Terengganu tawan Stadium Nasional


TERENGGANU muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-51 yang melabuhkan tirainya di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Terengganu berjaya mengumpul 13 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa diikuti Kelantan 11 emas, tujuh perak serta satu gangsa. Kedah pula di tempat ketiga dengan 11 emas, lima perak dan lapan gangsa.

Pelari jarak sederhana, Nik Hafiz Nik Mohamad dari Kelantan dinobatkan sebagai Olahragawan MSSM 2009, manakala peserta jalan kaki, Nur Aisyah Ahmat dari Sarawak dipilih sebagai Olahragawati.

Nik Hafiz mencipta rekod kejohanan dalam acara 800 meter dan memenangi emas acara 1,500m dalam kategori bawah 18 tahun.

Pada saingan semalam, Nur Aisyah mencipta rekod dalam acara 3,000m jalan kaki perempuan bawah 15 tahun dengan catatan masa 14:59.59s mengatasi rekod 15:18.38s yang dipegang Nur Suhila M. Rusni pada edisi 2007.

"Berdasarkan prestasi atlet sepanjang menjalani latihan, kami sememangnya meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan dan kami akan cuba mempertahankan gelaran ini di gelanggang sendiri tahun depan," kata Ketua Kontinjen Terengganu, Mohd. Azmy Zakaria.

Sementara itu, empat lagi rekod kejohanan dicipta pada hari terakhir semalam.

Pelari Terengganu, Harith Ammar Mohd. Sobri telah memecahkan rekod dalam acara 200m bawah 15 tahun dengan catatan masa 22.50s bagi memadamkan rekod 22.58s oleh Muhd. Ajmal Aiman juga dari Terengganu tahun lepas.

Kejayaan yang diperoleh Harith Ammar pada kejohanan kali ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaannya kerana tidak dapat beraksi pada dua kejohanan yang sama akibat kecederaan hamstring.

Kuartet 4x400m Terengganu turut mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan masa 3:21.66s untuk memadamkan rekod yang dipegang kuartet Johor, 3:21.79s pada tahun lepas.

Peserta Sabah, Jvan De Jvender Johwas berjaya mengatasi rekod dalam acara lompat kijang lelaki bawah 15 tahun selama lapan tahun dengan lompatan sejauh 14.26m.

Jven berjaya memadamkan rekod terdahulu, 14.20m yang dipegang Mohd. Marzuki Abdul Samah dari Kelantan pada edisi 2000.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url