Komentar - Realiti kebebasan media di Malaysia

Oleh DATUK RUHANIE AHMAD

Kebebasan adalah antara elemen penting dan fundamental bagi seluruh umat manusia. Elemen ini termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Ia dititikberatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sesebuah negara yang demokratik juga memaktubkan aspek kebebasan dalam perlembagaannya. Contohnya, Groves (1978:27) menyatakan, Perlembagaan Persekutuan memaktubkan sembilan aspek hak dan kebebasan. Satu daripadanya adalah mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Bagaimanapun antara aspek kebebasan yang sering menjadi polemik dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak di Malaysia adalah kebebasan akhbar.

Pihak-pihak terbabit melontarkan pelbagai tuduhan dan kecaman kononnya Malaysia tidak mengamalkan kebebasan akhbar. Mereka mendakwa kononnya Malaysia tidak mematuhi prinsip kebebasan yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Mereka juga memperbesar-besarkan ranking kebebasan akhbar Malaysia yang dikeluarkan oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa untuk menyokong dakwaan kononnya Malaysia adalah negara yang tidak mesra akhbar dan menggunakannya semata-mata demi keselamatan rejimnya sahaja.

Anehnya, majoriti golongan yang mendakwa sebagai juara kebebasan akhbar di negara ini bukannya pengamal kewartawanan. Mereka juga bersuara dan berbicara mengenai isu tersebut bukan atas dasar profesionalisme.

Majoriti mereka adalah pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka menggunakan isu kebebasan akhbar sebagai perkakas untuk mengecam kerajaan yang melaksanakan beberapa undang-undang yang matlamat utamanya adalah bagi memelihara nilai-nilai teras Malaysia yang berbilang keturunan. Mereka menggunakan isu kebebasan akhbar untuk memperolehi perbatuan siasah.

Konsep media dan akhbar

Media massa, terutamanya akhbar, tidak wujud berasingan daripada lain-lain institusi masyarakat. Ia merupakan bahagian penting dalam proses perubahan dan pemeliharaan sesebuah masyarakat (Ryan & Wentworth 1999:23). Menurut teori liberal, akhbar mempunyai empat fungsi utama, iaitu menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum, memantau kerajaan, mendorong debat umum, dan menyalurkan pendapat umum.

Lain-lain fungsi tambahan adalah memupuk nilai-nilai utama yang dikongsikan oleh sesuatu masyarakat, membantu masyarakat menyesuaikan diri kepada perubahan, dan mendedahkan kemungkaran (Curran & Seaton, 2003: 346).

Dalam pada itu, istilah media massa pula tidak boleh didefinisikan dengan sejelas-jelasnya. Sesetengah media memang benar-benar bersifat media massa. Ini termasuklah radio, aktiviti rakaman, panggung wayang dan televisyen. Bagaimanapun, media massa lazimnya merujuk kepada radio, akhbar, televisyen dan media rakaman (Ryan & Wentworth, 1999:11).

Dalam konteks Malaysia, akhbar adalah apa-apa hasil penerbitan yang mengandungi berita, penerangan, laporan kejadian atau apa-apa pendapat, pemerhatian atau ulasan, berhubungan dengan apa-apa berita, penerangan atau kejadian, atau dengan apa-apa perkara lain, yang menarik minat orang ramai, atau apa-apa majalah, komik atau bentuk majalah berkala lain yang dicetak dalam apa-apa bahasa untuk dijual atau diedarkan dengan percuma pada lat-lat tempoh yang kerap atau tidak kerap, tetapi tidaklah termasuk apa-apa hasil penerbitan yang diterbitkan oleh atau untuk Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau Kerajaan Singapura (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, 1984: Fasal 2).

Konsep kebebasan akhbar sejagat

Sebagaimana dinyatakan dalam pengenalan artikel ini, konsep kebebasan akhbar termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan oleh PBB pada 10 Disember 1948. Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan, setiap individu mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan pendapat.

Hak ini termasuklah kebebasan mempertahankan pendapat-pendapat tanpa gangguan. Ia juga merangkumi kebebasan memperoleh, menerima dan menyebarkan maklumat serta idea menerusi sebarang media tanpa mengira sempadan.

Artikel 29(2) deklarasi tersebut memaktubkan, dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus.

Sekatan-sekatan itu adalah bagi memastikan keperluan-keperluan yang saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat yang demokratik.

Artikel 29(3) deklarasi berkenaan menegaskan, seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip PBB. Menurut Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan-tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan yang menjejaskan keamanan.

Artikel 30 deklarasi yang sama pula memaktubkan, tiada peruntukan dalam Deklarasi yang boleh ditafsirkan sebagai menggambarkan sesebuah negara, kumpulan atau individu mempunyai hak untuk melakukan apa-apa kegiatan atau melakukan apa-apa tindakan yang bertujuan untuk menghancurkan seluruh hak dan kebebasan yang termaktub dalam deklarasi.

Huraian di atas membuktikan kebebasan akhbar yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat, mempunyai batas dan mempunyai sekatan. Hakikat ini kurang diketahui oleh masyarakat umum.

Ini kerana pihak-pihak yang mendakwa diri mereka sebagai juara kebebasan akhbar sengaja menyembunyikan fakta-fakta tersebut supaya masyarakat umum dapat dikelirukan bahawa kebebasan akhbar adalah kebebasan yang total dan tanpa batas atau sekatan.

Huraian tersebut juga membuktikan nilai-nilai teras sejagat yang dititikberatkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan oleh PBB adalah kesusilaan, kesejahteraan, ketenteraman, keamanan, keselamatan, kesaksamaan, toleransi, serta pemeliharaan hak dan kebebasan manusia daripada kemusnahan.

Ini bermakna seluruh anggota komuniti dunia wajar memelihara dan mempertahankan nilai-nilai teras sejagat atau universal core values ini supaya tidak terancam dan tergugat.

Hakikatnya demikian kerana ramai sarjana keselamatan antarabangsa berpendapat ancaman dan gugatan kepada nilai-nilai teras dunia atau nilai-nilai teras sesebuah negara memang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan kelangsungan sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Konsep kebebasan akhbar di Malaysia

Kebebasan akhbar di Malaysia tidak dimaktubkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, Fasal 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4), tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan pendapat.

Bagaimanapun, Fasal 10 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan pula memaktubkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-apikan supaya dilakukan sesuatu kesalahan.

Fasal 10(4) Perlembagaan Persekutuan pula memaktubkan bahawa pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal 10 (2) (a).

Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau dilindungi oleh Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan apa-apa jua melainkan berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana dinyatakan dalam undang-undang itu.

Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan yang dimaksud di atas adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan, 153 mengenai perezaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu.

Hakikat sekatan terhadap kebebasan di Malaysia seperti di atas adalah selaras dengan Artikel 29(2) Artikel 29(3) dan Artikel 30 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Ia juga selari dengan matlamat serta prinsip PBB. Nilai-nilai teras di sebalik sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia pula adalah keselamatan negara, ketenteraman awam, dan perpaduan rakyat.

Ini membuktikan bahawa sekatan-sekatan terhadap kebebasan akhbar di Malaysia adalah demi kepentingan negara dan majoriti rakyat jelatanya.

Konsep Kebebasan akhbar di Singapura

Kebebasan akhbar di Singapura adalah berasaskan falsafah kebebasan akhbar PAP selaku parti pemerintah. Oleh sebab itulah PAP menjadi determinen yang tunggal dan penting kepada perkembangan akhbar di Singapura. Falsafah berkenaan adalah berasaskan kenyataan Lee Kuan Yew di Perhimpunan Agung International Press Institute di Helsinki, Finland pada 9 Jun 1971.

Kuan Yew menyatakan: "freedom of the press, freedom of the news media, must be subordinated to the overriding needs of the integrity of Singapore, and to the primacy of purpose of an elected government."

Beliau juga menyatakan, Singapura mahu "the mass media to reinforce, not to undermine, the cultural values and social attitudes being inculcated in our schools and universities."

Nilai-nilai yang dimaksudkan adalah nilai-nilai multi rasialisme, toleransi agama dan menghormati hak-hak golongan minoriti.

PAP juga berpendapat, "the press may be separate and independent of the government but in no circumstances should it imagine itself as having an equal role or status. An elected government is ultimately the only institution with the legitimacy to represent public opinion and interpret the national interest. The press is unelected, and cannot be permitted to obstruct the government as it carries out its mandate."

Falsafah kebebasan akhbar ini direalisasikan menerusi undang-undang akhbar, terutamanya the Newspaper and Printing Presses Act. (presspedia.journalism.sg: diakses pada 8 Mei 2009).

Hakikat di atas membuktikan bahawa Singapura juga memberikan kebebasan akhbar secara bersyarat, berdasarkan kepada nilai-nilai terasnya, iaitu multirasialisme, toleransi agama dan perasaan hormat terhadap masyarakat minoriti. Amalan ini adalah selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Menurut presspedia.journalism.sg, kebebasan akhbar di Singapura juga diberikan berasaskan agenda pembangunan negara dan tanggungjawab sosial. Menurut www.wikipedia.org (diakses pada 8 Mei 2009).

Oleh sebab itulah kerajaan Singapura tidak berasa malu terhadap ranking kebebasan akhbar yang rendah yang diberikan oleh sebuah NGO antarabangsa. Ini kerana republik itu mempunyai ranking yang tinggi di bidang kebebasan ekonomi dan kemakmuran.
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Sabtu, 16 Mei 2009 pada 4:48:00 PG SGT

    Masalahnya akbar yg ada kat malaysia ni x adil. seperti menjadi telinga dan mulut BN/UMNO. macamana malaysia nak maju klau segala kesalahan kerajaan semuanya ditutup. x boleh langsung nak diperbetulkan. klau rakyat buat semua x boleh. menteri buat salah pun xper. cuba la jadi mcm menteri kat jepun tu.. menteri yg berkaitan dgn ekunomi, klau ekonomi merundum skit jer terus letak jawatan. itu namanya bertanggungjawab. letak jawatan sbb merasakan diri tu x mampu nak tadbir ekonomi negara.. kena tangkap guna tiket free untuk kluar dengan kekasihnya pun dengan rela letak jawatan sbb malu mengunakan kemudahan yg diberi oleh kerajaan. cuba klau kat malaysia ni.. rakyat dah hampir makan pasir pun menteri relax jer mcm xder apa2. siap naikkan harga minyak lagi. satu contoh yg paling bangsat, ali ketam didakwa rasuah siap boleh jadi ketua menteri lagi tanpa segan silu. Khir toyol si mamat botox tempe tu, yg isterinya terlibat dalam salahguna wang balkis.. relax jer muka dia.. mcm xder buat sala…

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Sabtu, 16 Mei 2009 pada 3:18:00 PTG SGT

    memang betul sgt2,media skang berat sebelah telah diperkudakan oleh kerajaan zalim barisan nasional..tapi jangan risau,pakatan rakyat tetap akan menang jika ada mana2 prk lepas ni...rakyat skang ramai dah celik tidak mudah diperbodohkan oleh tv3 suku.

Add Comment
comment url