Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah menyeru Jibril dengan firman-Nya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya. Jibril pun mengasihinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya; selepas itu orang yang itu dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia. Jibril pun membencinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekalian membencinya; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang itu dibenci dan dipulaukan di bumi." (Hadis riwayat Abu Huraira)
Umat Islam dilarang melakukan perkara yang buruk, dibenci agama dan masyarakat tetapi hendaklah sentiasa berbuat kebaikan.
Orang yang mempunyai sifat dan amalan baik sesungguhnya amat dikasihi Allah. Dia juga disayangi sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi.
Pengisytiharan kasih mahupun benci oleh Allah terhadap seseorang itu adalah sebagai memberi nilai sewajarnya supaya kesan kebaikan dan kejahatan dapat dirasai oleh pelakunya di dunia sebelum ia menerima balasan sepenuhnya pada hari akhirat.
Selaku manusia biasa, adalah tidak layak untuk menilai buruk baiknya seseorang apalagi menghukum dan membenci manusia yang lain kerana hanya Allah saja berhak berbuat demikian.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)
Blogger Informasi