PNB tawar lebih 5 bilion unit ASM, ASW mulai esok

Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan menawarkan 3.33 bilion unit baru Amanah Saham Malaysia (ASM) dan 2.0 bilion unit Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020).

Unit-unit ASM itu akan dijual mulai esok di semua 1,500 ejen dan pejabat Amanah Saham Nasional Bhd di seluruh negara, sementara unit-unit baru ASW 2020 boleh dilanggani mulai 27 April ini.

Ia diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan hari ini.

Pengumuman tawaran unit baru itu, yang akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menyertai pasaran modal, dibuat semasa Perdana Menteri merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 (MSAM 2009) yang sedang berlangsung di sini hari ini.

MSAM 2009 yang menjadi satu acara tahunan, diadakan sebagai usaha mempertingkat kesedaran serta kefahaman mengenai pelaburan dan kepentingan merancang kewangan.

Kedua-dua tawaran tambahan itu akan dikenakan had langganan maksimum 20,000 unit setiap pelabur.

Najib berkata dalam tempoh 19 tahun ini, MSAM yang telah diadakan secara konsisten setiap tahun telah mendatangkan hasil yang positif dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan simpanan dan pelaburan.

"Jikalau sewaktu krisis, mata wang pada tahun 1998 dahulu menyaksikan pengeluaran hampir RM1 bilion dari skim unit amanah PNB seperti ASB oleh para pelabur, keadaan sekarang bertambah baik," katanya.

Beliau berkata PNB kini menikmati aliran bersih lebih daripada RM10 bilion ke dalam dana tajaannya pada tahun lalu.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya amat berbesar hati kerana PNB kini berjaya menggembleng dana lebih RM87 bilion yang dikumpul dari lebih 9.3 juta orang pelabur," katanya.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url