'Saya tidak akan berhenti menulis' - Nik Abduh

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz tidak akan berhenti menulis dalam laman blognya biarpun bakal berhadapan dengan hukuman gara-gara tulisannya yang seolah-olah membuka pekung parti itu.

Beliau berkata, ia amat penting bagi memastikan pembaca blog tersebut tidak terkeliru dan mendapat gambaran jelas tentang prinsip serta perjuangan yang perlu diteruskan oleh Pas pada masa kini.

Katanya, beliau bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan yang akan diputuskan oleh Badan Perhubungan Pas Kelantan selepas mengadakan mesyuarat tidak lama lagi.

"Saya tidak akan berhenti menulis. Saya telah memberikan penjelasan kepada tribunal Dewan Ulama dua tiga hari lepas dan ia akan dibawa ke Badan Perhubungan Pas negeri untuk tindakan lanjut.

"Badan perhubungan akan bermesyuarat tidak lama lagi selepas ayahanda saya pulang dari Mekah dan saya bersedia untuk menerima apa jua keputusan yang dibuat," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan tribunal Dewan Ulama Pas gara-gara tulisannya yang bertajuk 'Kerja-Kerja Bodoh Dalam Pas.'

Pada sesi penjelasan yang berlangsung lebih sejam itu, beliau telah ditegur seperti mana bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas menegurnya.

Dalam tulisan tersebut Nik Abduh menyifatkan pembantu-pembantu politik bapanya telah sesat kerana memberikan gambaran yang salah tentang situasi semasa.

Nik Abduh yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Pengkalan Chepa menjelaskan perkataan 'belawak biawak' yang digunakan dalam tulisan yang bertajuk 'Sebelum Anda Dimamah Fitnah' adalah untuk menggambarkan tentang sikap blogger tertentu yang memfitnah.

"Belawak biawak adalah dialek orang Kelantan ia bermaksud menipu secara berlebih-lebihan," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah beliau akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, katanya, sehingga kini beliau belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak.

"Saya tidak tahu sehingga kini tidak ada tawaran lagi," katanya.

Dewan Pemuda Pas Kelantan akan bermesyuarat pada 5 Mei ini dan ramai pemerhati menjangkakan akan berlaku perebutan bagi jawatan ketua di antara Nik Abduh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Abdul Latiff Ab Rahman yang juga Naib Ketua Pemuda Pas.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url