Semua nabi membawa ajaran Allah yang benar
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah menerangkan perihal Yahudi yang semasa risalah Muhammadiah betapa mereka amat taksub dan meminda kalam Allah daripada tempatnya. Di samping itu, Allah menjelaskan tindakan mereka membawa kezaliman dan kerosakan iktikad. Selepas itu Allah menjelaskan kesatuan syariat samawi yang saling lengkap melengkapi samalah seperti istana yang dibina teguh”.
Iktibar dan fiqh ayat ke-81:
i. Ibn Kathir berkata, Allah mengkhabarkan bahawa ia mengambil perjanjian setiap nabi yang diutuskannya sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s supaya melaksanakan perintah Allah kepada mereka daripada kitab dan hikmah.
ii. Al-Maraghi berkata, ayat ini mengisyaratkan bahawa agama tidak patut dijadikan sebagai wahana permusuhan dan kebencian, seperti perbuatan ahli kitab yang memusuhi Nabi SAW.
Padahal kedatangan baginda adalah mengajak mereka kepada kalimah yang sama. Malangnya segelintir mereka menunjukkan sikap melawan, menjauhkan diri, melakukan tipu daya dan mengingkari.
iii. Al-Maraghi berkata, dialog ini bersifat perlambangan bagi menanam pengertian yang lebih kuat dan jelas ke dalam jiwa manusia.
Ayat ini tidak bererti bahawa dialog tersebut benar-benar terjadi kerana contoh-contoh dialog seperti ini terdapat pada gaya bahasa Arab.
iv. Hamka berkata, ayat ini menjelaskan bahawa nabi-nabi yang terdahulu selalu diperingatkan oleh Allah SWT bahawa akan datang pula seorang rasul yang menjadi penutup segala nabi dan rasul untuk selamanya.
Menurut penafsiran Saad bin Jubair dan Qatadah dan Thawus dan al-Hassan dan al-Suddy, perjanjian di antara nabi-nabi dengan Allah SWT supaya yang setengah membenarkan dan mengakuinya lagi dengan iman.
Janji
Allah SWT memegang janji nabi-nabi terdahulu supaya beriman kepada nabi yang akan datang dan membelanya.
v. Mohamad Quraish Shihab berkata, banyak ulama berpendapat bahawa perjanjian dimaksud adalah yang diambil Allah SWT secara langsung dari para nabi, yakni Allah mengumpul para nabi di satu alam yang kita tidak ketahui. Kemudian mengambil janji mereka untuk percaya kepada Nabi Muhammad SAW dan apabila mereka menemui baginda maka mereka siap mendukung dan membela baginda.
Ada juga menyatakan perjanjian itu adalah di antara nabi dan disaksikan Allah SWT. Pengikut fahaman pertama menyatakan bahawa Allah SWT telah mengikat janji dengan seluruh nabi agar saling membenarkan dan mempercayai sesama mereka.
Nabi Musa harus percaya kepada Nabi Isa dan menyokongnya serta berpesan hal yang sama kepada umatnya jika menemui Nabi Isa. Demikian juga Nabi Isa kepada Nabi Muhammad SAW.
vi. Ibn Jarir al-Tobari berkata, ingatlah kamu hai Ahli Kitab, ketika Allah mengambil kesetiaan nabi-nabi. Adapun perjanjian itu, mereka berjanji mentaati Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Iktibar dan fiqh ayat ke-82:
i. Al-Maraghi berkata, barang siapa yang melanggar janji selepas membuat ikatan janji untuk menyebar agama para nabi, dan menjadikan agama sebagai medium perpecahan dan permusuhan serta tidak mahu beriman kepada nabi yang terakhir, yang membenarkan ajaran-ajaran agama terdahulu serta tidak mahu membelanya, mereka itulah orang yang derhaka.
Mengingkari
Oleh itu, Ahli Kitab yang mengingkari kenabian Rasulullah SAW meninggalkan perjanjian Allah SWT dan mengubahnya, perbuatan itu dianggap terkeluar daripada agama yang benar.
ii. Hamka berkata, berpaling daripada kesatuan itu adalah fasik iaitu derhaka. Tidak lagi menuruti jalan yang lurus. Fasiklah orang kalau telah dibentuknya suatu agama, lalu didasarkannya kepada nama seorang nabi lalu menyisihkan diri dari golongan yang lain.
Ajaran mereka pun berasal daripada seorang nabi pula, tidak ada maksud hendak menggabungkan semuanya dalam satu ajaran, nabi-nabi bersatu dan umat-umat di belakang mereka berpecah.
iii. Mohamad Quraish Shihab berkata, setelah Allah menyampaikan janji itu, baik dalam erti mengambil janji untuk percaya dan menyokong Nabi Muhammmad SAW.
iv. Barang siapa yang melanggar janji selepas membuat ikatan janji untuk menebarkan agama para nabi, dan menjadikan agama sebagai medium perpecahan dan permusuhan, serta tidak mahu beriman kepada nabi yang terakhir, yang membenarkan ajaran-ajaran agama terdahulu, serta tidak mahu membelanya, mereka itulah orang yang derhaka.
Oleh itu, Ahli Kitab yang mengingkari kenabian Muhammad SAW meninggalkan perjanjian Allah SWT dan mengubahnya, maka perbuatan mereka itu dianggap terkeluar daripada agama yang benar.
Iktibar dan fiqh ayat ke-83:
i. Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata, makna patuh dan terpaksa ada enam pendapat:
- Semuanya Islam pada hari perjanjian secara taat dan terpaksa seperti riwayat Mujahid daripada Ibn Abbas dan A’mash daripada Mujahid.
- Orang mukmin sujud secara taat sedangkan orang kafir sujud dalam keadaan terpaksa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Abi Nujaih dan Lais daripada Mujahid.
- Semuanya patuh bahawa Allah pencipta sekalipun sebahagian daripada mereka syirik. Inilah pendapat Abu al-‘Aliah dan Mansur dari Mujahid.
- Orang mukmin menyerah dalam keadaan taat sedangkan kafir menyerah kepada Islam dalam keadaan takut kepada mata pedang. Inilah pendapat al-Hasan.
- Orang mukmin Islam dengan penuh ketaatan sedangkan orang kafir Islam apabila melihat azab Allah, sedangkan ketika itu tidak boleh memberi manfaat. Inilah pendapat Qatadah.
- Islam keseluruhannya dengan tunduk dan patuh perintahnya secara tabiat kerana tiada seorang pun mampu mencabar kekuasaan Tuhan. Inilah pendapat al-Zajjaj.
ii. Al-Maraghi berkata, agama yang benar ialah agama yang menyuruh berserah diri kepada Allah SWT dan beribadah kepada-Nya dengan ikhlas.
Semua nabi berbuat demikian dan mereka mengambil janji seperti itu daripada umat-umat mereka. Mereka kemudiannya melanggar janji itu ketika seorang nabi yang telah dijanjikan datang kepada mereka dan mengajak mereka kepada Islam, malangnya mereka tetap mendustakannya.
iii. Hamka berkata, matahari dan bulan menyerah kepada Allah. Begitu juga alam cakerawala dengan taat dan suka. Demikian juga sesetengah manusia yang memikirkan maksud Islam sedalam-dalamnya maka masuklah mereka dengan penuh keinsafan.
Semuanya tunduk menyerah kepada Allah SWT sama ada suka atau pun tidak. Maka bahagialah bagi siapa yang insaf akan hal ini sehingga dia tidak berasa keberatan menerima ketentuan Allah SWT.
iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, ketundukan dan ketaatan apa yang ada di langit dan di bumi menunjukkan kepatuhan hamba-hamba-Nya walaupun mereka diberi pilihan untuk taat atau tidak.
Sekiranya ia terpaksa ini kerana ia tidak diberi pilihan dan harus menerima apa yang ditetapkan-Nya. Alam ini tunduk kepada Allah SWT dengan jelas pada ketepatan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh-Nya.
Matahari tidak pernah terbit dari sebelah barat. Hukum-hukum alam bersifat konsisten, kalaupun ia berubah, ia berdasarkan hukum-hukum yang ditetapkan-Nya juga.
v. Al-Sonhadji berkata, orang yang di langit dan di bumi telah disebutkan sama ada beriman secara rela atau pun secara terpaksa. Semuanya telah tunduk kepada Allah dengan menganut agama Islam.
Para Ahli Kitab pula masih berdalih mencari agama lain. Akhirnya, mereka akan kembali kepada Allah untuk menerima balasan.
Sindiran ayat ini jelas menunjukkan betapa besarnya amaran dan ancaman Allah terhadap orang yang menyalahi-Nya di dunia ini.
Alangkah baiknya jika kita menjadi hamba yang mentaati dan mematuhi perintah-Nya dalam semua keadaan untuk melayakkan kita mendapat segala kurniaan nikmat, rahmat dan hidayah Allah. Amin.