Indahnya Pantai Air Tawar, Besut

TERENGGANU memang terkenal dengan keindahan persisiran pantainya yang panjang. Dari Setiu hingga ke Rantau Abang, setiap pantainya memiliki keistimewaan tersendiri.

Walaupun ia tidak semeriah pantai di Bali atau Phuket, kawasan itu sentiasa sesak dengan pengunjung tempatan sama ada berkelah, berkhemah atau mengadakan majlis pertemuan.

Selain Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, Pantai Teluk Bidara di Dungun dan Pantai Kemasik di Kemaman, Pantai Air Tawar di daerah Besut juga tidak kurang hebatnya.

Ramai yang tidak jemu ke sini bagi menyaksikan panorama matahari terbenam.

Terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari pekan Kuala Besut atau 30 minit dari Bandar Jerteh, persisiran pantainya yang panjang membolehkan pelbagai aktiviti rekreasi diadakan termasuk bola sepak atau bola tampar.

Pengunjung juga bebas mengadakan aktiviti perkelahan bersama keluarga, berjoging, bersiar-siar atau bermain layang-layang.

Kawasan pantai ini dipenuhi dengan deretan pohon ru yang sesuai dijadikan tempat berehat.

Dari kawasan pantai, pengunjung dapat menyaksikan keindahan gugusan pulau kecil di perairan Terengganu yang jelas kelihatan terutama jika keadaan cuaca mengizinkan.

Anda mungkin melihat bot nelayan yang meredah gelombang untuk mencari rezeki di tengah laut.

Jika gemar aktiviti lasak, anda boleh bermain jet ski sepuas hati kerana ini jarang digunakan pengunjung tempatan untuk mandi-manda kecuali pelancong asing.

Pantai Air Tawar popular sejak zaman penjajahan Inggeris kerana ada kediaman pegawai Inggeris dan rumah pegawai polis.

Pantai peranginan ini dijadikan kawasan perkampungan Pekan Budaya Daerah Besut, setiap tahun.

Keindahannya menjadi pilihan orang perseorangan dan pasukan berunifom untuk mengadakan aktiviti perkhemahan.

Kanak-kanak pasti gembira apabila dapat bermain di gigi air sambil membina istana pasir bersama rakan. Bagaimanapun, pengunjung tidak digalakkan mandi jika tidak tahu berenang bagi mengelak kemalangan jiwa.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url