Apabila selebriti turut aktif
Dunia kini jika diamati walaupun di sebalik kepesatan pembangunan, kecanggihan teknologi, bangunan pencakar langit dan lambakan para jutawan hasil dari apa yang dikatakan kejayaan sistem kapitalis, hakikatnya ia masih lagi tidak banyak berubah.
Memang benar sistem kapitalis yang lebih berorientasikan wang dan keuntungan banyak memberi manfaat kepada manusia. Tetapi apakah manfaat yang diperoleh itu benar-benar menyeluruh atau hanya memberi keuntungan kepada segelintir manusia.
Dalam hal ini adalah lebih tepat jika kita mentafsirkan sistem kapitalis ini hanya memberi keuntungan kepada mereka yang kaya sahaja. Dalam erti kata lain, yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan terus miskin.
Kita boleh lihat betapa di negara-negara Afrika serta beberapa negara dunia ketiga masih lagi terhimpit dengan pelbagai masalah dan konflik akibat dari ketidakadilan pembahagian kekayaan dunia serta konflik politik yang tiada penyelesaiannya.
Jika diperhalusi, dengan kekayaan yang dimiliki oleh para hartawan dan bilionair di seluruh dunia ditambah dengan aset dan perolehan yang dikutip oleh setiap perusahaan adalah mustahil masih lagi terdapat golongan miskin yang tidak mendapat makanan untuk mengisi perut.
Bukan untuk menidakkan pemilikan harta oleh seseorang individu namun jika setiap mereka yang berjaya ini menderma untuk kebaikan bagi mengurangkan penderitaan penduduk miskin berkemungkinan besar masalah yang seringkali menghantui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini dapat diselesaikan.
Dalam memperkatakan tentang soal kemiskinan dan kebuluran ini, pastinya orang yang sering kali dilihat kehadapan dalam membela golongan ini ialah artis dan selebriti terkenal di Hollywood.
Sebut sahaja nama-nama seperti Angelina Jolie, Bono dari kumpulan U2, penyanyi Sir Bob Geldof dan beberapa lagi pastinya kita sudah sedia maklum tentang penyertaan aktif mereka dalam isu-isu seperti kemiskinan, alam sekitar, penularan penyakit seperti AIDS, aktivis politik dan pelbagai lagi.
Nama-nama yang disebutkan di atas merupakan antara segelintir artis popular yang telah berkecimpung dalam kegiatan sebegini sejak sekian lama. Bagaimanapun kegiatan artis yang semakin bergelut dalam dunia aktivis seumpama ini sebenarnya kini semakin mendapat tempat dan perhatian di kalangan mereka.
Jika dahulu hanya beberapa kerat sahaja golongan ini yang terlibat dalam aktiviti dan kegiatan amal tertentu namun kini boleh dikatakan kebanyakan mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dirasakan secocok.
Sebut saja siapa nama-nama artis di Hollywood dan pastinya kita akan melihat atau mendengar nama mereka terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan yang menjadi pilihan sama ada ia adalah untuk memperjuangkan hak kemanusiaan, hak asasi haiwan, memperjuangkan ikon politik tertentu, atau pun untuk melindungi alam sekitar.
Sememangnya adalah tidak salah bagi golongan terkenal ini untuk menyertai mana-mana pertubuhan yang dirasakan sesuai malah ia sememangnya digalakkan kerana setiap tindak tanduk mereka ini pastinya akan menjadi perhatian dan ikutan ramai.
Namun yang menjadi persoalannya sekarang ialah kenapa trend sebegini semakin mendapat pilihan dan apakah penglibatan mereka ini mampu memberi impak yang diharapkan. Atau adakah ia hanya sebahagian dari retorik untuk menampak diri mereka sebagai manusia yang prihatin di mata masyarakat?
Ada yang memanggil fenomena ini sebagai "selebriti diplomat" dan ada yang menggelarnya "celebritocracy". Sebenarnya kegiatan sebegini telah mula dipelopori sejak dari tahun 1950-an lagi dengan pelakon seperti Danny Kaye dan Audrey Hepburn melalui penyertaan mereka dalam kerja-kerja kemanusiaan dalam UNICEF.
Bagaimanapun kerja-kerja kemanusiaan ini semakin mendapat perhatian dan tempat di kalangan selebriti popular berikutan penglibatan aktif mendiang Princess Diana dalam kerja-kerja kemanusiaan di seluruh dunia.
Walaupun aktiviti ini telah mula menjadi perhatian sekitar tahun 80-an, namun perhatian, keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan Diana telah menjadi simbol kepada kegiatan kemanusiaan yang kemudian menular di kalangan selebriti Hollywood.
Dan sejak sedekad lalu, para selebriti ini telah menggunakan sepenuhnya pengaruh dan populariti mereka untuk menarik perhatian dunia dalam isu-isu global seperti kemiskinan, peperangan dan sebagainya.
Mempengaruhi
Fenomena ini jika dikaji lebih mendalam sebenarnya memang terdapat kebenarannya. Kredibiliti selebriti ini sememangnya mampu mempengaruhi para peminat dan pengikut industri ini jika mereka benar-benar bersungguh terlibat dalam aktiviti sebegini.
Mengambil contoh Bono sebagai antara katalis utama dalam kerja-kerja kebajikan membabitkan selebriti. Boleh dikatakan beliau senantiasa mendapat tempat dan perhatian di dada-dada akhbar malahan kita seringkali melihat beliau terlibat dalam perjumpaan dan perbincangan dengan pemimpin utama dunia terutama dalam isu-isu seperti kemiskinan.
Bono sangat berjaya menyakinkan masyarakat terutama para peminatnya tentang isu-isu yang diperjuangkan. Bukan itu saja, para pemimpin terkemuka dunia turut menerima pandangan dan peranan yang dimainkan beliau ini bukan atas kredibilitinya sebagai bintang popular tetapi atas prinsip profesionalisme dalam memperjuangkan masalah kemiskinan dan penularan penyakit AIDS.
Kemampuan orang popular seperti Bono dan Angelina Jolie tentu sahaja menaikkan taraf selebriti itu yang sebelum ini sering dipandang rendah kerana penglibatan kebanyakan mereka dalam kegiatan negatif seperti seks bebas dan penyalahgunaan dadah.
Dengan sedikit sebanyak kemampuan untuk mengubah pandangan dan pemikiran orang ramai pastinya keupayaan mereka ini akan dinilai dan dipandang tinggi oleh para pemimpin untuk turut sama dalam membawa perubahan yang diinginkan.
Dengan kemampuan untuk "bercampur gaul" bersama pemimpin berpengaruh serta menjadi tatapan utama pembaca di akhbar-akhbar pastinya keupayaan mereka ini akan dinilai dan disokong oleh para peminat mereka.
Artis sebegini menggunakan sepenuhnya status selebriti mereka untuk memperoleh akses mendampingi para pemimpin sekali gus mempengaruhi mereka tentang isu yang diperjuangkan. Namun pada masa yang sama bukan semua pemimpin mahu didampingi golongan popular ini atas sebab-sebab melindungi kepentingan mereka.
Ada di antara mereka ini yang berjuang atas nama kebebasan berpolitik untuk menarik sokongan masyarakat dunia terhadap sesuatu isu yang mungkin ditentang keras oleh sesebuah negara.
Salah satu contoh ialah kempen menggesa pembebasan ikon pro-demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, turut mendapat perhatian selebriti Hollywood seperti aktres Julia Roberts.
Suu Kyi telah menjalani hukuman tahanan di rumah selama 13 tahun daripada tempoh hukuman selama 19 tahun. Julia yang terlibat dalam kempen '64 perkataan untuk Aung San Suu Kyi', yang dianjurkan oleh satu pakatan hak kemanusiaan dan kumpulan-kumpulan aktivis yang dilancarkan pada 27 Mei lalu yang turut pelakon dan selebriti seperti Demi Moore, Kevin Spacey, Yoko Ono dan penerbit filem Titanic dan The Terminator, James Cameron.
Selebriti popular ini sememangnya berpengaruh dan mampu menarik sokongan orang ramai tetapi bukan semua mereka mampu memberikan kesan positif terhadap masyarakat.
Populariti
Bukan semua pengaruh selebriti ini digunakan sebaik mungkin. Terdapat sesetengah selebriti ini hanya menggunakan pengaruh mereka ini atas tujuan untuk meraih dan mengekal populariti tanpa sebarang tujuan jelas.
Sebagai contoh terdapat artis popular ini yang yang sanggup berbogel atas tujuan menggalakkan orang ramai tidak menggunakan pakaian yang diperbuat dari bulu binatang.
Mereka ini hanya lebih tertumpu kepada mencari publisiti dan glamor bagi mengekalkan kedudukan sebagai artis selain memastikan berita mereka masih mendapat perhatian di dada akhbar dan televisyen.
Contoh terbaik bagi kategori selebriti sebegini pastinya Paris Hilton dan Pamela Anderson. Mereka ini dilihat umpama manusia plastik yang membuat kerja-kerja amal hanya untuk mendapatkan publisiti bagi survival karier mereka di Hollywood.
Satu lagi isu yang dikaitkan dengan lambakan selebriti diplomat ini ialah adakah dengan penyertaan mereka secara aktif dan berterusan mampu mengesamping peranan diplomat yang bekerja dan secara penuh masa.
Ada pendapat menyatakan peranan yang dimainkan oleh selebriti ini umpama satu gerakan "anti political establishment" memandangkan sejak sekian lama belum terdapat perubahan yang jelas dan nyata tentang kesamarataan hak penduduk dunia. Melalui gerakan yang melibatkan selebriti ini barulah dilihat terdapat perubahan dan perhatian yang jelas dalam membantu penduduk dunia yang selama ini terabai.
Mungkin ada kebenarannya kerana sedikit sebanyak ia umpama satu "wake up call" kepada para diplomat elitis yang gagal menjalankan tugas mereka selama ini.
Lihat saja apa yang dilakukan oleh Bono bila dia dilihat duduk semeja dengan beberapa pemimpin dunia seperti bekas Presiden Amerika syarikat (AS) George W. Bush, bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair dan berbincang tentang isu-isu seperti peperangan, kemiskinan. Mereka ini dilayan seumpama pemimpin besar oleh para pemimpin dunia.
Ini pastinya bukan satu usaha yang mudah kerana bagi kebanyakan pemimpin negara mereka terpaksa membayar harga yang mahal kepada pelobi semata-mata hanya untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin AS selama beberapa minit. Maka tidak dapat tidak kita harus menghormati peranan yang dimainkan para selebriti ini yang telah meletakkan nama dan jejak yang jelas di peringkat global.
Kita boleh melihat bagaimana pelakon terkenal seperti George Clooney dan Mia Farrow berjuang habis-habisan mengenai Afrika malah sehingga di luar batasan aktivis politik. Kita boleh melihat Sean Pean bersungguh-sungguh menegakkan protes anti perang selain kempen kesedaran mengenai penyakit AIDS oleh penyanyi seperti Elton John.
Tidak dinafikan jumlah selebriti yang semakin galak menyertai senarai selebriti diplomat meningkat dari tahun ke tahun dan kesedaran sebegini adalah sesuatu yang proaktif dalam menyedarkan masyarakat dunia tentang apa sebenarnya yang berlaku di sekeliling dunia.
Namun bukanlah bermaksud untuk menghina, tetapi apakah penglibatan selebriti yang terkenal kerana skandal bukan kerana bakat dan kredibiliti mampu memberi kesan yang sepatutnya dalam terma diplomasi.
Adakah sekadar menyatakan diri mereka tidak akan menggunakan pakaian diperbuat dari bulu binatang dan tidak lagi memakan daging dan kemudian bergambar bogel kerana bersetuju dengan pendapat sedemikian mampu meletakkan martabat mereka seiring dengan para diplomat lain.
Mungkin atas kebebasan bersuara dan hak asasi manusia perlakuan sebegini dibenarkan. Namun sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menilai apakah perbuatan sebegini bersesuaian dengan apa yang diperjuangkan.
Atas nama kemanusiaan, apa yang dilakukan oleh para selebriti ini sememangnya amat dialu-alukan namun bukan semuanya boleh diterima atas kapasiti pertembungan budaya dan agama. Mungkin selebriti di Malaysia boleh bertindak sama seperti apa yang dilakukan oleh mereka di Hollywood asalkan ia bersesuaian dengan batas dan budaya Malaysia.