Sultan Johor tolak idea jambatan ketiga ke Singapura

Sultan Johor hari ini menolak cadangan pembinaan jambatan ketiga menghubungi Johor dengan Singapura seperti saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bulan lalu.

Titah Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail itu disampaikan oleh Tengku Mahkota Johor ketika merasmikan persidangan penggal kedua DUN Johor pagi ini, lapor Bernama.

"Saya dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa Tuanku tidak setuju dengan cadangan untuk membina jambatan ketiga," kata Tunku Ibrahim Ismail.

Terdahulu, Tunku Ibrahim Ismail dan Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim mengiringi Sultan Iskandar memeriksa perbarisan sempena perasmian pembukaan persidangan berkenaan.

Perdana menteri mengumumkan mengenai minat Singapura membina jambatan ketiga di timur Johor bersama Malaysia apabila hasrat
itu dilahirkan oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew pada pertemuan mereka di Putrajaya.

Dalam titah yang disampaikan menerusi Tunku Mahkota itu juga, Sultan Iskandar menasihatkan rakyat supaya menyambut langkah kerajaan untuk membina ekonomi yang maju.

Menurut agensi berita itu lagi, baginda turut meminta rakyat berpegang teguh kepada Perlembagaan supaya keadaan terus aman dan damai.

"Perpaduan antara rakyat mesti dijaga supaya semua rakyat dapat hidup bahagia. Kita hendaklah muafakat kerana muafakat itu berkat," titah baginda.

- MALAYSIAKINI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url