Setiausaha mesti jaga rahsia

Kerjaya sebuah syarikat sering dikait dengan peranan seorang setiausaha. Bukan sahaja dari segi ketelitian membuat kerja, malah sikap dalam menjaga kerahsiaan syarikat dan hal peribadi majikan perlu menjadi keutamaan.

Dalam kata lain, setiausaha perlu amanah dalam kerja mereka.

Ini kerana kelancaran kerja majikan dan sebuah syarikat banyak bergantung kepada pengurusan setiausaha.

Secara tidak langsung, setiausaha menjadi ilham kepada majikannya atau sesebuah organisasi itu dalam melahirkan suasana kerja yang positif.

Sementara itu, seorang setiausaha perlu menjaga penampilan agar lebih ceria dan mudah didekati termasuk cara solekan, pakaian dan berkomunikasi.

Menurut penasihat imej dan latihan D'Navechee, Shariffa Rasheedah Al Junied, setiausaha mempunyai peranan dan amalan yang penting iaitu seseorang perlulah bersikap setia kepada organisasi dan ketuanya dalam aspek menjalankan tugas yang diamanahkan.

Mereka juga perlu menjaga kerahsiaan syarikat dan hal peribadi majikan.

"Seorang setiausaha akan menjaga rahsia syarikat dan juga hal ehwal majikannya. Walaupun timbul tekanan kerana berlakunya lebihan kerja, setiausaha perlu memikul tanggungjawab tersebut. Oleh itu, setiausaha perlu pandai mengatur masa. Panduan ringkas, jangan bawa kerja ke rumah. Selain itu, setiausaha perlu tegas supaya tiada kecuaian dan kebocoran dalam maklumat penting dan rahsia dalam dokumen," katanya yang ditemui di sidang media seminar setiausaha anjuran Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) di Hotel Istana baru-baru ini.

Selain Rasheedah, pengasas syarikat kecantikan D'Navechee dan juga pemenang anugerah Wanita Ikon anjuran majalah Wanita, Datuk Azlina Hj. Che Abdullah antara panel yang akan menyampaikan seminar.

Seminar yang akan diadakan pada 27 April ini mendapat kerjasama daripada D'Navechee, DCL dan Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Menuruh Rasheedah, setiausaha juga perlu sensitif kepada persekitaran ketua dan organisasinya sebelum sebarang cadangan.

Baginya, bekerja dengan majikan wanita lebih mudah kerana mereka saling memahami keperluan.

Bahkan, setiausaha wanita dapat memahami majikan wanita dengan hanya membaca bahasa tubuh badan.

"Pada era ini, kerjaya setiausaha lebih mencabar. Oleh itu, mereka perlu menjaga peribadi untuk berhadapan dengan orang ramai. Misalnya, cara berpakaian amat penting untuk mengelakkan gangguan seksual. Namun, setiausaha masih boleh bergaya dengan ketrampilan peribadi

yang menarik dan mempunyai imej yang tersendiri," jelasnya.

Selain itu, imej seorang setiausaha sama ada mereka bertudung atau tidak amat penting kerana ia mencerminkan identiti majikan dan syarikat.

"Mereka perlu kemas dan gaya tidak boleh terlalu menonjol. Tidak semestinya perlu mengenakan kot dan memilih warna gelap. Kriteria pakaian penting untuk menceriakan suasana. Setiausaha boleh memilih pakaian yang bersifat kewanitaan dengan memilih warna yang ceria seperti kuning, oren atau merah samar.

Dari sudut psikologi, setiausaha boleh berubah dan warna ceria boleh membina perasaan yang baik," katanya yang pernah menjadi pembantu dan setiausaha Azlina.

Dalam pada itu, seminar itu turut menampilkan Roslan Shah yang akan bertindak sebagai pengacara majlis dan Hattan yang akan menghiburkan para peserta. Seminar ini juga akan dimeriahkan lagi dengan persembahan pertunjukan fesyen oleh De'Zain Boutique.

Setiap peserta hanya perlu membayar RM300 untuk menyertai seminar ini termasuk kertas kerja seminar, sagu hati, cabutan bertuah, minum pagi, makan tengah hari dan minum petang.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Azizah Rashidi atau Ann Fara di talian 03-92856577 dan faks 03-9274645 atau dapatkan borang di www.mybooks.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url