Rahsia 165 buat Diana - Zamarul
“Sudah pergi ESQ?” itulah pertanyaan pertama yang terpacul dari mulut Diana kepada penulis. Apabila menyatakan sudah, segala-galanya begitu senang untuk difahami.
Rupa-rupanya ESQ; sebuah kursus yang menekankan pencarian spiritual dalam jiwa manusia telah menjentik hati Diana dan Zamarul untuk mendirikan rumah tangga. Meskipun sudah menghadiri peringkat pertama ESQ dua tahun lalu, peringkat kedua yang dihadiri mereka Februari lepas akhirnya membuahkan hidayah kepadanya dan Zamarul untuk memasuki fasa baru sebagai umat Muhammad.
“Benar Diana dan Zamarul sudah pergi ESQ pada tahun 2007 lagi. Malah sejak itu kami selalu pergi ‘re-charge’ untuk mengekalkan kesedaran di hati. Tapi dalam tempoh itu kami masih sibuk dengan urusan masing-masing dan sering menjadikan alasan belum sampai seru untuk menunda majlis. Sehinggalah ketika menghadiri MCB (Mission Character Building) Februari lalu, saya dan Zamarul baru tahu apa itu erti ‘seru’ yang sering disebut-sebut. Atau mungkin, semua ini berkat doa yang diaminkan oleh lebih 300 peserta ketika kursus,” ujar pelakon manis ini.
Menurutnya, salah seorang pengendali ESQ yang mesra dipanggil Pak Aminul memanggil Zamarul ketika kursus berlangsung dan mendoakan agar pasangan ini cepat ditemukan jodoh di hadapan peserta lain. Mengenang perkara ini, Diana berhasrat untuk menjemput para alumni ESQ menghadiri majlis bersejarahnya yang diadakan di Bourgenvilla Garden, Shah Alam kelak.
“Kami ingin memilih tarikh 16 Mei sempena angka 165 yang begitu besar maknanya (1 - ihsan, 6 - rukun iman, 5 - rukun Islam) jadi persiapan agak singkat. Mujurlah banyak pihak membantu terutamanya Emma K yang membuat kad kahwin kami, NSC Design (perancang perkahwinan), Syahril Nordin (persalinan), Kuzie Catering, Ceria Canopy, Bumi Asli Lighting, Maya Fabrics dan adik-beradik saya yang lain.”
Angka 165
Tambah pemilik spa D’Lugano ini, “Tiada sekelumit pun niat untuk menunjuk-nunjuk seolah-olah kami banyak duit hingga menolak sebarang tajaan bagi majlis nanti tapi itulah pendirian Zamarul kerana baginya lebih afdal jika majlis ini dibuat menggunakan duit sendiri. Lagi pula kami memang sudah sepakat mahu mengadakannya serba sederhana mengikut kemampuan.”
Pada majlis kelak, angka 165 juga diabadikan menerusi wang hantaran Diana yang berjumlah RM16,500. Jumlah jemputan pula dianggarkan kira-kira 1,000 orang.
Menyentuh tentang hidup berumah tangga yang bakal ditempuh, Diana mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya. Begitu pun, dia tidak kisah bergelar ‘ibu segera’ kepada anak Zamarul bersama bekas isterinya dahulu; Izzat Haiqal, 9. Izzat yang membahasakan dirinya Boy sudah lama memanggilnya Mama D.
- SINAR HARIAN