Pilihanraya Umum - Cadangan guna imbasan ibu jari

Selepas membatalkan cadangan menggunakan dakwat khas bagi menanda kuku atau jari pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menimbang pelaksanaan sistem biometrik atau teknik imbasan ibu jari pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata sistem yang menggunakan teknologi canggih itu kini di peringkat kajian, terutama berkaitan aspek perundangan dan kos.

"Sebagai negara mempunyai sistem pendaftaran rakyat yang maju dan canggih dengan menggunakan kad pengenalan berteknologi tinggi, seperti MyKad, SPR percaya sistem biometrik boleh digunakan dalam proses pilihan raya," katanya kepada Berita Harian.

Ketika ini, sistem biometrik digunakan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan MyKad, manakala Jabatan Imigresen menggunakan teknologi itu bagi pengeluaran pasport antarabangsa serta mengesan kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Terbaru, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memperkenalkan sistem itu sebagai projek perintis untuk mengelak kes penipuan dan pemalsuan hak milik tanah.

Wan Ahmad berkata, kajian pelaksanaan sistem biometrik dijalankan selepas SPR mengekalkan keputusan membatal cadangan menggunakan dakwat khas dalam mesyuaratnya, Mac lalu.

Menjelang pilihan raya umum lalu, SPR mengumumkan cadangan menggunakan dakwat khas dari India, tetapi membatalkannya selepas menerima laporan polis berhubung empat individu yang dikatakan membeli dakwat khas dari luar negara untuk dicalit pada kuku pengundi sebelum hari pengundian.

Wan Ahmad berkata, sistem biometrik yang digunakan beberapa jabatan dan agensi kerajaan ketika ini, dijangka lebih berkesan berbanding penggunaan dakwat khas.

"Menerusi sistem ini nanti, kita berharap tiada lagi tanggapan mengenai kononnya ada pihak menipu dengan mengundi berulang kali. Teknologi yang digunakan nanti bersifat telus," katanya.

Beliau berkata, SPR juga berpendapat sistem biometrik lebih sesuai dilaksanakan selaras dengan matlamat kerajaan mencapai status negara maju yang mengutamakan teknologi.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url