Pelanggan Hotlink bakal bawa pulang Ducati 1098


CIMB Bank Bhd. (CIMB) menjangka transaksi tambah nilai kad prabayar Hotlink melalui perbankan Internetnya, CIMB Cliks akan meningkat 30 peratus tahun ini melalui kempen menangi motosikal berkuasa besar, Ducati 1098.

Selain motosikal bernilai RM138,000, kempen CIMB Cliks Maxis Ducati turut menawarkan hadiah harian berupa wang tunai RM100.

Kempen itu dijadualkan berlangsung selama tiga bulan bermula hari ini dan berakhir pada 24 September depan.

Ia juga menyediakan keselesaan kepada pelanggan untuk menambah nilai kad prabayar telefon bimbit yang boleh dilakukan dengan mudah di mana sahaja termasuk melalui 1,800 mesin juruwang automatik CIMB Bank.

Ketua Perbankan Peruncitan CIMB Bank, Peter England berkata, ia merupakan promosi kepada para pelanggan untuk menggunakan CIMB Cliks untuk menambah menilai kad prabayar mereka.

Katanya, kempen berkenaan dijangka berupaya menarik pelanggan baru bagi kedua-dua belah pihak iaitu CIMB dan Maxis Communications Bhd (Maxis).

"Kami cuba mencipta satu kempen mudah dengan hadiah utama yang menjanjikan keriangan pada waktu kegawatan ekonomi ini.

"Kempen ini juga akan mencipta kesedaran kepada pelanggan untuk kedua-dua pihak untuk menggunakan kemudahan yang disediakan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen CIMB Cliks Maxis Ducati di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Matthew Willsher.

CIMB turut menyasarkan untuk mengendalikan 360,000 transaksi dalam tempoh kempen berkenaan.

Menurut England, secara purata sebanyak 60,000 transaksi tambah nilai prabayar Hotlink sebulan dilakukan pada tahun lalu dan pihaknya menyasarkan untuk mencapai 135,000 transaksi sebulan melalui perbankan internet berkenaan.

"Sebanyak 130,000 daripada transaksi tambah nilai kad prabayar Maxis itu adalah melalui mesin juruwang automatik manakala bakinya adalah melalui CIMB Cliks.

"Melalui kempen itu, para pelanggan akan lebih menggunakan perkhidmatan perbankan Internet CIMB Cliks,'' ujarnya.

Willsher pula memberitahu, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan syarikat yang mempunyai reputasi tinggi.

Katanya, ia merupakan kerjasama yang strategik dan dijangka meningkatkan penguasaan pasaran syarikat di dalam segmen masing-masing.

"Kami mahu meningkatkan pengalaman pelanggan dan memberi kemudahan kepada pelanggan dengan menggunakan CIMB Cliks,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url