Vatican dikritik kerana kondom
Sebagai hujah balas, pihak Vatican mempertahankan pandangan Pope Benedict yang menyatakan bahawa kondom bukan penyelesaian kepada epidemik AIDS yang melanda Afrika, malah boleh membuatkannya lebih teruk.
Pope walau bagaimanapun berkata, strategi terbaik adalah usaha gereja mempromosi tanggungjawab seksual melalui kawalan diri dan monogami.
Perancis, Jerman, Belgium dan agensi AIDS Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dan jurnal perubatan Britain, The Lancet, menganggap kata-kata Pope itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
Duta Belgium telah memfailkan protes dan menyeru kerajaannya membuat bantahan rasmi terhadap Vatican, namun Sekretariat Vatican segera membuat kecaman balas terhadap usul tersebut.
"Pandangan Pope Benedict kepada wartawan telah digunakan oleh kumpulan tertentu dengan tujuan yang jelas untuk menghina. Ia seolah-olah menghalang Pope daripada bercakap bagi pihak dirinya tentang isu-isu yang bersangkut-paut dengan soal moral yang sealiran dengan ajaran doktrin gereja," ujar jurucakap gereja.
Vatican turut mempertahankan Pope dengan mengatakan bahawa kritikan ramai itu disensasikan lagi dengan siri kempen media di Eropah mengenai kebaikan kondom dalam mencegah penularan HIV/AIDS.
Pada masa yang sama, mesej Pope tentang sikap bertanggungjawab dan perhatian yang perlu diberi kepada mangsa AIDS tidak diambil peduli.
"Vatican menjawab kritikan ini dalam cara yang seimbang, jelas dan tegas. Kami ingin menyatakan bahawa pihak gereja tidak melihat protes ini sebagai satu halangan untuk terus menyampaikan pendirian kami tentang isu moral," kata jurucakap Vatican, Federico Lombardi.
John Wauck, seorang profesor kesusasteraan dari Universiti Pontifical Santa Croce di Rome, Itali mengingatkan orang ramai tentang usaha pihak Vatican dalam membantu mangsa HIV/AIDS di negara serantau.
"Saya juga pelik, kritikan ini tidak datang dari Afrika tetapi di Barat. Orang Afrika yang mendengar ulasan Pope itu langsung tidak berkata apa-apa, tetapi kemarahan datang dari Brussels pula," ujarnya.