Ulangtahun ke-75 TLDM - Pengorbanan seluas samudera
Usia 75 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Bagi angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tempoh sepanjang itu ditempuhi dengan pelbagai cabaran selain berdepan dengan laluan berliku yang penuh pahit-getir.
Pada masa yang sama, banyak perubahan telah berlaku dalam angkatan lautan samudera itu. Sama ada melibatkan pucuk pimpinan, aset-aset berkaitan, kemahiran dan pelbagai lagi.
Satu ketika dulu mungkin tidak terlintas bahawa Malaysia sebagai sebuah negara 'kerdil', mampu memiliki kapal selam serta aset-aset ketenteraan yang canggih. Tetapi itulah antara perubahan yang berlaku dalam TLDM.
Tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat dan dunia harus memberi "tabik hormat" kepada TLDM di atas segala pencapaian dan juga pengorbanan yang dicurahkannya.
Pengorbanan TLDM bukan sahaja untuk negara, malah meliputi keselamatan antarabangsa seperti penghantaran kapal serta anggota ke Teluk Aden bagi menangani ancaman lanun.
Perlulah diingat, ia melibatkan kos yang amat tinggi namun demi keselamatan kapal-kapal dagang milik Malaysia dan negara lain, langkah itu tetap diambil.
Walaupun diiktiraf oleh negara dan dunia luar, TLDM tidak pernah mendabik dada dan jauh sekali berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai.
Bagi angkatan itu, perkembangan dalam TLDM harus berterusan menerusi anjakan paradigma bagi mengekalkan kewibawaannya.
Sempena Jubli Intan TLDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar mengingatkan setiap pegawai dan anggotanya agar tidak terleka dalam menjaga keselamatan negara.
Beliau mengakui TLDM sentiasa merancang untuk lebih maju sama ada secara jangka pendek mahupun jangka panjang.
"Kita akan pastikan warga TLDM mendapat kepakaran yang mencukupi dan relevan. Berdasarkan perkembangan teknologi serta perolehan aset seperti kapal selam, pegawai dan anggota terlibat akan mendapat latihan secukupnya supaya mahir mengendalikan aset tercanggih di rantau ini.
"TLDM juga mempunyai peruntukan untuk memastikan pegawai dan anggota dihantar menjalani kursus-kursus pengendalian sistem di atas kapal perang," katanya.
Abdul Aziz juga menegaskan, angkatan itu akan meneruskan kerjasama bagi mewujudkan persefahaman dengan angkatan laut negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan negara lain.
Sementara itu, antara pencapaian TLDM dalam mengharumkan nama negara ialah pelayaran mengelilingi dunia dan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, Tall Ships Races.
Pelayaran selama 410 hari oleh KLD Tunas Samudera telah merentasi banyak kawasan termasuk Lautan Hindi, Atlantik dan Pasifik. Kemampuan itu memperlihatkan bahawa warga TLDM benar-benar mampu bergelar "angkatan samudera biru" dan bersedia pada bila-bila masa.
Menjawab pertanyaan, Abdul Aziz menegaskan, pemilikan kapal selam merupakan aset strategik kepada pertahanan negara.
"Ia mempunyai faktor yang menyumbang kepada peningkatan keupayaan pertahanan negara. Justeru, sudah tentu kapal selam diperlukan oleh TLDM bagi melengkapkan keupayaannya dalam semua dimensi peperangan maritim," katanya.
Pemilikan kapal selam serta aset-aset lain di samping peranan TLDM sendiri, adalah sejajar dengan konsep Malaysia sebagai sebuah negara maritim. Bila disebut sebuah negara maritim, bermakna tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan wilayah perairan, sempadan dan keamanan negara adalah amat berat dan rumit.
Ia melibatkan pengawasan garisan sempadan bagi mengelak berlaku pertikaian ke atas sesebuah kawasan perairan dengan negara jiran. Abdul Aziz menambah, pemilikan aset-aset seperti kapal selam juga telah meningkatkan keupayaan TLDM secara drastik.
"Ia seiring dengan hasrat TLDM untuk mewujudkan angkatan laut yang lebih kredibel dan berwibawa dalam mendukung Dasar Pertahanan Negara," katanya.
Sempena Jubli Intan TLDM juga, Abdul Aziz berkata, banyak perubahan telah berlaku dalam TLDM sejak zaman awal penubuhannya, pertengahan dan selepas 75 tahun ini.
Bagi beliau, perkembangan angkatan itu turut dipengaruhi oleh perubahan semasa seperti aspek geopolitik, ekonomi, sosial, dasar dan perundangan di peringkat dalam negara, serantau mahupun antarabangsa. Keadaan itu telah melibatkan pertambahan aset bagi memenuhi keperluan sebuah angkatan laut seperti TLDM.
Angkatan yang ditubuhkan pada 1934 itu pada mulanya lebih menumpukan kepada kerjasama dengan Tentera Laut Diraja British bagi mempertahankan Malaya dan negara jajahan Britain.
Beberapa tahun kemudian, dengan peningkatan aset seperti kapal ronda pesisiran pantai dan warganya, pelaksanaan tugas difokuskan kepada keselamatan dalam negara. Selepas merdeka dan tertubuhnya Malaysia, TLDM telah menerokai era pesisiran pantai kepada era laut dalam bagi menjamin kedaulatan pelantar dunia negara sesuai dengan keperluan Zon Ekonomi Eksklusif negara.
Kini, TLDM telah memiliki armada yang dilengkapi keupayaan perang tiga dimensi iaitu permukaan, udara dan bawah air.
"Justeru, armada masa depan adalah angkatan laut yang seimbang dalam keupayaan tiga dimensi itu. TLDM akan meneroka, membangun, menguji dan mengguna pakai konsep dan teknologi terkini sebagai rangka kerja untuk transformasi apabila berurusan dengan keupayaan sistem pertahanan maritim masa depan," katanya.
Menurut Abdul Aziz, TLDM sentiasa menetapkan visi untuk menjadi "Tentera Laut yang berkualiti". Sementara misi angkatan itu ialah "menyedia dan mengatur gerak angkatan laut untuk melindungi kepentingan maritim Malaysia semasa aman dan memastikan kemenangan ketika perang".
Kedua-dua visi dan misi ini telah dilancarkan pada 2004 dan ia masih kekal hingga sekarang. TLDM juga telah berjaya ditransformasikan kepada angkatan yang dilengkapi peralatan serba canggih dan berteknologi tinggi.
"Ini sejajar dengan visi dan misi angkatan. Perkembangan ini memberi keyakinan bahawa TLDM mampu mempertahankan kedaulatan negara," katanya.
Di samping itu menurutnya, tenaga manusia yang profesional dan berintegriti tinggi merupakan aset utama kepada organisasi tersebut. Tidak ada ertinya sebuah angkatan dengan aset yang canggih dan berteknologi tinggi tetapi modal insannya tidak berkeupayaan mengguna, menyelenggara dan memanfaatkan aset-aset tersebut dengan baik.
Sehubungan itu, pemilikan aset moden perlu sejajar dengan pembangunan modal insan yang menguasai kemahiran dan pengetahuan tinggi. TLDM juga akan memperluaskan promosi kerjaya ke sekolah-sekolah untuk menarik minat golongan muda menyertai angkatan tersebut.
"Kita mahu belia yang bersemangat tinggi menyertai TLDM dan menjadikannya sebagai kerjaya pilihan nombor satu," katanya.
- UTUSAN