Pesakit kekurangan zat, apa tindakan anda?

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

Apabila ada ahli keluarga yang sakit teruk dimasukkan ke hospital, pernahkah anda terfikir untuk bertanya doktor mengenai menu atau pelan pemakanan untuk pesakit, bentuk makanan yang diberi dan adakah mereka menerima khasiat secukupnya sepanjang di dalam wad?

Tahukah anda, ramai pesakit di hospital di seluruh dunia, termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, mengalami masalah kekurangan zat walaupun di kelilingi pakar dan kakitangan perubatan yang memantau keadaan mereka setiap hari?

Ramai beranggapan keadaan seseorang pesakit itu benar-benar teruk jika badannya susut dan menjadi kurus sepanjang tempoh menerima rawatan.

Anggapan ini ada benarnya dan keadaan menjadi lebih buruk jika pesakit juga kekurangan zat yang akan memperlahankan penyembuhan proses penyembuhan.

Timbul persoalan, bagaimana pesakit yang dijaga sepanjang masa boleh mengalami kekurangan zat? Beberapa faktor menyumbang kepada masalah ini, iaitu pesakit tiada selera makan (terutama apabila melihat makanan hospital yang hambar dan tidak menarik), kurang pengetahuan di kalangan kakitangan perubatan dan terapi pemakanan tidak dimulakan serentak dengan rawatan perubatan.

Kekurangan zat adalah isu besar di seluruh dunia dan status nutrisi boleh menjadi parameter kepada keberkesanan sistem kesihatan serta rawatan di sesebuah hospital.

Malah, kekurangan zat yang teruk sehingga membawa kepada komplikasi kesihatan dan kematian boleh menjejaskan reputasi sesebuah institusi perubatan.

Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Parenteral dan Enteral Malaysia (PENSMA), Harbans Kaur Dhillon, pemberian makanan berzat antara terapi yang menjimatkan kos jika diamalkan dengan baik.

“Pesakit boleh mengalami masalah kekurangan zat ketika di hospital yang akan menyebabkan komplikasi kesihatan jika mereka tidak diberi perhatian. Biasanya kekurangan zat membuatkan pesakit hilang berat badan dan menjadi kurus,” katanya.

Terapi pemakanan sangat penting dan kegagalan memberi pesakit pemakanan sempurna memberi beberapa kesan negatif seperti:

# l Keadaan pesakit bertambah buruk

# Penyakit lebih sukar dirawat

# Tempoh rawatan menjadi lebih lama

# Kemungkinan berlaku komplikasi, termasuk kematian

Secara purata di seluruh dunia masalah kekurangan zat di kalangan pesakit dianggarkan dalam lingkungan 30 hingga 40 peratus, sama ada di negara maju atau membangun. Masalah ini diyakini lebih tinggi di negara yang miskin dan kekurangan peralatan perubatan.

Kekurangan zat boleh berlaku kepada semua pesakit walaupun mereka boleh makan secara normal dan tidak mengalami masalah penghadaman.

Kajian di Britain mendapati hanya 69 peratus pesakit di hospital yang cukup zat, manakala 21 peratus mengalami masalah kekurangan zat peringkat sederhana dan 10 peratus lagi kekurangan zat yang teruk.

Masalah kekurangan zat di hospital di Amerika dalam purata 30 hingga 50 peratus membabitkan pelbagai masalah kesihatan yang memaksa pesakit ditahan di dalam wad, termasuk pembedahan tulang belakang dan keretakan tulang pinggul.

Soal selidik di 11 hospital besar di China membabitkan 5,303 pesakit mendapati, 18.7 peratus pesakit kekurangan zat dan 38.6 peratus lagi berisiko mengalami masalah kekurangan zat.

Pensyarah Perubatan Unit Rawatan Rapi Universiti Queens, Kanada, Profesor Dr Daren Heyland, berkata dalam keadaan normal, makanan seimbang cukup untuk membekalkan hampir semua nutrien yang diperlukan badan.

Pesakit yang tidak boleh makan secara normal atau ada masalah pada sistem penghadaman akibat kemalangan, pembedahan atau rawatan dikategorikan sebagai kumpulan yang tidak boleh makan secara normal dan paling berisiko mengalami kekurangan zat.

“Kumpulan ini sangat memerlukan pemakanan klinikal bagi memastikan sel dan otot pesakit mendapat nutrien yang diperlukan untuk pemulihan (sel rosak) dan mempercepatkan penyembuhan.

“Pemakanan klinikal sangat penting untuk pesakit yang menghidap penyakit kronik atau akut. Ia diperlukan untuk memperbaiki hasil rawatan dan lebih awal ia diberi, tempoh pesakit tinggal di hospital lebih singkat.

“Kajian menunjukkan tabiat pemakanan memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan, boleh merendahkan risiko mendapat penyakit dan mempercepatkan penyembuhan.

“Ini bukan saja merangsang keberkesanan keseluruhan rawatan, tetapi juga boleh menjimatkan kos,” katanya pada Kursus Pemakanan Lanjutan Fresenius Kabi (FRANC) Asia 2009.



Pemakanan klinikal

Pemakanan klinikal ialah pemakanan sokongan untuk pesakit yang kekurangan zat, tidak boleh makan secara normal atau mengalami masalah sistem penghadaman dan ia diberi ketika mereka di hospital.

Pemakanan klinikal juga dianggap ‘pemakanan tiruan’ yang dibahagi kepada dua jenis, iaitu pemakanan parenteral dan enteral. Pemakanan parenteral (PN) ialah makanan yang disuntik ke dalam salur darah memintasi usus.

Manakala pemakanan enteral (EN) pula diberi kepada pesakit yang tidak boleh makan melalui mulut tetapi sistem penghadamannya boleh berfungsi seperti biasa. Makanan enteral diberi melalui tiub pada perut atau terus ke usus pesakit.

Antara pesakit yang memerlukan pemakanan enteral ialah pesakit strok atau pesakit yang ada masalah menelan makanan.

Perunding Hal Ehwal Perubatan Fresenius Kabi Asia Pasifik, Profesor Jonathan Asprer, berkata lebih cepat terapi pemakanan dimulakan lebih baik kerana ia akan memendekkan tempoh pesakit tinggal di hospital.

Terapi pemakanan yang dimulakan dua hari lebih awal membolehkan pesakit keluar hospital sehari lebih awal. Walaupun mungkin ada yang menganggap perbezaan sehari tidak memberi kesan besar terhadap pesakit, langkah ini boleh menjimatkan kos sistem perubatan.

Kajian di United Kingdom mendapati, kaedah ini dapat mengurangkan perbelanjaan sistem perubatan sebanyak RM25 bilion setahun.

Profesor Heyland berkata, pesakit yang status pemakanannya normal juga boleh mengalami masalah kekurangan zat dan menjadi kurus ketika di hospital jika tidak diberi perhatian.

Kekurangan zat di kalangan pesakit boleh menyebabkan mereka kehilangan antara 10 hingga 15 peratus berat badan dalam masa sebulan.

Malangnya, penurunan berat badan ini bukan petanda baik kerana penyakit berkaitan masalah tidak cukup zat adalah lebih rumit dan sukar dirawat, terutama jika Indeks Jisim Badan (BMI) pesakit kurang daripada 18.5 kg/m2.



Siapa yang memerlukan pemakanan klinikal?

# Semua pesakit yang mengalami keadaan kronik dan akut dengan risiko kekurangan zat yang disebabkan tidak cukup makan

# Pesakit yang tidak cukup makan

# Semua pesakit kekurangan zat yang akan menjalani pembedahan

# Pesakit yang sudah menjalani pembedahan

# Pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi

# l Menghidap penyakit kronik yang memerlukan banyak tenaga dan zat seperti kanser, HIV/Aids

# Mengalami kegagalan organ seperti buah pinggang dan hati

# Mengalami masalah usus seperti keradangan pankreas atau keradangan usus

# Menghidap penyakit saraf seperti strok

# Mengalami gangguan pemakanan (aneroksia nervosa)

# l Mangsa kebakaran yang teruk

Menurut Harbans yang juga perunding unit farmasi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), doktor akan menentukan pesakit mana perlu diberi pemakanan klinikal berdasarkan ciri-ciri di atas.

Pemakanan klinikal untuk pesakit disediakan khusus mengikut keperluan masing-masing kerana setiap penyakit memerlukan khasiat pemakanan berbeza.

Setiap penyakit memberi kesan berbeza terhadap badan dan keadaan pesakit menjadi lebih buruk jika dia menghidap lebih daripada satu penyakit.

Justeru, pengamal perubatan perlu lebih peka memastikan keadaan pesakit kerana badan menunjukkan tindak balas lebih baik terhadap semua jenis ubat jika menerima cukup khasiat.



Kenapa terapi pemakanan penting?

Pesakit dan hospital akan mendapat manfaat daripada terapi pemakanan dalam bentuk:

a. Untuk pesakit

# Penyembuhan lebih baik (luka cepat sembuh dan kurang komplikasi jangkitan)

# Kesihatan keseluruhan meningkat

# Kualiti hidup meningkat

# Kekurangan zat meningkatkan komplikasi ketika pembedahan dan risiko kematian

# Memperbaiki tindak balas badan pesakit terhadap rawatan dan ubat

b. Untuk hospital

Masalah kekurangan zat di kalangan pesakit menyebabkan kos rawatan meningkat kerana:

# Pesakit mengambil masa lebih lama untuk sembuh

# Keberkesanan rawatan perubatan secara keseluruhan menurun, mengakibatkan pesakit perlu dirawat lebih lama



Cabaran

Meskipun teknologi perubatan pesat berkembang, masalah kekurangan zat makanan masih wujud di seluruh dunia. Banyak kajian menunjukkan kadar kekurangan zat di kalangan pesakit Barat tidak banyak berbeza dengan keadaan di Timur, termasuk rantau Asia.

Masalah kekurangan zat terus berlaku kerana kekurangan kesedaran kepentingan terapi pemakanan di kalangan pakar perubatan.

Yang kerap berlaku ialah pakar perubatan tidak memasukkan terapi pemakanan sebagai sebahagian daripada rawatan mereka, sedangkan pesakit memerlukan ubat dan makanan untuk cepat sembuh.

Menurut Harbans, kerjasama semua pakar diperlukan untuk memastikan terapi pemakanan pesakit berjalan lancar kerana pemakanan sempurna merangsang proses penyembuhan dan mengurangkan risiko jangkitan atau komplikasi penyakit.

Malah, setiap pesakit berhak diberi pemakanan sempurna (sama ada diambil secara oral atau pemakanan klinikal) supaya mereka boleh keluar dari hospital lebih awal.

Pada masa sama, ahli keluarga boleh turut meningkatkan kesedaran di kalangan pakar perubatan dengan bertanya status pemakanan pesakit dan meminta mereka menerangkan keperluan pemakanan mengikut penyakit dihidapi.

Antara soalan yang boleh diajukan ialah:

# Bagaimana pelan pemakanan untuk pesakit?

# Adakah mereka memerlukan makanan tambahan?

# Adakah pesakit makan ikut waktu?

# Adakah mereka mendapat zat diperlukan?

# Adakah mereka makan secukupnya (mengikut kuantiti diperlukan)?

# Adakah mereka perlu diberi makanan tambahan atau makanan khas?

# Bagi yang boleh makan secara normal, bolehkah keluarga membawa makanan kegemaran mereka?

# Apakah jenis makanan yang boleh atau tidak boleh diberi?

# Bagaimana pelan pemakanan selepas keluar dari hospital?

Walaupun tiada data kes kekurangan zat di kalangan pesakit di negara ini, ia bukan menandakan masalah itu tidak berlaku. Tidak kira di manapun seseorang pesakit ditempatkan, dia tetap berhak menerima rawatan dan pemakanan sempurna.

Pemakanan sempurna dan seimbang bukan saja mempercepatkan penyembuhan, tetapi turut melindungi seseorang daripada jangkitan atau penyakit lain.

Benarlah falsafah Ayurveda yang mengatakan, apabila pemakanan salah, rawatan tidak berguna. Apabila pemakanan betul, rawatan tidak diperlukan.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url