Kerajaan perpaduan tidak pinggir bukan Islam - Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata, kewujudan kerajaan perpaduan tidak bermakna kepentingan bukan Islam di negara ini akan dipinggirkan, sebaliknya mereka tetap ada peranan dalam kerajaan dengan kepentingan mereka dilindungi.

Perdana Menteri menegaskan, dalam konsep 1Malaysia yang diilhamkan beliau atau kerajaan perpaduan, soal kenegaraan sentiasa melampaui batasan politik kerana pentadbirannya tetap mengutamakan kepentingan pelbagai kaum.

Sambil menafikan dakwaan pembangkang kononnya isu kerajaan perpaduan adalah konspirasi Umno untuk wujudkan perpecahan dalam Pas, beliau berkata, kesediaan Umno membincangkan isu itu berlandaskan tuntutan Islam yang mewajibkan umatnya bekerjasama.

"Apa yang dituntut oleh agama kita mesti ikut, jangan pula soal politik mengatasi tuntutan agama," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009 di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

"Saya sedar ramai umat Islam kecewa dalam hal ini (kegagalan rundingan kerajaan perpaduan) sebab ini soal perpaduan.

"Tapi macam mana mereka (Pas) boleh kata ini permainan Umno sedangkan mereka sendiri yang syorkan kerajaan perpaduan.

"Ada ahli Pas setuju, ada juga yang tidak. Jadi kita tak boleh cakap itu pendapat Pas secara keseluruhan, sebaliknya mungkin ia pendapat satu atau dua pemimpin dalam Pas," katanya.

Mengenai isu hutang tertunggak cukai lapangan terbang AirAsia kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mencecah RM65 juta, Najib berkata kerajaan akan melantik perunding bagi mencari penyelesaian.

Katanya, kerajaan tidak memihak kepada sesiapa sebaliknya mahu menjadi orang tengah bagi membantu AirAsia dan MAHB menyelesaikan masalah.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url