Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu runtuh


Sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, runtuh semalam menyebabkan timbul pelbagai persoalan kerana stadium bernilai RM292 juta itu baru setahun digunakan.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, struktur bahagian bumbung di tempat duduk utama termasuk Pentas Diraja ranap dan menimpa sebuah kereta, tiga motosikal serta sebuah jentera berat yang diletak berhampiran kawasan itu, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengulas kejadian itu, mengarahkan kerajaan Terengganu melakukan siasatan segera kerana ia tidak sepatutnya berlaku berikutan stadium itu baru disiapkan dan digunakan pada Sukan Malaysia (Sukma), tahun lalu.

“Hal-hal sebegini yang menyebabkan kita tidak berpuas hati... adakah kejadian itu kerana kontraktor, perunding yang tidak melakukannya dengan betul atau pihak yang mengesahkan kerja akhir tidak membuatnya secara teratur.

“Ia mungkin juga disebabkan hal-hal di luar jangkaan yang kita tidak tahu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Titian Gemilang kelima di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu, dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang.

Muhyiddin berkata, beliau memahami jika kerosakan hanya berlaku sedikit dan bukannya membabitkan keruntuhan yang teruk.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, berkata kejadian itu dianggar membabitkan kerugian kira-kira RM25 juta.

"Memang kita dukacita dengan kejadian ini, tetapi saya bersyukur kerana tidak ada yang cedera. Kebetulan tidak ada sebarang majlis berlangsung dan pekerja yang sedang melakukan kerja pembersihan stadium juga selamat," katanya.

Insiden itu berlaku sehari sebelum Kejohanan Sukan Staff IPTA ke-34 yang sepatutnya bermula hari ini hingga 13 Jun.

Berikutan kejadian itu, kejohanan yang dijadual disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 5 Jun, dipindahkan ke beberapa lokasi lain.

Sementara itu, seorang jurutera sebuah syarikat kejuruteraan tempatan yang mahu dikenali sebagai A Mohamed, mendakwa beliau sudah memaklumkan kepada beberapa agensi berkaitan mengenai keadaan struktur bumbung itu yang melengkung.

“Keadaannya semakin ketara sejak beberapa minggu lalu dan saya sudah membuat aduan yang disertakan gambar mengenai keadaan struktur bumbung yang terdedah kepada bahaya, tetapi tiada tindakan diambil.

"Lengkungan pada struktur bumbung tanpa sokongan tiang itu dapat dilihat dari jauh dan setiap kali melihatnya saya bimbang sesuatu yang buruk akan terjadi dan kebimbangan saya menjadi kenyataan hari ini (semalam)," katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1, Pauzan Ahmad, berkata runtuhan itu membabitkan bumbung sepanjang 80 meter daripada keseluruhan 134 meter di kawasan tempat duduk utama termasuk Pentas Diraja.

“Kami mendapat maklumat pada jam 9.45 pagi dan tiga jentera yang bergegas ke tempat kejadian sampai tujuh minit kemudian dan terus membuat penilaian bagi memastikan tiada mangsa terperangkap dan menentukan adakah akan berlaku lagi runtuhan," katanya ditemui di tempat kejadian.

Seorang juruteknik elektrik, Hanafiah Osman, 27, pula berkata dia sedang membaiki lampu jalan di luar stadium itu apabila mendengar bunyi besi berkeriut sebelum struktur bumbung berkenaan runtuh.

"Keadaan ketika itu sungguh mengerikan. Walaupun sedang dalam ketakutan, saya turun dari tiang untuk cuba menyelamatkan kereta saya tetapi sudah terlambat. Rakan saya juga terpaku melihat kemusnahan itu," katanya.

Kereta Perodua Kancil milik Hanafiah yang diletak berhampiran kawasan itu ranap apabila ditimpa runtuhan bumbung itu.

INFO

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

# Dibina Mei 2006; siap 2008
# Kos RM292 juta
# Sebahagian daripada Kompleks Sukan Gong Badak bernilai RM500 juta
# Kapasiti 50,000 orang
# Mempunyai prasarana sukan bowling dan skuasy
# Dimajukan beberapa kontraktor tempatan; kerja pemasangan bumbung dilakukan syarikat Korea Selatan
# Stadium pertama di Asia guna sistem bumbung tanpa sokongan tiang

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
2 Comments
  • cik.gilbert
    cik.gilbert Rabu, 3 Jun 2009 pada 9:13:00 PTG SGT

    bile runtuh??
    aku baru je p men boling bulan lepas

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Khamis, 4 Jun 2009 pada 1:53:00 PG SGT

    cam sabotaj plak..

Add Comment
comment url