Pemimpin PAS patut utama agenda perkukuhkan Melayu

Oleh JAMHARIAH JAAFAR

Amat pelik apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, terus membidas pemimpin Pas lain yang menyuarakan kemungkinan untuk membentuk kerajaan perpaduan dan menyifatkan mereka 'boneka Umno'.

Kadangkala benar kata ramai bahawa dunia politik boleh mengabui mata, hala tuju dan matlamat manusia terutama mereka yang bergelar ahli politik. Kekaburan pandangan dan mata hati itu juga kadang kala membuatkan kewibawaan seseorang pemimpin disegani itu, sedikit tercemar.

Adakalanya ahli politik terpaksa mengetepikan pandangan dan ideologi politiknya apabila kedaulatan bangsanya diperlekeh dan dipertikai. Adakalanya, ahli dan parti politik perlu bermuhasabah diri dan mengkaji semula apa sebenarnya yang sedang berlaku dan kesannya kepada masa depan bangsa, agama dan negara.

Jika dikaji semula keputusan pertandingan pemilihan barisan kepemimpinan baru Pas pada muktamar yang baru berakhir minggu lalu, mesej yang disampaikan perwakilan parti itu amat jelas - mereka inginkan kepemimpinan ulama yang berpandangan sederhana dan boleh meleraikan kemelut yang sedang melanda bangsa dan agama Islam hari ini.

Rakyat Malaysia sudah mengetahui betapa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 memberi tamparan hebat kepada Barisan Nasional (BN) dan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat.

Namun, kemenangan itu telah memberi kesan besar kepada kesinambungan kuasa bangsa Melayu sehingga kuasa Raja-Raja Melayu terpaksa digunakan untuk meleraikan beberapa kemelut yang tercetus.

Kelmarin, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, yang terkenal dengan kesabarannya sebagai bekas Ketua Hakim Negara, telah meluahkan kekesalan terhadap gerakan yang mempertikai hak orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.

"Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang sudah dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima... semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara dirunding.

"Oleh itu, apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikai perkara ini bukan saja sudah melanggar peruntukan asas dalam Perlembagaan Negara dan negeri, malah turut mempertikai kedaulatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan Raja-Raja Melayu," titah baginda.

Merujuk kepada titah Sultan Perak ini, hanya dua parti politik yang benar-benar mendokong perjuangan untuk bangsa Melayu dan Islam � Umno dan Pas.

Kerana itu, bangsa Melayu yang benar-benarkan inginkan perjuangan bangsa Melayu diteruskan dan agenda bangsa diperkukuhkan, hanya boleh menaruh harapan dan impian kepada kedua-dua parti ini untuk mengekalkan kuasa yang ada hari ini.

Kembali kepada perjuangan Pas sebagai sebuah parti politik, pendapat bekas Ketua Pemuda Pas yang kini Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, seorang pemimpin berhaluan liberal tapi telah berjaya membawa begitu banyak perubahan kepada golongan muda parti itu, perlu dijadikan sandaran:

"Saya nak tegaskan di sini bahawa manusia menilai bukan dari segi pakaian, serbannya, jubahnya, kot atau tali leher yang mereka pakai tetapi melalui pemikiran yang mereka bawa dan terjemahkan.

"Kalau jubah besar atau kot mahal tetapi tidak mampu melahirkan pemikiran yang baik, tidak akan ke mana juga."

Persoalan yang perlu dikemukakan kepada pemimpin Pas dan Umno ialah apa salahnya sekiranya kedua-dua parti Melayu ini duduk semeja dan berbincang mengenai masalah yang dihadapi anak bangsa.

Jika ada pun cakap-cakap mengenai perpaduan antara Pas dan Umno, ia tidak akan menjadi realisasi selagi kedua-dua parti tidak boleh melepaskan perasaan ego masing-masing.

Di kala Umno semakin bermuhasabah diri dan kembali ke landasan perjuangan bangsa, mengapa Pas tidak boleh mengetepikan sedikit sentimen politik untuk berbincang mengenai hak anak bangsa yang semakin diperlekeh.

"Mengapa kita perlu rasa takut dan bimbang bangsa lain akan berasa kecil hati sekiranya agenda bangsa Melayu diperdebatkan. Kita tidak perlu apologetik kerana setiap bangsa akan berjuang untuk kepentingan bangsa masing-masing.

"Kita cuma tidak tahu apa yang diperdebat dalam akhbar berbahasa Cina dan India mengenai perjuangan dan nasib bangsa masing-masing, kerana kita tidak faham bahasa mereka. Tapi sekiranya kita faham sudah pasti kita akan terkejut betapa kuatnya sentimen dalam perjuangan bangsa kedua-dua rakan kita ini," kata Profesor Datuk Ramlah Adam dalam satu forum anjuran Ibu Pejabat Umno, baru-baru ini.

Justeru, apabila Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang mencetuskan idea kerajaan perpaduan, ramai anak Melayu menarik nafas lega kerana pemimpin yang disegani ternyata memiliki kebimbangan sama dengan pejuang bangsa lain � ke mana hala tuju bangsa Melayu pada masa depan?

Kejayaan Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden dan gandingan Salahuddin, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mahfuz Omar, semakin melegakan kerana mereka adalah antara pemimpin Pas berpandangan sederhana dan dijangka tidak menghadapi masalah sekiranya diajak berbincang isu membabitkan agenda bangsa dan agama.

Apa lagi dengan pengumuman Hadi yang melantik Datuk Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung Pas yang baru, yang memang terkenal dengan sikap keterbukaan dan tidak gentar dalam meluahkan idea demi kepentingan bangsa dan agama.

Hakikat bahawa bukan semua orang akan menerima idea yang dicadangkan memang sudah dijangka. Sudah pasti akan ada ahli parti yang berasa diri semakin berpengaruh, akan berpendapat 'musuh' seperti Umno perlu dihapuskan, tanpa memikir padah yang mungkin menimpa bangsa sendiri.

Kerana itu tidak pelik apabila Hadi menyejukkan suasana dan memberi beberapa syarat kepada Umno dan BN, sekiranya sebarang perbincangan ke arah kerajaan perpaduan hendak diteruskan.

Antara syarat yang menggesa kerajaan BN melaksana pemulihan terhadap demokrasi negara, sistem kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya dan kebebasan media - sebenarnya tidak sukar kerana pemulihan dalam institusi terbabit berlaku pada setiap masa.

Fakta di sini ialah Pas yang membuka mulut mengenai idea kerajaan perpaduan ini dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menyambut baik dan menyatakan keterbukaan Umno terhadap konsep ini.

Persoalan yang diharap dapat dijawab barisan kepemimpinan baru Pas ialah mengapa lagi perlu syarat itu dan ini, jika sekadar untuk duduk berbincang dengan Umno - mengenai soal perjuangan dan masa depan bangsa sendiri?
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url