N97 - Melengkapkan teknologi Nokia
Bagai menyempurnakan teknologi yang sudah lama dinikmati pengguna Nokia menawarkan keunikan dengan kemudahan capaian Internet menerusi pengenalan telefon bimbit pintar terbarunya N97, baru-baru ini.
Model siri-N itu menawarkan aplikasi lengkap merangkumi perkhidmatan rangkaian sosial, akses Internet, kebolehan multimedia selain fungsi sentuhan menggunakan teknologi S60 edisi kelima.
Menurut Pengurus Besar Nokia Singapura, Malaysia dan Brunei, Vlasta Berka, implementasi Nokia N97 menjadikan pengalaman Internet sesuatu yang peribadi kepada pengguna.
''Tawaran aplikasi Ovi Store Nokia oleh Nokia N97 ini menawarkan transformasi pelayaran Internet mengikut keperluan pengguna,'' katanya pada pelancaran telefon bimbit pintar itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi Ovi Store tersebut, ia bakal menjadi pusat hentian utama untuk capaian pelbagai perkhidmatan seperti aplikasi, video, permainan video, perkhidmatan lokasi serta peralatan web.
Selain menawarkan sambungan Internet yang cepat, navigasinya juga adalah lebih mudah menerusi kelebihan papan kekunci QWERTY dengan paparan gelongsor condong 3.5 inci.
Selain itu, paparannya menawarkan pilihan lima skrin sekali membolehkan pengguna memilih kandungan perkhidmatan yang ingin di akses secara langsung.
Untuk fungsi multimedia pula, model tersebut disempurnakan dengan kamera berlensa Carl Zeiss Tessar lima megapiksel, rakaman video 30 bingkai sesaat serta akses video Internet melalui Pusat Video Nokia.
Kesemua foto yang telah dirakamkan itu kemudiannya boleh di muat naik secara terus kepada laman web rangkaian sosial seperti Facebook, Flickr dan Twitter.
Kecemerlangan fungsi audio juga tidak kurang hebatnya menerusi aplikasi fon kepala jack 3.5 milimeter (mm), pembesar suara stereo binaan dalam serta pengeditan muzik secara digital.
Untuk navigasi peta pula, ia diintegrasikan bersama perkhidmatan sistem penentu kedudukan global terbantu (A-GPS).
Kelebihan lain telefon ini adalah seperti memori binaan dalam sehingga 32 gigabait (GB) dengan tambahan 16GB menerusi kad memori microSD, sambungan USB mikro, USB 2.0 dan Bluetooth.
Dengan segala kelebihan itu, Nokia N97 kini ditawarkan pada harga pasaran RM2,480.
- UTUSAN