Nur Asyirin - Pakar strategi

Profil

NAMA: Nur Asyirin Ibrahim

JAWATAN: Pegawai Strategi & Isu (Antarabangsa), Petroliam Nasional Bhd, Kuala Lumpur

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan), Universiti Teknologi Mara (UiTM); Institute of Chartered Secretaries and Administrators (ICSA), United Kingdom

STATUS: Kahwin

SUAMI: Mohd Rusdi Idris

MENANGANI isu dan merancang strategi meliputi empat negara termasuk Indonesia, Vietnam, Turkmenistan (bekas negara Soviet) serta Uzbekistan, antara bidang mencabar wanita berasal dari ibu kota ini.

Kekuatan diri dan keyakinan tinggi membuatkan Nur Asyirin Ibrahim, 31, tidak gentar menyahut segala cabaran yang memberikan kepuasan berganda kepadanya.

Beliau mengakui bangga memikul tanggungjawab merancang dan menjalankan strategi dalam memajukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Malah, kerjaya di Petronas memberi cabaran dan kepuasan hakiki.

"Tugas saya banyak merancang bagi mengangkat kedudukan Petronas di kedudukan yang disegani dalam semua bidang.

"Setiap negara mempunyai cabaran berbeza. Di Indonesia dan Vietnam, ia menemukan saya dengan pelbagai masalah. Mungkin di negara kurang membangun, cabarannya agak besar dan menuntut kerja keras.

"Namun, apabila sesuatu perancangan dicapai, ia kepuasan peribadi yang tidak terhingga pada diri saya.

"Agak berbeza dengan negara Turkmenistan dan Uzbekistan kerana kehidupan di sana lebih sukar. Komunikasi satu masalah besar kerana rakyatnya tidak boleh berbahasa Inggeris dan saya perlu menggunakan jurubahasa untuk menyampaikan sesuatu mesej," katanya.

Beliau mengambil inisiatif mengambil guru bahasa Russia bagi memudahkan berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

Bagi anak kedua daripada tiga beradik ini, apa yang penting memotivasikan diri untuk terus menapak dalam kerjaya yang diminatinya.

"Kehidupan di negara bekas jajahan Soviet, kehidupan dan keadaan di negara itu agak susah termasuk sistem pengangkutan.

"Masyarakatnya memandang serong terhadap orang asing menyebabkan saya mengambil masa untuk mengambil hati mereka dalam tugas harian.

"Saya bersyukur kerana disiplin dan latar belakang keluarga memberikan semangat untuk maju walaupun dalam keadaan mana sekalipun," katanya.

Suaminya yang bertugas sebagai pegawai perbankan banyak memberi sokongan dan memahami tugas yang dilakukan.

"Saya bertuah kerana suami memahami kerjaya ini dan dia sering 'ditinggal-tinggalkan' apabila kerjaya menuntut saya ke luar negara.

"Walaupun belum dianugerahi cahaya mata, saya tidak rasa tertekan kerana suami memahami rutin kerjaya saya," katanya yang pernah menyimpan impian menjadi setiausaha syarikat bertauliah.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url