AF7 - Kejutan penyingkiran Zizi, Rubisa


Dua pelajar favourite, Zizi dan Rubisa terpaksa melupakan hasrat mereka untuk merebut gelaran juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) apabila tersingkir daripada program realiti popular itu malam tadi.

Penyingkiran Zizi atau nama sebenarnya Nurfazelah @ Zizie Mad Tahil), 24; dan Rubisa (Rubisa Tiasin), 22; jelas mengejutkan pengkritik tetap, tenaga-tenaga pengajar dan penonton.

Ini kerana, kedua-duanya terutama Zizi dikatakan sentiasa membuat persembahan terbaik malah malam tadi, kedua-duanya menerima pujian dan komen positif daripada pengkritik- pengkritik.

Dengan penyingkiran itu, ia menjadikan peserta yang tersingkir setakat ini adalah seramai lima orang.

Dua minggu lalu menyaksikan Adila atau nama sebenarnya, Nas Adila Mohd. Dan menjadi peserta pertama meninggalkan AF7 dan diikuti pula dengan Rini (Zuzafrini Zulkifli) serta Obri (Ahmad Sobri Hasmuni) yang tersingkir minggu lalu.

Pengumuman penyingkiran itu dilakukan oleh pengacaranya, AC Mizal sebelum berakhirnya konsert mingguan keempat yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini, malam ini.

Sejurus pengumuman itu, pengkritik-pengkritik, tenaga pengajar dan penonton di dewan itu kelihatan tertanya-tanya apa yang berlaku dengan keputusan yang dibuat oleh para pengundi, seolah-olah sukar mempercayai penyingkiran Zizi dan Rubisa.

Menerusi konsert yang mengangkat tema lagu-lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search itu, Zizi telah memberikan persembahan menerusi lagu Aku Dah Bosan manakala Rubisa menyanyikan lagu Tiada Lagi, kedua-duanya nyanyian asal Amy.

Dengan penyingkiran itu, secara tidak langsung telah memberi peluang kepada sembilan orang peserta lain untuk bergelar juara AF7.

Persembahan kesemua peserta telah dinilai oleh dua orang pengkritik tetap AF7 iaitu Edrie Hashim dan Adlin Aman Ramlie selain Siti dan Amy selaku pengkritik undangan.

Mereka yang masih lagi bertahan dalam meneruskan perjuangan mereka adalah Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad, 18; Aril (Khairil Azam Pilus), 24; Hafiz (Mohd. Hafiz Mohd. Suip), 19; Qhaud (Mohd. Qhauhd Abdul Rashid), 25; Sidi (Mohd. Rashidi Mohamad Isa), 26; dan Yazid (Mohd. Yazid Kamal Ibrahim), 22.

Peserta lain adalah Claudia (Claudia Fay Geres), 23; Isma (Ismaliza Ismail), 30; dan Aishah (Siti Aishah Bujang), 18.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url