Model baru ekonomi

Kerajaan akan memperkenalkan model ekonomi baru berteraskan peningkatan inovasi dan produktiviti pekerja dengan matlamat membantu mereka meningkatkan pendapatan dan seterusnya memakmurkan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata model ekonomi itu antara lain akan menggariskan bagaimana Malaysia boleh menganjakkan kedudukan ekonominya daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan memberikan skop kerja kepada majlis ekonomi yang akan ditubuhkan membabitkan pakar ekonomi termasuk dari luar negara untuk mencadangkan model ekonomi baru itu.

Najib berkata, peningkatan produktiviti pekerja bukan saja melalui sumbangan daripada segi waktu kerja tambahan tetapi juga melalui penambahan inovasi dan kreativiti pekerja.

"Inilah model yang saya tekankan. Satu model ekonomi baru yang akan memberi faedah kepada pekerja dan negara kita akan memiliki daya saing yang lebih serta memacu kemajuan lebih besar.

"Kita tidak akan membenarkan negara berada di takuk lama, tetapi mesti mencari jalan bagaimana boleh mengubah dan menganjakkan supaya Malaysia menjadi sebuah negara pendapatan tinggi dalam masa tertentu.

"Inilah hasrat kerajaan. Kita sama-sama mendukung konsep dan kaedah yang perlu dilakukan supaya cita-cita menjadi realiti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat khas sempena Majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2009 di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.

Beliau diminta menghuraikan mengenai model ekonomi baru, tabung pemberhentian pekerja, cadangan skim pencen pekerja sektor swasta yang menjadi inti pati amanat khas beliau di depan kira-kira 10,000 pekerja daripada 91 agensi kerajaan dan 60 syarikat swasta.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Ismail Adam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan JobsMalaysia, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) serta menyampaikan Anugerah Hari Pekerja 2009 kepada pekerja dan majikan cemerlang.

Perdana Menteri berkata, menerusi model ekonomi baru itu juga, setiap perusahaan di negara ini, merangkumi sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat kerajaan perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran pekerja melalui inovasi dan kreativiti.

Katanya, dasar yang terkandung di dalam model itu dijangka membawa kepada peningkatan produktiviti dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekerja, sekali gus membantu memakmurkan negara.

Terdahulu dalam amanatnya, Najib berkata, konsep permuafakatan tiga segi majikan, pekerja dan pekerja akan menjadi asas kepada kejayaan ekonomi negara pada masa depan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu hubungan di antara majikan dan pekerja diperkukuhkan dengan berasaskan prinsip permuafakatan.

"Kalau hubungan ketiga-tiga pihak ini saling membantu antara satu sama lain, negara kita akan jadi lebih berjaya. Apabila hubungan segi tiga ini menjadi positif, negara akan mencapai kejayaan yang lebih pada masa akan datang," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url