Evolusi Perguruan - Berbahasa Tamil demi murid


Profesion guru ialah satu kerjaya yang mulia dan sentiasa disegani masyarakat umum. Golongan guru merupakan ‘jurutera’ yang bakal membina generasi muda yang menjadi tonggak negara dan bangsa.

FADLY MAMAT merupakan seorang guru bahasa Melayu. Namun, apabila dia sanggup meluangkan masa sejam setiap hari menghafal dan mempelajari satu demi satu perkataan-perkataan dalam bahasa Tamil, ia sesuatu yang kedengaran aneh.

Namun, itulah erti dedikasi dan pengorbanan seorang guru. Sebagai guru bahasa Melayu, inisiatif mempelajari bahasa Tamil bukan satu syarat ataupun tuntutan pekerjaannya.

Tetapi dia sanggup berbuat demikian kerana ingin menyampaikan ilmu yang menjadi anugerah Tuhan secara ikhlas demi memudahkan interaksi bersama murid-murid kesayangannya di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Choh yang terletak di Rawang, Selangor.

Bahkan, guru yang berusia 29 tahun itu sedikit pun tidak berasa terbeban berbuat begitu. Dia nekad kerana ingin membentuk anak-anak murid yang ibarat sehelai kain putih.

Kehadiran guru-guru berdedikasi tinggi seperti Fadly itu adalah antara secebis kisah pengorbanan profesion guru. Sebagai tanda penghargaan untuk golongan guru bersempena Hari Guru yang jatuh pada tanggal 16 Mei setiap tahun, Kosmo! menyelami isi hati empat orang guru daripada era 60-an sehingga hari ini.

Meneruskan bicaranya, guru muda yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu berkata, profesion guru ialah satu kerjaya yang mulia dan sentiasa disegani masyarakat umum.

Ini kerana golongan guru merupakan 'jurutera' yang bakal membina generasi muda yang menjadi tonggak negara dan bangsa.

"Selain keikhlasan dan kejujuran, seorang guru memerlukan komitmen tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan itu. Mengajar murid-murid sahaja bukan kerja kami. Sebaliknya, kami mendidik dan mengasuh mereka dengan baik supaya menjadi anak-anak yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak.

"Guru juga perlu bijak mengenal pasti potensi anak muridnya bagi memperbaiki kredibiliti diri mereka untuk mencapai kejayaan cemerlang dan gemilang," katanya ketika ditemui Kosmo! di SJK(T), Sungai Choh, Rawang, Selangor baru-baru ini.

Apabila Fadly ditempatkan di sekolah berkenaan, pada awalnya dia berasa sedikit terkejut. Bukan kerana ia sebuah sekolah luar bandar tetapi alamatnya yang menyatakan bahawa ia terletak di sebuah kawasan ladang.

Namun semua jangkaan buruk mengenai kawasan itu meleset apabila dia menjejak kaki ke sekolah tersebut pada tahun 2008.

Bekas graduan jurusan Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya itu berkata, keyakinan Guru Besar Gandimathi dan penerimaan guru-guru lain yang menganggap dia sebagai salah seorang anggota keluarga baru menghilangkan perasaan takut dan memudahkannya menyesuaikan diri dengan cepat.

Katanya, kebanyakan murid-murid di sekolah Tamil tersebut boleh memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu. Cuma kadangkala penggunaan tatabahasa dan istilah yang tidak betul berlaku kerana mereka masih kecil.

Oleh kerana itu, Fadly bertekad serba sedikit mempelajari bahasa Tamil supaya dapat membantu mereka memahami bahasa kebangsaan dengan lebih baik.

"Namun, mengajar subjek bahasa Melayu tidak mencabar seperti mata pelajaran Kemahiran Hidup (KH). Ini kerana buku teks untuk KH sepenuhnya dalam bahasa Tamil, maka saya perlu menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu untuk memudahkan murid memahaminya dengan betul.

"Sebab itulah saya mula mempelajari dan menulis dalam bahasa Tamil untuk membantu murid-murid saya memahami ilmu KH secara tepat dan betul memandangkan ia adalah subjek yang berasaskan kemahiran diri," ujarnya yang kini menetap di Bukit Beruntung, Selangor.

Fadly ialah contoh guru zaman ini. Yang pasti, walaupun matlamatnya adalah untuk mendidik anak bangsa, namun misi dan visi guru-guru hari ini dan guru-guru zaman 60-an tidak serupa.

"Dedikasi dan kesungguhan guru dalam mendidik dan membimbing anak murid tiada tolok bandingannya.

"Sistem pendidikan kebangsaan pada era 60-an dan 70-an lebih ke arah mencapai matlamat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini," demikian kata Zaleha Hasiah Ahmad, 77, yang telah berkhidmat sebagai guru lebih empat dekad lalu.

Menurut Zaleha, sistem pendidikan pada era 60-an dan 70-an lebih tertumpu untuk mencapai matlamat perpaduan negara dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Rakyat jelata juga masih hidup secara kelompok dengan kaum masing-masing, misalnya kaum Melayu di kawasan kampung, masyarakat Cina di pekan dan kaum India pula di ladang-ladang getah.

"Maka tuntutan pendidikan ketika itu adalah mendidik generasi muda mengenai pengetahuan asas dan membentuk tenaga kerja yang berkualiti untuk membantu pertumbuhan ekonomi," ujar warga emas itu yang pernah menuntut di Kolej Perguruan Kirkby, Liverpool, England pada tahun 1954.

"Masalah disiplin seperti gengsterisme dan vandalisme kurang berlaku pada masa dahulu. Pelajar lebih mudah dikawal kerana kurang pendedahan luar dan teknologi baru," ujar ibu tunggal kepada enam orang anak itu.

Sementara itu, seorang lagi bekas guru, Saw Tiong Goo, 68, berkata, apa yang penting bagi seorang guru adalah kejujuran dan keikhlasan, selain kelulusan tinggi.

Dia berkhidmat sebagai guru dari tahun 1962 hingga 1990.

"Pada tahun 1960-an, saya mengajar di sebuah sekolah di Melaka. Sekolah tersebut tidak mempunyai kemudahan asas seperti elektrik dan air. Setiap hari, saya berbasikal sejauh beberapa kilometer untuk mengajar," katanya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurutnya, guru yang baik ialah guru yang sentiasa mahu mempertingkatkan diri dan melihat di mana kelemahan diri serta berazam memperbaiki sesuatu demi kebaikan profesion guru.

"Guru-guru pada zaman ini lebih beruntung kerana mereka dilatih secara profesional dan dilengkapi dengan kemudahan pengajaran yang canggih.

"Zaman dahulu, kami dikehendaki memerah otak memikir sendiri bahan pengajaran yang perlu digunakan untuk mengajar," ujar bekas guru Sekolah Kebangsaan Jalan Selangor, Petaling Jaya itu.

"Saya membuat sendiri pelbagai peralatan mengajar dengan menggunakan bahan-bahan seperti batang kayu, tempurung dan sebagainya," tambahnya.

Menurutnya, jika para guru peka dengan minat murid dan pelajar, dalam mana-mana era pun, guru mampu mendidik mereka dengan mudah sekali gus melahirkan insan yang berpelajaran tinggi.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url