Ahad, Jun 28, 2009

Jual al-Quran di Indonesia

Kebanyakan peniaga Malaysia yang mengembangkan sayap ke Indonesia adalah di dalam bidang cari gali minyak, perladangan dan telekomunikasi, tetapi seorang peniaga yang ditemui penulis baru-baru ini menjual al-Quran.

Beliau ialah Sabariah Abdullah iaitu Pengarah Urusan Saba Islamic Media dan terus penulis teringat kembali naskhah al-Quran dan telefon bimbit yang mempunyai ciri-ciri Islam yang dijual di kedai buku Wali Songo di Jakarta.

Rupa-rupanya ia adalah produk dari Malaysia dan syarikat yang diterajui oleh seorang usahawan wanita.

Menurut Sabariah, perkiraannya mudah sahaja, perniagaan beliau adalah sambil mencari rezeki dan berdakwah, tentulah Allah akan membantu. Berpegang kepada keyakinan itu beliau memberanikan diri mengembangkan sayap perniagaan di Indonesia.

Sasaran

"Pasaran di Malaysia dah tepu, jadi daripada melabur di pasaran yang sudah tidak boleh berkembang, lebih baik duit yang ada dibelanjakan memperluaskan perniagaan di negara yang mempunyai pasaran yang cukup besar," katanya.

Sasaran syarikat ialah menjual produk berasaskan Islam kepada golongan berpendapatan tinggi.

Jika dianggarkan jumlah golongan berkenaan adalah kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Indonesia yang berjumlah lebih 230 juta itu, tentulah pasarannya sama besar dengan pasaran di seluruh Malaysia.

Jadi al-Quran yang dijual bukan naskhah biasa, ia adalah terjemahan di dalam bahasa Inggeris dan setakat ini lebih seribu naskhah telah dijual serta terdapat di kedai-kedai buku utama di Jakarta.

Bahan di dalam bahasa Inggeris memang sukar ditemui di Indonesia yang mempunyai semangat bahasa ibunda yang begitu kuat, jadi Al-Quran terjemahan di dalam bahasa Inggeris memang sukar diperoleh.

Selain orang Islam, penganut agama lain juga mengkaji tentang Islam dan mereka kebanyakannya terdiri daripada golongan terpelajar yang lebih mahir berbahasa Inggeris.

Golongan ini memerlukan buku-buku dan terutama al-Quran di dalam bahasa Inggeris dan di sinilah Saba Islamic Media melihat peluang yang boleh direbut.

Semua itu, kata Sabariah, diperoleh hasil daripada kajian pasaran yang dilakukan beberapa bulan di Indonesia.

Selain al-Quran terdapat banyak lagi produk dijual termasuklah VCD kartun Raihan Ranger yang mengambil nama sempena kumpulan nasyid Raihan yang turut popular di Indonesia.

Di syarikat berkenaan di Bandar BSD, Tangerang itu turut mempunyai studio bagi membuat animasi Raihan Ranger versi Indonesia.

Syarikat berkenaan juga melalui Pt. Saba Islamic Media kini giat mencari mereka yang berminat untuk mengembang perniagaan tersebut di bandar-bandar utama di Indonesia dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui www.saba.com.my
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts