Penghuni Asrama Za'aba UKM ketakutan
Seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Emy berkata, walaupun tidak pernah nampak lembaga itu tetapi mitos mengenai lembaga mengejar Wan Siti Farihan menghantuinya dan rakannya.
"Lagipun, bilik saya berhadapan dengan bilik mangsa dan apabila turun tangga atau melintas di hadapan bilik mangsa perasaan seram mula timbul. Sejak kes itu tersebar kami jarang keluar bersendirian.
"Cerita itu benar-benar menakutkan sehingga saya dan rakan terpaksa mandi secara berkumpulan walaupun tiada seorang antara kami yang pernah melihat lembaga dimaksudkan," katanya.
Malah, mereka juga sanggup melanggar peraturan kampus yang hanya mengehadkan dua penghuni sebilik, dengan tinggal dalam kumpulan.
"Kerana terlalu takut kami sanggup berhimpit dan tinggal seramai empat orang di dalam satu bilik kecil ini," katanya.
Beliau berkata, selama enam minggu menjadi penghuni asrama itu tidak pernah terdengar ada lembaga wujud dan mengganggu penghuni asrama, tetapi penyebaran berita lembaga masih menghantui penghuni.
Malah, beliau dan rakan-rakan tidak boleh tidur dengan nyenyak semalam dan sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah selepas tamat peperiksaan esok (hari ini).
- BERITA HARIAN