Top Ad 728x90

Lapor status kesihatan jika ambil ubat demam

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai yang mengambil ubat seperti paracetamol supaya memaklumkan secara sukarela kepada petugas kesihatan di pintu masuk negara mengenai status kesihatan mereka walaupun tidak dikesan mengalami demam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, langkah tersebut penting bagi mengelak penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Jelasnya, mereka yang mengalami demam dan mengambil paracetamol berkemungkinan tidak dapat dikesan menerusi mesin pengimbas yang ditempatkan di pintu-pintu masuk negara.

"Mengambil paracetamol bukan satu kesalahan tapi pesakit perlu beritahu petugas kesihatan di lapangan terbang bahawa mereka demam.

"Ini bagi membolehkan kita membuat ujian awal bagi mengesan H1N1 seterusnya mengelak mereka daripada berhubung dengan lebih ramai orang," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Beliau mengulas dua daripada 14 kes baru H1N1 di mana penumpang pesawat yang mengalami demam berjaya melepasi ujian mesin pengimbas setelah mengambil paracetamol sebelum mendarat di lapangan terbang.

Kes pertama merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun yang belajar di Melbourne dan mengalami demam sejak 22 Jun lalu.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Jun lalu dan mendapatkan pemeriksaan di Hospital Sungai Buloh keesokan hari serta disahkan positif H1N1 semalam.

Sementara itu, kes kedua membabitkan seorang pelajar perempuan rakyat Malaysia berusia 21 tahun yang bercuti bersama kakaknya di London dari 10 hingga 21 Jun lalu.

Dia yang mengalami demam serta batuk sejak 18 Jun lalu tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada 22 Jun lalu.

Dia dirujuk ke Hospital Sungai Buloh oleh sebuah hospital swasta pada 24 Jun lalu dan disahkan positif H1N1 semalam.

Menurut Mohd. Ismail, orang ramai tidak perlu mengelak daripada dikesan demam di pintu masuk negara kerana pihaknya tidak akan merujuk terus kes mereka ke hospital.

Sebaliknya, kata beliau, petugas kesihatan hanya mengambil sampel daripada tekak dan meminta mereka menjalani kuarantin di rumah sehingga hasil ujian makmal diperoleh.

"Lebih baik lapor kepada kita daripada mereka senyap-senyap balik ke rumah dengan membawa virus H1N1.

"Lepas itu naik pengangkutan awam seperti teksi dan berjumpa ibu bapa dan rakan-rakan seterusnya menyebabkan wabak merebak," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90