Ketua LTTE terbunuh

Pemimpin tertinggi pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Velupillai Prabhakaran ditembak mati hari ini ketika cuba melarikan diri daripada kepungan askar kerajaan Sri Lanka.

Prabhakaran cuba meninggalkan kawasan yang dikepung dengan menaiki sebuah ambulans bersama-sama dua pembantu kanan sebelum subuh hari ini, tetapi kesemua mereka terbunuh apabila kenderaan itu diserang hendap, kata seorang pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

“Dia terbunuh bersama-sama dua orang lain di dalam ambulans itu. Pengumuman rasmi akan dibuat kemudian,” katanya.

Dua orang kanan Prabhakaran yang turut terbunuh itu dikenal pasti sebagai ketua perisikan LTTE, Pottu Amman dan ketua tentera lautnya, Soosai.

Tentera Sri Lanka sebelum itu mengumumkan, mereka telah membunuh tiga pemimpin kanan LTTE dan menemui mayat anak lelaki Prabhakaran dalam operasi pembersihan berikutan kekalahan pemberontak tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, salah seorang pemimpin LTTE yang terbunuh itu ialah ketua sayap politiknya, B. Nadesan.

Sehari selepas mengumumkan mereka menghentikan pertempuran, saki baki gerila LTTE kini terperangkap di sebuah kawasan hutan kecil di timur laut Sri Lanka.

Jurucakap tentera, Brigadier Udaya Nanayakkara berkata, sebilangan pemberontak terus memberikan tentangan sewaktu askar menjalankan ‘operasi pembersihan’ di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan keselamatan turut menemui mayat anak lelaki Prabhakaran, Charles Anthony, 24, semasa operasi tersebut.

Selain Nadesan, pemimpin kanan lain LTTE yang terbunuh ialah ketua sekretariat perdamaian Harimau, S. Puleedevan; dan pemimpin mereka di wilayah timur, S. Ramesh, menurut Kementerian Pertahanan.

Nanayakkara berkata, nasib Prabhakaran tidak diketahui kerana “kami belum menemuinya, sama ada hidup atau mati, tetapi kami mengetahui apa yang perlu kami lakukan apabila kami menangkapnya.”

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url