Top Ad 728x90

Barcelona kalahkan MU Liga Juara-Juara 2009


Barcelona berjaya menjinakkan penyandang juara, Manchester United menerusi gerakan serangan yang hebat untuk merampas kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan 2-0 di Stadium Olimpik Rome, semalam.

Samuel Eto'o membuka jaringan seawal minit ke-10 apabila memulakan gerakan dari sebelah kanan, melepasi halangan Nemanja Vidic sebelum melepaskan rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol, Edwin van der Sar.

Xavi Hernandez nyaris menambah gol kedua Barca pada separuh masa kedua tetapi sepakan percuma yang diambil terkena tiang gol.

Selepas mencipta banyak gerakan, bintang penyerang Argentina, Lionel Messi akhirnya memadam api harapan United apabila menyumbat gol kedua Barca menerusi tandukan yang jarang sekali dilakukannya selepas menerima hantaran Xavi pada minit ke-70.

Kemenangan ini memberikan kejuaraan Eropah ketiga buat Barcelona sejak kemenangan pertama diraih pada 1992, diikuti 2006.

Malah, kejuaraan ini juga melengkapkan kejayaan gergasi Catalan itu musim ini selepas turut merangkul gelaran La Liga dan Piala Raja Sepanyol.

"Sudah terlalu lama saya menantikan gelaran ini dan akhirnya ia berakhir hari ini.

"Lima minit terakhir perlawanan merupakan detik yang paling panjang dalam hidup saya. Anda tidak tahu apa yang boleh berlaku - kami menentang pasukan terbaik di dunia.

"Ia sangat menakjubkan. Setiap tahun kami bermain dengan cara yang sama, kami hanya mahu bermain bola sepak. Saya tidak rasa kami bermula baik tetapi yang saya pasti kami bermain lebih baik dengan hantaran yang sempurna,'' kata penyerang Barcelona, Thierry Henry.

Bagi Henry, kemenangan ini juga memberikan kegembiraan berganda buat dirinya yang turut menyambut hari jadi anak perempuannya, semalam.

United, yang memburu rekod untuk bergelar kelab pertama mempertahankan kejuaraan Piala Eropah dalam era Liga Juara-Juara, mendominasi 10 minit pertama perlawanan, namun mereka mula tenggelam punca sebaik Barcelona berjaya memperoleh gol pembukaan.

Cristiano Ronaldo melakukan tiga percubaan di awal permainan, yang terbaik adalah percubaan pada minit kedua apabila sepakan percumanya gagal ditangkap kemas penjaga gol Barca, Victor Valdes.

Bola terlepas daripada tangkapan tetapi Park Ji-sung gagal menyambarnya dan ketua pasukan Barca, Carles Puyol lebih pantas mengeluarkan bola untuk tendangan sudut.

Rangkaian serangan Henry, Messi dan Eto'o menenggelamkan sepenuhnya jentera serangan United yang diketuai Ronaldo, Wayne Rooney dan Ji-Sung selepas gol pertama Eto'o, terutama pada babak kedua permainan.

Ketiga-tiga pemain ini berpeluang menambah jaringan pada separuh akhir tetapi dua gol yang dicipta Eto'o dan Messi sudah cukup memberikan kemenangan buat skuad bimbingan Pep Guardiola.

Walaupun Ferguson melakukan pertukaran taktikal dengan memasukkan Carlos Tevez, Dimitar Berbatov dan Paul Scholes, namun ia masih tidak mampu menggugat pertahanan Barcelona.

Kemenangan Barca ini turut menamatkan rekod 25 perlawanan tanpa kalah United dalam Liga Juara-Juara dan memberikan kekalahan pertama buat juara Liga Perdana Inggeris itu dalam perlawanan akhir.

- REUTERS

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90