Dipenjara kerana silap JPN

Akibat kecuaian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seorang ibu yang mempunyai tujuh anak terpaksa meringkuk dalam penjara lebih dua bulan kerana dituduh memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan gantian MyKad di JPN cawangan Negeri Sembilan pada 15 April lalu.

K Shanti, 37, dari Taman Sentosa, Mantin yang mempunyai empat adik-beradik dikatakan mengemukakan permohonan gantian kad pengenalan bernombor A2190043 atas nama S Vasandy dengan mengemukakan sijil kelahiran nombor B851157 di JPN Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, semakan yang dibuat melalui sistem komputer JPN, mendapati gambar dan cap ibu jari tertuduh tidak merujuk kepada rekod sistem, sebelum kes terbabit dirujuk kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Seremban untuk tindakan lanjut.

Shanti mengaku sijil kelahiran terbabit diserahkan kepadanya oleh bapanya, Kuppusamy yang telah meninggal dunia kira-kira tujuh tahun lalu dan siasatan lanjut mendapati dia berasal dari Perak dan tidak mempunyai perjalanan yang sah semasa ditahan.

Akibatnya, Shanti, dia didakwa di Mahkamah Seksyen Seremban 2, sehari selepas itu atas kesalahan di :bawah Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan didapati bersalah sebelum dibawa ke Penjara Kajang.

Shanti yang bekerja sebagai penoreh getah bersama suaminya, Balakrishan, 50, yang hanya mempunyai pendapatan RM500 sebulan ternyata tertekan dengan penahanan terbabit memandangkan tugas mencari rezeki ditanggung suaminya sepanjang tempoh penahanan.

Lebih menghairankan dan mengecewakan mengapa JPN tidak membuat semakan teliti semasa Shanti mengemukakan permohonan sijil perkahwinannya dan sijil kelahiran anaknya sebelum ini.

Bagaimanapun nasib malang menimpa Shanti mendapat perhatian segera dari Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk T Rajagopalu yang juga bertindak sebagai peguam mewakili Shanti sehinggalah dia dibebaskan daripada tuduhan berkenaan pada 19 Jun 2009.

Rajagopalu berkata, kesilapan JPN terhadap Shanti amat mengecewakan kerana ia memberi tekanan kepadanya dan ahli keluarga yang bergantung padanya untuk mencari rezeki.

“Sepatutnya JPN meneliti perkara ini dengan teliti sebelum mengambil tindakan bagi mengelakkan penganiayaan terhadap seseorang.

“Sebelum ini Shanti tidak menghadapi masalah mengemukakan permohonan perkahwinannya dan sijil kelahiran tujuh anaknya di JPN, tetapi masalah timbul apabila dia ingin memperbaharui kad pengenalan lama kepada MyKad.

“Penahanan ini menggambarkan ketidaktelitian dan kurang keberkesanan JPN menangani masalah ini hingga membebankan ahli keluarga beliau,” katanya ketika ditemui pemberita bersama Shanti dan keluargannya di pejabat MIC negeri di sini, semalam.

- SINAR HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url