Maybank: ASB boleh dilabur dalam talian


Permodalan Nasional Bhd. (PNB) bersama Malayan Banking Bhd. (Maybank) hari ini mencipta sejarah apabila melancarkan kemudahan pelaburan tambahan dalam talian .

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, dengan kemudahan itu, pelabur ASB boleh menambah pelaburan melalui Maybank2u.com sahaja tanpa perlu lagi beratur di kaunter Amanah Saham Nasional Bhd. atau di bank.

Kemudahan menambah pelaburan itu telahpun mula dijalankan pada pertengahan Mac lalu.

Pelancaran perkhidmatan itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena pelancaran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009, di sini hari ini.

Menurut Abdul Wahid, pengenalan kemudahan itu akan meningkatkan kecekapan dan keselamatan pembayaran secara elektronik, sekali gus membolehkan pelabur menambah pelaburan ketika berada di mana-mana sahaja di seluruh dunia.

Tambah beliau, kemudahan terbaru itu juga amat unik kerana membolehkan pelaburan dibuat untuk akaun pihak ketiga, sekali gus memudahkan ahli keluarga melabur bagi keluarga mereka.

Beliau berkata, Maybank tidak membelanjakan peruntukkan besar untuk menyediakan kemudahan tersebut sebaliknya menggunakan prasarana sedia ada.

''Pelabur yang mahu menggunakan perkhidmatan ini perlu mengaktifkan akaun ASB dan kemudian membuat pilihan simpanan untuk membuat tambahan pelaburan. Semua rekod transaksi yang berjaya boleh dicetak,'' katanya.

Pelaburan minimum adalah dari RM1 hingga RM200,000 dengan kos transaksi sebanyak RM1.

Abdul Wahid berkata, sejak kemudahan itu diperkenalkan bulan lalu, Maybank sudah menerima sejumlah RM500,000 pelaburan tambahan untuk ASB.

''Kita harap jumlah ini akan meningkat selepas pelancaran ini kerana ia sangat efektif,'' ujar beliau.

Setakat ini, pengguna Maybank2u.com yang berdaftar adalah berjumlah tiga juta tetapi hanya 1.2 juta yang aktif.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url