Google buka peluang kerjasama
Google Inc. (Google) yang melancarkan platform pencarian terbarunya, Google Maps Malaysia di sini hari ini, membuka peluang kepada organisasi tempatan bekerjasama dengannya untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan.
Pengurus Produk Google Asia Tenggara, Andrew McGlinchey berkata, kerjasama dengan komuniti perniagaan tempatan penting untuk memastikan maklumat dan kandungan dalam Google Map Malaysia adalah terkini.
''Google, buat masa ini belum berhasrat untuk beroperasi di Malaysia tetapi kami menyifatkan platform pencarian yang diperkenalkan hari ini adalah permulaan yang sangat baik.
''Berikutan itu, kami mahu mencari lebih banyak organisasi tempatan untuk membantu Google meningkatkan kualiti, ciri-ciri dan kegunaan Google Maps Malaysia versi tempatan,'' katanya pada majlis taklimat media sempena pelancaran Google Maps Malaysia di sini hari ini.
Google Maps Malaysia menawarkan platform pencarian maklumat mengenai jalan, alamat dan perniagaan di negara ini untuk menawarkan kepada pengguna maklumat yang komprehensif, cepat dan mudah.
Platform itu menyediakan kandungan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Cina dan Tamil untuk membolehkan rakyat tempatan dan pelancong menyumbang kandungan daripada teks kepada foto atau video, sekali gus meningkatkan peta secara dalam talian kepada pengguna-penguna Internet yang lain.
Platform pencarian Google Maps Malaysia boleh diakses melalui laman web http://maps.google.com.my dan ia adalah percuma.
Sementara itu, Ketua Pemasarannya, Derek Callow berkata, Google Maps Malaysia menawarkan ciri-ciri pencarian lokasi, arah tuju pemanduan, perniagaan tempatan, peta dan peta bagi telefon mudah alih.
Beliau berkata, peta bagi telefon mudah alih merupakan kerjasamanya dengan Maxis Communications Bhd., yang menyediakan platform pencarian untuk mengesan alamat dan memandu arah dengan muat turun http://m.google.com.my/maps
- UTUSAN