Top Ad 728x90

Taraf politeknik bukan kelas kedua

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu mengikis tanggapan bahawa politeknik bertaraf kelas kedua dan menjadikannya sebagai pilihan terakhir untuk melanjutkan pengajian.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun politeknik tidak menawarkan program ijazah, kursus- kursus diploma dan sijil yang disediakan bermutu tinggi.

Malah tegas beliau, lepasan politeknik mendapat kepercayaan di kalangan pihak industri untuk diserap dalam sektor tersebut.

''Masyarakat jangan sesekali melihat pendidikan dan latihan teknikal yang ditawarkan oleh politeknik sebagai kelas kedua sebaliknya melihat institusi itu sebagai satu lagi pilihan yang disediakan untuk pelajar.

''Kursus-kursus yang ditawarkan oleh politeknik sangat profesional dan graduan daripada politeknik lazimnya mudah mendapat pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang dekat sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Saifuddin berkata, lepasan SPM seharusnya menjadikan politeknik sebagai pilihan utama selain universiti untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

''Meskipun begitu, kita tidak boleh menyamakan taraf politeknik dengan universiti yang menawarkan kursus di peringkat ijazah," jelasnya.

Dalam pada itu, empat universiti teknikal iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Teknologi Tun Hussein Malaysia (UTHM) akan menjalinkan kerjasama dengan Konsortium United Kingdom Utara (NCUK).

Menurut beliau, perbincangan antara universiti terlibat dengan NCUK sedang dijalankan untuk mengenal pasti bidang-bidang tertentu yang boleh dikongsi bersama.

Menerusi kerjasama itu katanya, universiti teknikal terlibat boleh mempelajari pengalaman NCUK dalam pelbagai aspek termasuk kurikulum, pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta promosi graduan.

''Sebahagian universiti ternama yang menganggotai NCUK merupakan sebuah politeknik tetapi berkembang menjadi universiti. Pengalaman ini boleh dipelajari oleh universiti berkenaan," jelasnya.

- UTUSAN

1 Comment:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90