PNB kuasai 14 peratus Bursa Malaysia

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang kini memiliki dana hasil pelaburan berjumlah RM100 bilion, menguasai 14 peratus daripada nilai permodalan pasaran Bursa Malaysia.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, melalui dana itu, firma pelaburan terkemuka itu melabur 281 buah syarikat dengan 230 tersenarai di Bursa Malaysia dalam pelbagai sektor strategik seperti perladangan, perbankan, hartanah, minyak dan gas, tenaga dan pelabuhan.

PNB kini mempunyai ekuiti majoriti dalam Sime Darby Bhd., Malayan Banking Bhd., Malaysian Industrial Development Finance, Northport dan Chemical Company of Malaysia.

''Menerusi pemilikan PNB dalam 281 buah syarikat itu, bumiputera negara ini secara tidak langsung sekarang mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan yang bernilai berbilion-bilion ringgit,'' katanya ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 di sini hari ini.

Majlis perasmian MSAM kali ke-10 itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehingga 31 Mac tahun ini, PNB memiliki 9.3 juta pelabur yang merupakan 69 peratus daripada jumlah keseluruhan pelabur dalam industri unit saham amanah negara.

Tambahnya, 9.3 juta pelabur itu memiliki 87.36 bilion unit saham amanah yang juga 36 peratus daripada jumlah keseluruhan unit saham amanah negara.

Ahmad Sarji berkata, PNB juga memberi pulangan dividen pada kadar kompetitif, daripada serendah lima peratus dan paling tinggi 11.75 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Tambahnya, sehingga kini pelabur bukan bumiputera adalah seramai 862,401 dengan memegang lebih 10 bilion unit saham dalam Amanah Saham Wawasan 2020, Amanah Saham Malaysia, Amanah Saham Gemilang dan Amanah Saham Nasional 3.

Jumlah itu mewakili 11.4 peratus daripada jumlah keseluruhan unit saham PNB.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url