Lulusan UiTM diajak perkukuh ekonomi

Bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) diminta membantu kerajaan memperkukuhkan ekonomi negara dengan memberi fokus dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi serta pengurusan yang dianggap kritikal.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata dalam bidang ICT di Melaka misalnya, pengusaha tempatan yang mendirikan kilang memasang komputer untuk dipasarkan secara besar-besaran seperti jenama Acer atau HP masih kurang walaupun ada kilang membuat cip mikro di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau menawarkan tempat dan kemudahan di Melaka kepada Alumni UiTM, terutama tenaga pakar dalam bidang ICT yang pernah dilahirkan universiti itu untuk bekerjasama membangunkan ekonomi negara.

Mengambil Singapura sebagai contoh, beliau berkata, ekonomi republik itu lebih kukuh walaupun keluasannya hanya separuh daripada Melaka kerana Singapura menekankan pengetahuan ekonomi, antaranya ICT.

"Gangguan bekalan elektrik di negara itu hanya berlaku dua minit dalam setahun sedangkan di Malaysia, ia berlaku berjam-jam.

"Justeru, cara kita kerja perlu cemerlang, kena manfaatkan kemudahan jalur lebar untuk memantau stesen agar sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni UiTM di kampus induk universiti itu, di sini, semalam. Pada mesyuarat itu, Datuk Mohd Zain Mohamad dilantik sebagai Presiden manakala Timbalannya, Datuk Ahmad Shafee Sabaruddin.

Mohd Ali yang juga Ketua Badan Perhubungan Umno Melaka berkata, UiTM ialah pembela bagi orang Melayu dan tanpa kemudahan belajar di universiti berkenaan, orang Melayu pasti sukar mencapai kejayaan seperti dapat dilihat hari ini.

Bagaimanapun, katanya, masa depan orang Melayu tidak semudah dijangkakan kerana mereka kini berpecah hanya disebabkan fahaman sempit politik apabila ada yang sanggup memburukkan imej institusi Raja dan membiarkan orang bukan Islam menghina agama sendiri.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url