Top Ad 728x90

, ,

100 hari pertama Obama: Mesra Asia?

Barack Obama (gambar) menempa sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS) tetapi dalam tempoh 100 hari pertama menduduki White House, beliau juga telah memperlihatkan dirinya sebagai pemimpin AS yang paling mesra Asia.

Obama melantik tiga tokoh berketurunan Asia untuk menganggotai Kabinetnya, bilangan paling ramai dalam sejarah pentadbiran AS dan segera memfokuskan perhatian beliau kepada negara-negara di seberang Lautan Pasifik.

Beliau mempelawa Perdana Menteri Jepun, Taro Aso sebagai tetamu asing pertamanya ke White House manakala Hillary Rodham Clinton berkunjung ke Asia dalam lawatan sulungnya sebagai Setiausaha Negara AS.

Di AS, para pemimpin Amerika berketurunan Asia mengalu-alukan kesediaan Obama untuk mengambil risiko politik bagi merombak sistem imigresen yang didakwa telah memecahbelahkan keluarga pendatang Asia disebabkan peraturan yang terlalu ketat dan proses permohonan yang lembap.

“Ringkasnya, pencapaian beliau dalam masa 100 hari mengatasi pencapaian pentadbiran yang lalu dalam tempoh lapan tahun,” kata ahli Dewan Perwakilan, Mike Honda yang mengetuai Kaukus Kongres Asia Pasifik Amerika.

Honda yang juga anggota Parti Demokrat berkata, beliau menjangka Presiden itu mengusahakan pembaharuan sistem imigresen selepas bulan depan.

Beliau juga memuji Obama kerana menandatangani usul untuk membayar tunggakan gaji berjumlah hampir AS$200 juta (RM720 juta) kepada veteran Perang Dunia Kedua dari Filipina yang bertempur di sisi askar AS tetapi dilucutkan hak mereka untuk mendapat faedah perkhidmatan pada 1946.

Obama menerusi latar belakang beliau ‘menyedari pentingnya tiada kelompok dipinggirkan dan pentingnya kita memahami keadaan orang lain’, kata Honda.

Presiden itu mempunyai hubungan peribadi yang mendalam dengan Asia setelah menghabiskan sebahagian zaman kanak-kanaknya di Jakarta.

“Kadang-kadang saya secara bergurau mengatakan beliaulah yang paling hampir kepada Presiden berketurunan Asia bagi negara ini,” kata sarjana terkemuka Amerika berketurunan Asia, Helen Zia.

– AFP

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90