Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani penuh keinsafan


Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

Penganjuran Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor baru-baru ini wajar diberikan pujian.

Masakan tidak, dengan mengetengahkan konsep lagu-lagu kerohanian sebagai santapan kepada penonton, ia boleh dianggap sebagai wadah bukan sahaja untuk berhibur tetapi juga untuk menghayati erti hiburan yang sebenar.

Demikian manfaat yang diperoleh sewaktu menonton Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani anjuran Karya Hadani Sdn. Bhd. (KHSB) yang berjaya memberikan satu pendekatan baru dalam konteks pengertian muzik berunsurkan kerohanian.

Konsert ini tidak sekadar mengetengahkan lagu kerohanian yang acap kali dihidangkan tetapi jalur muzik rocknya yang menjadi tunjang utama konsert ini cukup menarik perhatian.

Apatah lagi dengan persembahan bertenaga oleh Yantzen yang sebelum ini pernah menjadi vokalis kumpulan Rusty Blade dan May menyaksikan sisi barunya yang sebelum ini cukup sinonim dengan muzik rock.

Mencuri perhatian

Cuma yang bezanya kini adalah perjuangannya dalam bidang muzik yang lebih kepada lirik yang menyampaikan mesej serta nasihat berguna kepada peminat dan penonton.

Vokalnya masih lagi ampuh dan sentuhannya dalam menyampaikan lagu-lagu seperti Zat Ilahi dan Keindahan Cinta Suci terus mengimbau nostalgia saat dia berada di puncak populariti menerusi lagu Insan.

Begitu juga dengan bekas vokalis kumpulan Mega, Rahmat Tohak yang sekian lama menyepikan diri, tampil ke atas pentas dengan persembahan yang tidak mengecewakan.

Lagu-lagu seperti Laksamana dan Warkah Buat Isteri membuktikan Rahmat masih lagi mampu menghiburkan peminat dan penonton meskipun perjuangannya bukan lagi seperti sewaktu dia bersama dengan kumpulannya yang cukup popular dengan lagu Bayangan Gurauan.

Sesekali terlihat juga dia melambai ke arah isterinya yang juga seorang bekas pelakon, Ainina Ahmad B saat mendendangkan lagu Warkah Buat Isteri yang ditujukan khas buat Ainina.

Selain Yantzen dan Rahmat, seorang lagi artis naungan KHSB, Razak Ahmad juga berjaya mencuri perhatian menerusi persembahannya pada malam itu.

Apatah lagi, agak lama juga dia tidak beraksi di atas pentas dengan lagu-lagu dendangannya, ternyata penghayatan dan nyanyian Razak masih lagi lunak dan merdu yang telah menjadi identitinya sejak dia tampil dengan lagu hitsnya satu ketika dulu, Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi.

Lagu-lagu seperti Renung dan Pesanan Untuk Ibu begitu jelas disampaikannya dan mesej yang terkandung dalam kedua-dua lagi itu cukup menusuk kalbu.

Persembahan oleh bekas anggota kumpulan Akar, Azam juga tidak mengecewakan apabila lagu-lagu seperti Semangat Aku dan Janji disampaikannya penuh perasaan serta mendapat tepukan yang gemuruh.

Menyedari pengaruh dan populariti artis-artis naungan KHSB tidak begitu kuat, konsert ini diperhebatkan dan dikuatkan lagi dengan kehadiran lima penyanyi lelaki ternama tanah air iaitu Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Amy Search, Mawi serta bekas penyanyi utama kumpulan Raihan, Nazrey Johani.

Ternyata kehadiran mereka sememangnya cukup ditunggu-tunggu peminat dan disambut dengan sorakan serta tepukan gemuruh saat mereka mendendangkan lagu masing-masing.

Peluang itu juga diambil oleh peminat untuk mengambil dan melihat dengan lebih dekat lagi persembahan artis pujaan mereka.

Tiada apa yang mampu dikatakan tentang persembahan lima artis tersebut kerana mereka sememangnya cukup bagus dalam melontarkan vokal serta memberikan penghayatan yang berkesan.

Namun begitu, strategi dan usaha KHSB menampilkan lima penyanyi hebat ini ternyata belum mampu untuk menarik perhatian peminat dan penonton dalam konsert yang mengenakan bayaran RM60, RM150 dan RM200.

Ini dapat dibuktikan menerusi sambutan dingin para penonton yang dianggarkan sekitar 1,000 orang sahaja walaupun stadium berkenaan mampu memuatkan lebih daripada 6,000 penonton dalam satu-satu masa.

Kerana itu, sebelum bermulanya konsert, pemegang tiket berharga RM150 diminta memenuhi ruang kosong pada tempat duduk yang berharga RM200.

Kelas pertama

Walaupun kurang mendapat sambutan, tetapi Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani masih mampu berdiri dengan penuh gah apabila berjaya mempamerkan kehebatan serta kecemerlangan dari segi produksinya.

Permainan cahaya laser dan grafik yang melatari pentas dan tirai latar begitu berkesan dan impaknya dirasai seiring dengan lagu-lagu yang dipersembahkan oleh artis naungan KHSB.

Ternyata, janji penerbit dan pengarah urusan KHSB, Raja Iskandar Raja Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Is Wow untuk memberikan persembahan hebat dan lain daripada yang lain ditunaikan.

Bukan itu sahaja, kualiti muzik dan sistem bunyi sepanjang tiga jam konsert ini berjalan memang berada di dalam kelas pertama dengan kos keseluruhan mencecah RM300,000.

Merit itu ditambah dengan persembahan mantap 14 orang pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muziknya, Md. Shaharil Shamsuddin.

Tetapi, sayang seribu kali sayang ada juga kecacatan di hujung persembahan yang tidak sewajarnya berlaku.

Audiens pada malam itu bagai dapat merasakan ada yang tidak kena pada pengakhiran Perjalanan Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani.

Semoga KHSB mengambil kelemahan ini sebagai satu cabaran untuk membuat konsert yang lebih hebat dan cemerlang di masa hadapan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url