Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup
Semua penduduk Babylon telah dikerahkan mencari kayu api untuk dijadikan unggun api. Unggun api yang besar itu dibina untuk membakar Nabi Ibrahim setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan olehnya.
Semua kayu yang berjaya dipungut telah dikumpulkan di satu kawasan lapang. Kayu-kayu yang dikumpulkan amatlah banyak hingga melepasi ketinggian bangunan yang ada di kawasan itu. Ketinggiannya tidak mampu dijangkau oleh tangan manusia lagi dan memenuhi kawasan yang begitu luas sekali. Kayu-kayu yang dikumpulkan amatlah banyak kerana semua orang tidak kira kecil, besar, tua dan muda semuanya bertungkus lumus mengumpulkan kayu api tersebut.
Apabila kayu api telah banyak, mereka pun mulalah menghidupkan api untuk mencampakkan Nabi Ibrahim. Api marak dengan begitu pantas kerana kayu-kayu yang dikumpulkan itu kering dan berada di kawasan padang pasir yang panas. Bahang kepanasan amat terasa sehingga tidak tertahan oleh kulit manusia.
Namun begitu, mereka semua tidak berganjak walaupun sedikit dari kawasan timbunan kayu tadi kerana ingin melihat sendiri hukuman itu dijalankan.
Sebelum Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api tersebut, kedua-dua tangan dan kakinya telah diikat dengan rantai supaya baginda tidak dapat lari daripada hukuman itu. Bukan sahaja tangan dan kakinya diikat, malah seluruh badannya juga telah dililit dengan rantai.
Ketika orang ramai sangat cemas menantikan upacara tersebut dijalankan, Nabi Ibrahim kelihatan tenang sahaja. Mukanya langsung tidak menunjukkan bahawa baginda takut untuk menempuh dugaan dan ujian tersebut. Lagipun baginda amat yakin dengan janji dan pertolongan yang dijanjikan oleh Allah terhadap hamba-hamba-Nya.
Nabi Ibrahim telah diletakkan di atas pelontar batu sebelum dicampakkan ke tengah-tengah unggun api yang sedang marak itu. Api membakar dengan pantas sekali dan membakar seluruh kayu api yang ada.
Ketika kaumnya hendak mencampakkannya ke dalam api, Nabi Ibrahim hanya berserah diri kepada Allah dan berkata:
"Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung."
Allah SWT juga telah berkata kepada api dalam firmannya:
Kami katakan, wahai api sejukkanlah dirimu dan sejahterakan ke atas Nabi Ibrahim."
Ketika Nabi Ibrahim berada di tengah-tengah unggun api itu, semua rantai dan tali yang mengikat kedua-dua tangan dan kakinya hangus belaka. Namun mukjizat dan keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya menyebabkan seluruh badan dan pakaiannya sedikitpun tidak terusik oleh api.
Setelah beberapa hari, api pun padam dan Nabi Ibrahim keluar dari unggun api yang kayunya itu telah hangus menjadi abu. Semua kaumnya berasa amat hairan dan takjub sekali. Mereka tidak menyangka Nabi Ibrahim masih hidup sedangkan api yang membakarnya amat marak.
Mereka mula merasakan usaha mereka selama ini sia-sia sahaja. Malah ada juga di kalangan mereka yang mengakui tentang kebenaran ajaran yang di bawa oleh Nabi Ibrahim. Walau bagaimanapun mereka tidak berani mengakuinya kerana bimbang dengan hukuman yang akan dikenakan oleh pemerintah.
- UTUSAN