliau.

Pelantikan Rafidah Aziz turut mengundang pelbagai analisis, yang Najib sudah menjelaskannya: “Kita ada kesinambungan dan kita ada pembaharuan.” Selain pengalamannya, keputusan mengekalkan Rafidah dalam MT dilihat sebagai strategi penyatuan dalam Wanita UMNO. Rafidah tewas kepada Shahrizat Abdul Jalil dengan majoriti besar pada pemilihan UMNO.

Rombakan yang dilakukan oleh Najib ini jelas menampakkan pembaharuan tetapi pada masa yang sama mengambil kira soal penyatuan dan kestabilan dalam parti, yang tidak harus banyak digegarkan pada peringkat awal peralihan kepimpinan. Sama ada suka atau tidak, keputusan telah dibuat dan inilah masa untuk barisan kepimpinan UMNO bekerja keras, lebih efisien dan bersatu bagi menjayakan pembaharuan.

Makin banyak petunjuk perubahan oleh Najib. Paling menggembirakan Awang apabila beliau tidak mengambil masa lama untuk meminda Perlembagaan berkaitan kaedah pemilihan parti yang lebih telus, terbuka dan demokratik menerusi perhimpunan khas hujung tahun ini. Itulah antara keputusan pertama MT UMNO kelmarin. Pindaan Perlembagaan itu akan menjadi salah satu daripada langkah penting pembaharuan UMNO yang juga bertujuan menangani politik wang.

Najib telah mempunyai rangka jelas tentang apa yang mahu diubah. Tetapi gerakan pembaharuan ini mungkin tidak membawa kesan jika masih ramai pemimpin UMNO di negeri dan bahagian terus dilanda sindrom selesa. Lebih menakutkan lagi jika mereka tidak terpanggil untuk berubah.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url