Top Ad 728x90

,

Memperkukuhkan kepimpinan ulama dalam PAS

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Apakah Pas akan mengalami perubahan dalam barisan kepimpinannya? Dan adakah pemilihan yang akan berlangsung pada Jun nanti bakal menyaksikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dicabar buat pertama kalinya.

Kedua-dua persoalan ini bermain di fikiran bukan sahaja ahli-ahli Pas malah pemerhati politik di luar parti itu yang sememangnya semakin merasai 'kehangatan' pemilihan kali ini. Tidak terlepas daripada pandangan ialah kedudukan Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden. Beliau dilaporkan akan dicabar oleh beberapa calon, antara yang disebut-sebut akan bertanding jawatan berkenaan ialah dua Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu, malah Menteri Besar Kedah, Datuk Azizan Abd.Razak juga dikatakan akan dicalonkan.

Persoalan, apakah perubahan drastik akan berlaku dalam Pas dan apa signifikan pemilihan kali ini bagi parti itu? Dalam mengulas perkara ini, Mohamad Sabu berkata, walaupun pemilihan kali ini cukup bermakna tetapi beliau menjangkakan pasukan kepimpinan yang akan dipilih dari sudut politiknya dilihat sebagai team yang akan mengambil alih pentadbiran Malaysia berdasarkan kepada mood rakyat pada hari ini.

''Kalau kita tengok dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini, maka tidak pelik, jika tidak berlaku perkara di luar dugaan, team yang dipilih akan mengambil alih pentadbiran Malaysia," katanya kepada Mingguan Malaysia.

Walaupun kenyataan Mohamad Sabu itu dilihat satu cita-cita yang tinggi namun beliau sememangnya mempunyai alasan untuk berhujah demikian dengan menegaskan bahawa di samping kekal dengan sokongan tradisi daripada orang Melayu, Pas akan terus mengorak langkah bagi mendapat sokongan bukan Melayu.

''Maka di situlah peranan yang saya cuba mainkan untuk menggembleng sokongan daripada selain daripada sokongan tradisi ada sekarang, kebetulan hubungan saya dengan PKR, DAP dan NGO agak lebih akrab jika dibandingkan di kalangan pemimpin Pas, maka di situ peranan yang saya boleh main bantu Presiden dalam menonjolkan Pas for All pada masa akan datang," katanya.

Pas sememangnya yakin bahawa kebimbangan bukan Melayu terhadap parti itu semakin berkurangan, semua itu memberikan keyakinan kepada kepimpinan parti berkenaan untuk mengorak langkah bagi memastikan usaha itu dimantapkan.

Parti tersebut bertindak demikian selepas mendapati dalam pilihan raya yang diadakan, Pas sudah berupaya mencapai kemenangan di kawasan pengundi yang mempunyai pelbagai bangsa.

''Pas boleh menang di kawasan contohnya Kota Raja, Kuala Selangor, Shah Alam dan terbaru di Bukit Gantang, jadi kita lihat ketakutan yang ada kepada parti Islam di kalangan bukan Islam sudah begitu jauh dan reda. Pas sudah boleh diterima dan peranan itu perlu ditingkatkan lagi supaya sementara dasar perjuangan Pas itu kekal tetapi pendekatan kita untuk mendapat sokongan umum itu perlu ada perubahan lagi," katanya.

Dakwaan

Apabila bercakap soal pemilihan, Pas sekali lagi tidak terlepas daripada persepsi bahawa di dalam parti itu kini terdapat 'pasukan-pasukan', tambahan pula dengan wujudnya dakwaan bahawa sudah terbentuknya pertembungan antara puak pro muzakarah dengan pro pakatan. Namun Mohamad Sabu tidak mahu terjebak dalam tafsiran berkenaan sebaliknya menegaskan, ''Semua dalam Pas adalah satu pasukan, tetapi kita tidak boleh bergerak dalam tradisi yang dulu, seperti hanya menang di Kelantan dan Terengganu sahaja, kita harus lebarkan lagi penguasaan dan ini hanya boleh dilakukan melalui perubahan minda dan pendekatan, oleh itu mesti ada satu pasukan yang boleh membuat perubahan tersebut."

Persoalannya, apakah dengan kenyataan berkenaan ini bermaksud Pas sedang menuju ke era menamatkan slogan kepimpinan ulamanya? Ini kerana berdasarkan perkembangan semasa seolah-olah ada usaha untuk mengubah kepimpinan ulama yang ada sekarang kepada era kepimpinan lebih terbuka.

Bagi menjawab persoalan ini, Mohamad Sabu yang merupakan salah seorang yang mencetus idea kepimpinan ulama dalam Pas bermula pada tahun 1983 menegaskan, beliau tetap mendokong kepimpinan itu.

''Tetapi ulama yang saya dokong seperti Imam Khomeini, Ahmadinejad, Hassan Nasrullah dan Sheikh Ahmad Yassin, kita perlu faham bukan semua yang datang dari Universiti Al Azhar dan boleh bercakap Arab itu boleh dipanggil ulama, ulama yang mahu mampu membawa satu perubahan.

''Jadi kini kita hendak memperkukuhkan lagi institusi itu, supaya jangan apabila kita sebut kepimpinan ulama dalam Pas, sampai ke satu peringkat dahulu pemeriksa kira-kira pun orang hendak ustaz, itu satu konsep yang tidak kena.

''Kepimpinan ulama ini bermaksud kita mahu ulama yang berwibawa terutamanya yang duduk dalam Majlis Syura, kita mahu kuasa mereka sehingga mampu memecat Presiden, kalau ada berlaku perlanggaran dasar atau pun matlamat Pas, itu yang kita cuba usahakan pada masa sekarang dan akan datang," katanya.

Bagaimanapun Mohamad Sabu tidak mahu terlibat dalam polemik berhubung wujudnya puak-puak tertentu dalam Pas sebaliknya lebih cenderung untuk melihat kepada formula baru politik Malaysia ini.

''Kalau muzakarah Pas untuk membolehkan parti itu kembali dengan UMNO dari sudut keMelayuannya saya tidak terima pandangan itu, sebab ia seperti hendak melaksanakan konsep dahulu apabila pemimpin Melayu buat salah macam mana pun kita kena sokong sedangkan pemimpin bukan Melayu yang jaga harta rakyat kita kena tentang kerana dia bukan Melayu, bagi saya politik seumpama itu orang sudah tidak terima," katanya.

Sebenarnya kenyataan Mohamad Sabu ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana di dalam Pas sekarang terdapat arus penentangan yang kuat terhadap sebarang usaha bermuzakarah dengan UMNO berhubung penyatuan Melayu.

Beberapa pemimpin parti itu yang dilihat menyokong langkah tersebut termasuk Abdul Hadi dan Nasharudin kini ditentang oleh ahli-ahli Pas. Justeru terdapat pandangan di dalam Pas berikutan suasana politik sekarang, usaha menggabungkan atau mewujudkan kerjasama antara Pas dan UMNO harus dihentikan kerana ia dilihat tidak sesuai dengan suasana politik semasa.

Lantang

Dalam perkara ini, Mohamad Sabu yang dilihat antara pemimpin Pas paling lantang mengkritik dasar-dasar kerajaan dan UMNO menegaskan, apa yang rakyat ingin lihat sekarang ialah pemimpin politik yang bersih tanpa mengira kaum.

''Saya lebih cenderung ke arah itu, jadi kalau kita pergi kepada muqabalah tidak ada masalah, untuk bertemu, malah saya sendiri agak banyak hubungan rapat dengan pemimpin UMNO dari segi berkawan, tidak ada masalah, tetapi kalau hendak buat balik penyatuan Melayu itu saya tidak setujulah," katanya.

Walaupun kenyataan sedemikian dilihat akan menjejaskan usaha menyatukan orang Melayu yang ketika ini terus berpuak-puak akibat politik tetapi Mohamad Sabu mempunyai pandangan berbeza kerana menurut beliau, Islam harus ditonjolkan sebagai agama kepada semua manusia.

''Hasil pendekatan yang kita buat, orang-orang bukan Islam mahu mendekati kita dan kita mahu antara mereka sampai ke peringkat mengucap dua kalimah syahadah bukan sekadar menjadi orang yang hanya boleh berkawan begitu sahaja, justeru soal perpaduan Melayu itu saya tolak, sebab saya tengok cara itu sudah berlangsung 50 tahun dan tidak ada hasil yang baik," hujah beliau.

Bagi Mohamad Sabu, perkembangan politik sekarang menunjukkan bahawa Islam mesti menonjol untuk membawa satu perubahan politik di Malaysia dan dalam soal ini sudah tentulah Pas berhasrat mampu melahirkan pemimpin seperti Hassan Nasrullah di Lebanon yang dilihat walaupun berjubah dan berserban tetapi diterima oleh semua pihak termasuk puak Kristian.

''Beliau dilihat sebagai seorang pemimpin ummah di sebuah negara yang kecil yang orang Islam hanya separuh daripada keseluruhan penduduk, beliau boleh muncul sebagai pemimpin, jadi pemimpin Pas mesti boleh muncul seperti itu, mereka tidak boleh muncul dalam bentuk hanya kepimpinan untuk kaum atau partinya sahaja. Dalam kepimpinan Pas, saya nampak pemimpin yang dilihat sebagai pemimpin semua orang ialah Nik Aziz, jadi yang lain-lain belum melepasi border kerana dianggap pemimpin Pas di kalangan Pas dan pemimpin Melayu," katanya.

Sementara persoalan kepimpinan ulama tetap menjadi matlamat utama Mohamad Sabu dan Pas, namun beliau juga tidak menafikan bahawa sikap terbuka ahli Pas terhadap mereka yang berlatar belakang agama juga semakin ketara.

''Apabila kepimpinan ulama ditonjolkan ahli-ahli Pas lebih cenderung hendak pemimpin yang bertaraf ustaz secara umum, namun hasil perubahan dalam beberapa tahun ini, kita tengok yang tak ustaz tetapi komited dengan parti sudah mula diterima. ''Contohnya kami boleh menang naib presiden, ertinya, mereka lihat juga dari sudut track record dan sebagainya,'' kata beliau.

Apa pun yang dihujahkan kini penentuan terletak di tangan ahli-ahli Pas, mereka sahaja berhak menentukan bentuk kepimpinan manakah yang mereka mahukan.

Dalam kedudukan Pas sekarang yang dilihat semakin memperkembangkan pengaruhnya sudah tentulah mereka tidak mahu sebarang pendekatan yang boleh menjejaskan hubungan bukan sahaja dengan rakan-rakan dalam pakatan tetapi juga sokongan bukan Melayu terhadap parti itu.

1 Comment:

  1. Siapa pun yang akan dipilih tidak penting, tapi yang dilihat dan dinilai ialah perjuangan PAS itu sendiri..


    arianni>>

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90