Coklat hasil tangan tiga jejaka
Siapa yang tak suka makan coklat? Pasti sukar untuk bertemu dengan golongan minoriti itu kerana menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang manis berbanding pahit, masin atau masam.
Bukan setakat keenakan rasanya, khasiat coklat juga terbukti menerusi kajian saintifik yang antara lain mampu menaikkan semangat, bertenaga dan menenangkan fikiran.
Apatah lagi jika ditambah perisa, kekacang dan dibentuk dalam pelbagai bentuk? Sudah pasti ia menjadi makanan yang amat ideal untuk satu suasana yang bahagia.
Atas sebab itulah maka perniagaan berasaskan coklat mempunyai masa depan yang cerah. Tiga anak muda, Mohd. Radzi Othman, Muzairee Daud dan Sharil Omar, masing-masing berusia 27 tahun tidak mahu ketinggalan menghasilkan satu hidangan yang sedap serta mempersonakan pandangan.
Ketika ditemui di pameran Smidex di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini, masing-masing optimis dengan misi mereka berkaitan coklat.
"Kami akan membuka sebuah premis yang menjual segalanya berasaskan coklat," kata Mohd. Radzi membayangkan masa depan perniagaan yang dicetuskan bersama dua sahabatnya itu.
Segalanya tidak mustahil jika kena pada strategi dan perlaksanaanya. Perniagaan yang bermula dengan cara runcit pada akhir 2006 kini semakin berkembang dan mula mendapat perhatian penggemar coklat.
"Coklat adalah makanan istimewa. Penggemar coklat pasti mengakui hakikat bahawa manisan tersebut mampu membuatkan mereka berasa tenang apabila menikmatinya.
"Istimewanya Strawchocz tampil dengan coklat buatan tangan yang pastinya menyebabkan anda terkenang-kenang selepas satu gigitan. Inilah falsafah kami, menghidangkan kepada anda coklat yang terbaik dengan rasa yang enak dan hiasan yang menawan," katanya yang menyifatkan penubuhan Strawchocz sebagai penghargaan kepada peminat coklat.
Truffle, praline, Ryverra racher dan heart shape adalah antara jenis coklat buatan tangan yang mereka hasilkan.
Inti coklat keluaran mereka juga pelbagai seperti durian, strawberi, pudina, mocha dan macam-macam lagi. Mereka juga kini sedang menghasilkan coklat kurma yang menggunakan kurma Arab Saudi berkualiti khusus untuk pelanggan.
Gabungan minat dan semangat usahawan
Walaupun masing-masing berasal dari latar belakang pendidikan berbeza, namun misi mereka kini sama.
"Muzairee dan Sharil adalah graduan jurusan pengajian syariah dari Universiti Malaya dan saya pula dari Univesiti Teknologi Malaysia dalam bidang sains komputer. Kami menuntut ilmu pembuatan coklat dari Chef Amer Hamzah dan bekerjasama dengan Lembaga Koko Malaysia untuk mendapatkan kesemua maklumat tentang koko," jelas Radzi lagi.
Selain jualan runcit, Strawchocz juga dijual secara kiosk dan push cart (gerai tolak) di pusat beli-belah seperti Jusco, Tesco dan Dataran Pahlawan, Melaka.
Sementara itu, Muzairee pula berkata, menikmati coklat bersama keluarga dan orang yang tersayang, memang menggembirakan. Apatah lagi andai insan tersayang menghadiahkan sekuntum senyuman kegembiraan apabila menerima coklat tersebut.
"Sesungguhnya Strawchoz adalah lambang kebahagiaan dan kelazatan. Kerana itu Strawchocz dinamakan sebagai fine handmade chocolate. Coklat kami menggunakan koko Malaysia dan 100 peratus halal dan diyakini," jelasnya yang ditemui di tempat yang sama.
Strawchocz mengubah tradisi buah tangan pengantin
Setiap bakal pengantin pasti menginginkan majlis mereka menjadi ingatan manis bagi tetamu yang hadir. Justeru, Radzi dan rakan-rakannya mengilhamkan Strawchocz sebagai hadiah buah tangan untuk tetamu menerusi 'Promosi Perkahwinan - Loose Pack'.
"Ia sebagai satu cetusan idea yang mampu merealisasikan impian anda bakal pengantin dengan moto 'Kenikmatan Coklat Mengasyikkan Suasana'.
"Untuk mewujudkan suasana yang cukup istimewa itu, Strawchocz memberi peluang kepada para bakal Raja Sehari untuk menempah coklat kami mengikut pilihan mereka," tambahnya.
Selain itu, sesiapa yang ingin menambah pendapatan, boleh menjadi agen untuk sambutan Hari Raya bermula dari bulan ini lagi.
"Kepada sesiapa yang ingin menjadi ejen, Strawchocz mempelawa anda yang berminat menjadi ejen kepada coklat buatan tangan kami. Anda dapat menghubungi Strawchocz menerusi talian 03-4295 0885 pada bila-bila masa," katanya.