Petrol RON 95 dijual mulai 1 September 2009


Orang ramai bakal mempunyai lebih pilihan dalam penggunaan petrol apabila kerajaan memperkenalkan minyak baru iaitu petrol tanpa plumbum RON 95 dengan harga RM1.75 seliter berkuat kuasa mulai 1 September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengenalan petrol RON 95 yang disubsidikan kerajaan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara bagi menggantikan penggunaan petrol RON 92.

"RON 95 ialah minyak berkualiti, kurang mencemarkan udara dan harganya lebih rendah berbanding RON 92.

"Kerajaan memberi subsidi 3 sen untuk setiap liter untuk minyak RON 95,'' katanya selepas merasmikan penjualan petrol RON 95 di Stesen Minyak Petronas 9D di Presint 9 di sini semalam.

Turut hadir ialah timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom dan Pengerusi Petronas Dagangan Berhad, Datuk Anuar Ahmad.

Ekoran pengenalan petrol baru itu, Ismail memaklumkan, petrol RON 97 yang digunakan ketika ini akan dijadikan produk premium bermula September ini dan dijual pada harga baru iaitu RM2 seliter berbanding RM1.80 ketika ini.

"Pengguna tidak perlu bimbang dengan kenaikan harga RON 97 kerana petrol RON 95 sesuai digunakan untuk semua jenis kenderaan di negara ini termasuk kereta mewah,'' jelas beliau.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url