Top Ad 728x90

Contohi hikmah Rasulullah sebar risalah Islam

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

Islam sejak kelahirannya tidak boleh dipisahkan dengan unsur rahmat, cinta dan kasih. Unsur-unsur ini merupakan roh yang mewarnai Islam bersesuaian dengan mesej Islam yang menobatkan kesejahteraan selari dengan pengertian namanya.

Risalah Islam terbina atas paduan rasa kasih dan cinta kepada Allah SWT dan Rasul SAW serta memberi dan menghulur kasih kepada sesama manusia, haiwan bahkan alam persekitaran.

Unsur kasih, cinta dan rahmat harus digabungkan dalam diri setiap Muslim kerana ia adalah asas kekuatan dalaman dan roh Islam itu sendiri. Bersifat belas ihsan, kasih mengasihi dan membawa mesej kerahmatan kepada insan sejagat adalah satu tuntutan utama dalam hidup beragama.

Demikianlah yang harus dipupuk semenjak kecil lagi dalam diri setiap individu Muslim tidak mengira status, jantina dan peranan mereka dalam masyarakat. Mereka yang bergerak di gelanggang dakwah dan memikul imej Islam terlebih utama mesti menjiwai roh rahmat dan mahabbah (kasih sayang) kerana itulah piawai yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW Sebagai Qudwah Hasanah

Maha Suci Allah yang telah mengurniakan rahmat-Nya bagi semesta alam melalui perutusan kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW, penghulu risalah kerahmatan ke seluruh alam maya dengan akhlak, perilaku mulia dan peringatan yang baik. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya': 107)

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mempamerkan akhlak yang unggul dan terpuji dalam setiap gerak geri aspek kehidupannya. Baginda SAW adalah insan yang sentiasa menjadi punca rahmat apabila hadir di suatu perkumpulan manusia lantaran dari adab sopan, sifat pemurah, lembut, lunak bicara dan juga sifat pemalunya.

Baginda SAW bukanlah seorang yang keras hati dan baginda tidak melontarkan kalam yang kesat kepada insan-insan sekeliling yang menjadi medan seruan dakwahnya.

Maka akhlak yang baik serta contoh teladan yang terpuji ini harus diterapkan dalam diri setiap Muslim. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergiat cergas dalam medan dakwah, penyampaian ilmu dan tarbiah.

Seorang sahabat bernama Hindun ibn Abi Halah r.a. adalah di kalangan mereka yang amat pandai menyifatkan peribadi Nabi SAW. Suatu ketika, beliau ditanya oleh cucunda Nabi SAW iaitu al Hasan ibn Ali r.a mengenai peribadi mulianya itu. Maka Hindun ibn Abi Halah r.a menyatakan:

"Rasulullah SAW adalah seorang yang sentiasa bersedih (kerana takut kepada Allah). Baginda SAW selalu berfikir bahkan hampir tidak sempat berehat. Baginda SAW lebih banyak berdiam, Baginda SAW tidak berbicara kecuali apabila perlu. Baginda SAW membuka dan menutup bicaranya dengan menyebut nama Allah. Perbicaraannya padat dengan makna sekalipun ringkas. Kata-katanya jelas, tidak menjurus ke arah sesuatu yang sia-sia atau berlebih-lebihan dan tiada pula yang kurang difahami. Baginda SAW tidak bersikap kasar dan tidak pernah menghina". (Syamail al-Muhammadiyyah oleh al-Tirmizi)

Kewajipan Mencontohi Rasulullah SAW Dalam Usaha Dakwah

Bagi individu yang melibatkan diri dalam arena dakwah, secara rasmi ataupun tidak, adalah menjadi kewajipan mereka menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan tertinggi.

Individu-individu ini harus benar-benar mendalami sirah Nabawi dengan sempurna kerana segala bentuk uslub (cara) dakwah yang diperlukan telah pun ditunjukkan oleh Baginda SAW melalui sunnahnya yang mulia.

Kegagalan menguasai dan mendalami sirah Nabawi serta mengenali mukjizat, kesempurnaan dan keistimewaan Baginda SAW adalah sebab utama yang melahirkan kepincangan uslub dakwah dalam Islam.

Setiap perkara, tindak tanduk, kalam yang dilontarkan harus dirujuk dengan teliti kepada sunnah Baginda SAW. Seorang pendakwah yang mahu menegur golongan yang menjadi sasaran dakwahnya itu seharusnya berfikir dan merenung dalam-dalam sama ada teguran yang bakal dilontarkan itu secocok atau tidak dengan manhaj Nabawi dan adakah tegahannya membawa lebih banyak kebaikan atau keburukan.

Baru-baru ini, berlaku dalam sebuah masjid, seorang khatib yang sedang menyampaikan khutbah Jumaat memarahi secara terbuka di atas mimbar seorang remaja yang dilihatnya sedang berbual-bual dan menulis khidmat pesanan ringkas (SMS).

Mungkin disebabkan malu dan tersentak dengan teguran yang dilakukan secara terbuka itu, remaja itu terus meninggalkan masjid tersebut tanpa menunggu khutbah selesai dan meninggalkan solat Jumaat.

Adakah cara menegur seperti ini bertepatan dengan perilaku dan Sunnah Rasulullah SAW? Padahal, hukum berbual semasa khutbah diperselisihkan di kalangan ulama. Di sisi Qaul Jadid Imam Syafie menyebut, hukumnya adalah makruh dan ini adalah pendapat yang paling sahih.

Jangan disebabkan kurang bijaknya kita, kerana hendak menegakkan perkara sunat perkara wajib dikorbankan, kerana hendak mencegah perkara makruh, perkara haram dilakukan.

Ketandusan penghayatan sifat rahmat dan kasih-sayanglah yang menjadi penyebab kepada berlakunya tragedi dakwah seumpama ini. Kita tidak tahu barangkali insan yang melakukan perbuatan tersebut masih di peringkat permulaan berjinak-jinak mendalami Islam atau mendekati masjid.

Mungkin juga insan yang ditegurnya itu jahil tentang adab dan sunnah ketika menghadiri khutbah Jumaat kerana baru memeluk Islam atau telah membesar dalam suasana masyarakat yang meminggirkan agama.

Sekiranya sikap yang keras dan kasar seperti ini berterusan, Islam akan semakin jauh dan terpinggir dari hati umat Islam sendiri, apatah lagi dari hati mereka yang bukan Islam.

Ini jelas bertentangan dengan pentarbiahan Allah terhadap nabi-Nya dalam firman-Nya yang bermaksud: Sekiranya engkau bersikap degil lagi keras hati, nescaya sudah pastilah mereka akan lari dari seruan dakwahmu (wahai Muhammad). (ali-'Imran: 159)

Dalam merungkai permasalahan ini, kita hanya perlu kembali menghayati uslub dakwah dan pentarbiahan Nabi SAW. Baginda SAW telah meninggalkan pusaka yang cukup berharga untuk diwarisi oleh kita iaitu sunnahnya yang bercahaya.

Menelusuri kembali sejarah kehidupan dan sirahnya yang mulia, kita akan mendapati banyak kisah yang menunjukkan kepada kebijaksanaan Baginda SAW dalam menyampaikan dakwah dengan penuh hikmah dan peringatan yang baik.

Kita telah diingatkan kepada peristiwa seorang Arab Badwi yang telah memasuki masjid Nabi SAW, lalu dengan sewenang-wenangnya membuang air kecil di salah satu sudutnya. Para sahabat yang menyaksikan hal itu menjadi berang dan ingin menerpa ke arah lelaki Badwi tersebut disebabkan kebiadapannya mencemari rumah Allah SWT.

Rasulullah SAW bersama sifat kasih, cinta dan rahmat yang menebal di dalam dirinya menahan para sahabatnya dari bertindak melulu, kasar, mencaci serta menjatuhkan maruah insan lain.

Baginda SAW membiarkan lelaki Badwi tersebut menghabiskan sisa kencingnya tanpa menyergahnya atau melemparkan kata cacian, cercaan dan unsur-unsur yang boleh menjatuhkan maruah.

Bahkan Baginda SAW menasihati dengan baik, penuh hikmah dan kasih sayang. Dalam kekalutan itu, Baginda SAW sempat menyampaikan dengan tenang satu sunnah kepada para sahabat iaitu cara bagaimana hendak menyucikan kencing dan najis dengan sabdanya, "Jiruslah pada air kencingnya itu sebaldi air".

Hikmah kebijaksanaan Baginda SAW menghalang sahabat bertindak kasar terhadap Arab Badwi tersebut, telah dapat mengelakkan kencing Arab Badwi itu bertaburan di dalam masjid kerana melarikan diri dari para sahabat.

Rasulullah SAW juga mengingatkan peranan mereka pada akhir hadis dengan sabdanya: Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyukarkan. (riwayat al Bukhari)

Melalui peristiwa ini, kita akan mendapati suatu contoh amali bagaimana harus subur merimbun di hati seorang pendakwah perasaan rahmat, cinta dan kasih terhadap golongan yang menjadi sasaran dakwahnya.

Memang sewajarnya, setiap muslim itu mencari dan mengutip bekalan ilmiah dan thaqafah Islamiah secukupnya dan bukan hanya bermodalkan sifat cemburu dan ghairah dalam memperjuangkan agama bagi menjamin pencapaian dakwah dan penyebaran risalah yang lebih gemilang. Wallahu a'lam.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90